top of page

Gunung Kinabalu: Duet Emosi Azharina & Daniesh Dalam Lagu Patriotik Sempena Hari Malaysia

  • Writer: MYB
    MYB
  • 30 Ogo 2025
  • 2 min membaca

Dalam semangat menyambut Hari Malaysia, penyanyi tersohor tanah air dan anak jati Sabah, Azharina Azhar, tampil dengan kejutan istimewa, sebuah lagu patriotik pertamanya yang diberi judul "Gunung Kinabalu". Lagu ini merupakan hasil duet emosional bersama sepupunya yang juga seorang penyanyi, Daniesh Suffian.


Gunung Kinabalu: Duet Emosi Azharina & Daniesh Dalam Lagu Patriotik Sempena Hari Malaysia

Lagu ini bukan sekadar karya muzik, tetapi sebuah tribute penuh makna kepada negeri Sabah dan mengenang jasa arwah Datuk Haji M.Y. Ismail, tokoh keluarga yang amat dihormati oleh kedua-dua artis ini.


Menariknya, “Gunung Kinabalu” merupakan adaptasi moden daripada lagu lama yang pernah dipopularkan oleh Surianah Mansah, ibu kepada Daniesh dan penyanyi pop terkenal Sabah era 90-an.


Dengan susunan muzik baharu dan lirik yang disuntik semangat cinta tanah air, lagu ini membawa nafas segar sambil mengekalkan nilai warisan budaya tempatan. Azharina menyifatkan projek ini sebagai satu pencapaian peribadi yang amat bermakna.


“Ini adalah lagu patriotik pertama saya dan saya amat bersyukur kerana dapat menyanyikannya sebagai anak Sabah. Lebih membahagiakan, saya dapat bekerjasama dengan sepupu saya sendiri, Daniesh,” ujar Azharina penuh emosi.

Daniesh pula menyifatkan kolaborasi ini sebagai satu momen keluarga yang penuh kenangan, selain membuka peluang baharu dalam kerjayanya.


“Kami dapat merasakan chemistry yang kuat sepanjang proses rakaman. Malah, maklum balas daripada peminat di TikTok dan media sosial sangat positif. Ramai yang mahu kami teruskan kerjasama ini,” katanya.


Pemilihan Gunung Kinabalu sebagai tajuk lagu bukanlah secara kebetulan. Gunung tertinggi di Malaysia itu menjadi simbol ketabahan, kekuatan dan kebanggaan rakyat Sabah, menjadikan lagu ini sebagai lambang jati diri rakyat negeri di bawah bayu.


Azharina sebelum ini pernah menyampaikan lagu ini bersama Daniesh di dalam sebuah program muzikal terbitan RTM, "Azharina Azhar & Friends" yang telah disiarkan di saluran TV2 pada penghujung Julai lalu.


Lagu “Gunung Kinabalu” akan dilancarkan secara rasmi pada 3 September 2025, dan boleh distrim di semua platform digital utama seperti Spotify, Apple Music dan YouTube Music. Video muzik rasmi turut akan dilancarkan serentak dan dijangka menjadi antara tontonan utama sempena Hari Malaysia tahun ini.



Komen


bottom of page