Bola & Impian: Kisah Gadis Bola Sepak U-18 Yang Bakal Mencuri Hati Penonton
- MYB
- 22 Okt
- 2 min membaca
PETALING JAYA – Industri perfileman Malaysia bakal menyaksikan satu lagi karya inspirasi apabila Starlight Institute of Screen and Stage Media melancarkan filem terbaru mereka berjudul “Bola & Impian”, sempena majlis pelancaran rasmi institut tersebut di Starlight Arena di Plaza 51, Petaling Jaya.

Filem ini mengetengahkan kisah penuh semangat sebuah pasukan bola sepak perempuan bawah 18 tahun dari pekan kecil yang bangkit menentang segala cabaran untuk mara ke kejohanan kebangsaan. Menggabungkan elemen drama sukan yang bertenaga dan naratif menyentuh hati, “Bola & Impian” meraikan keberanian, semangat berpasukan dan impian anak muda Malaysia.
Filem ini bukan sahaja meraikan keberanian dan semangat berpasukan, malah turut menjulang impian anak muda Malaysia yang berani melawan segala rintangan. Di sebalik tabir, filem ini diterajui oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Starlight Institute sendiri, Aaron Lim, yang juga merupakan seorang penulis dan penerbit filem yang memenangi pelbagai anugerah, terkenal dengan karya thriller antarabangsa C144: Human x Nature (2022).
“Bola & Impian” dibintangi oleh tiga bintang remaja yang bakal mencuri perhatian penonton, terdiri dari Seri Nur Adriana Elisa (18), Lucinda Lew Xin Yee (16) dan Aarhthi Sivenesan (16) yang mana bakat mereka digarap melalui program pembangunan bakat Project Starlight, dan akan bergandingan dengan pelakon berpengalaman dalam filem ini.
“Kami bukan sekadar melancarkan akademi, kami sedang membina jambatan antara pendidikan dan produksi filem profesional. Di sinilah bakat muda dilatih, beraksi dan bersinar di layar perak,” jelas Aaron

Daripada lebih 100 penyertaan dalam uji bakat Project Starlight 2025, hanya 30 disenarai pendek dan 3 dipilih untuk watak utama dalam filem ini. Filem ini juga merupakan kerjasama strategik antara Starlight Institute dan Chek Hup, bersempena dengan demam bola sepak menjelang FIFA 2026.
Pengarah filem ini, Rayson Ng, yang berpengalaman lebih 17 tahun dalam industri media dan telah menghasilkan lebih 1,500 projek, akan mengarahkan filem cereka penuh pertamanya melalui “Bola & Impian”. Beliau terkenal dengan karya dokumentari sukan dan kempen kreatif berskala besar.

Penggambaran dijadualkan berlangsung dari November hingga Disember 2025 di Johor, dan filem ini dijangka menemui penonton di pawagam pada Mei 2026, serta bakal ditayangkan di Netflix.
Majlis pelancaran turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Starlight Institute dan beberapa rakan industri dan pendidikan seperti Falcon TVET University US, Aotu Theatre, Antplus Entertainment, Synergy Media Entertainment dan JM Music.









Komen