Buka Sejarah Cinta Lama, Khai Bahar Akui ‘Kalau Bukan Aku’ Lagu Paling Mencabar Emosi
- MYB
- 10 Nov
- 2 min membaca
KUALA LUMPUR – Penyanyi tersohor tanah air, Khai Bahar, kembali mengubat kerinduan peminat dengan single terbaharu, “Kalau Bukan Aku”, sebuah balada moden yang disifatkan sebagai karya paling matang dan sarat emosi beliau setakat ini.

Naskhah menyentuh jiwa ini merupakan hasil sentuhan magis komposer Farouk Roman, lirik oleh Senna, dan susunan muzik oleh Wan Saleh. Namun, apa yang paling mencuri tumpuan ialah pendedahan Khai Bahar sendiri mengenai cabaran emosi yang dihadapinya semasa proses rakaman.
Menurut Khai, beliau terus "terpukau" (mesmerised) sejak pertama kali mendengar demo lagu tersebut dan yakin ia akan pergi jauh. Walau bagaimanapun, beliau mengakui “Kalau Bukan Aku” merupakan antara lagu paling mencabar dari aspek vokal dan emosi.
Lebih mengejutkan, untuk mendalami watak dalam lagu ini, Khai terpaksa "menggali" semula kenangan peribadinya.
“Farouk minta saya bawa lagu ni dengan cara yang berbeza. Untuk mendalami lagu ni, saya buka sejarah cinta lama! Hahaha,” dedah Khai.

Tambah beliau, cara nyanyian untuk lagu ini kedengaran lebih matang dan beliau yakin liriknya yang sangat dekat dengan kehidupan akan membuatkan ramai pendengar relate, termasuk dirinya sendiri.
Sementara itu, komposer Farouk Roman menjelaskan bahawa inspirasi lagu ini datang daripada kisah cinta yang tidak semestinya berakhir bahagia. Beliau membayangkan perasaan seseorang yang masih setia walau hubungan telah berakhir—rasa reda tetapi masih ada sisa cinta yang tertinggal.
“Dari situ saya cuba terjemahkan emosi tu dalam melodi yang lembut tapi menyakitkan,” jelas Farouk.
Farouk turut memuji penyampaian Khai Bahar yang dianggap sangat tulus dan berkesan dalam menyampaikan setiap emosi yang dibayangkannya semasa mula mencipta lagu ini.
Dengan bimbingan Afif Tirmizie sebagai penerbit vokal , "Kalau Bukan Aku" berjaya merangkum perjalanan jiwa tentang mencintai, kehilangan, dan akhirnya menerima.Lagu terbitan Sony Music Entertainment Malaysia ini sudah pun dilancarkan dan kini boleh didengar di semua platform digital sejak 24 Oktober 2025 lalu.









Komen