Impian Terlaksana! Tokti & Lesti Kejora Satukan Dangdut-Inang dalam Single 'Kumbang Bunga'
- MYB
- 22 Okt
- 2 min membaca
KUALA LUMPUR – Ikon muzik serantau, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, akhirnya merealisasikan impian lama untuk berkolaborasi dengan penyanyi tersohor Indonesia, Lesti Kejora, menerusi single terbaharu mereka berjudul "Kumbang Bunga". Kolaborasi yang dinanti-nantikan peminat kedua-dua negara itu disifatkan sebagai gabungan hebat dua suara Nusantara yang kini disatukan melalui bahasa muzik.

Single "Kumbang Bunga" yang dilancarkan serentak di semua pelantar digital dan YouTube pada hari ini, membawa makna yang signifikan sebagai karya pembuka tirai untuk album terbaharu Tokti yang berkonsepkan tradisional.
Tokti menyatakan kegembiraan kerana hasratnya untuk berduet dengan Lesti menjadi kenyataan pada waktu yang tepat. Beliau juga berharap lagu ini diterima baik bukan sahaja di Malaysia dan Indonesia, malah oleh peminat di negara-negara lain.
“Saya jatuh cinta dengan melodi ‘Kumbang Bunga’ sejak kali pertama mendengarnya. Saya sendiri mencadangkan agar elemen dangdut dimasukkan kerana ia sangat sinonim dengan Lesti,” ujar Siti yang teruja dengan kolaborasi ini.
Menerusi lagu ini, pendengar bakal disajikan dengan adunan unik irama yang menggabungkan tiga genre tradisional utama iaitu inang, dangdut, dan masri dalam satu gubahan kontemporari.
Tokti sendiri yang mencadangkan agar elemen dangdut, yang sinonim dengan latar muzik Lesti, dimasukkan ke dalam gubahan lagu yang dicipta khas oleh komposer Firdaus Rahmat dan Iqie Hugh ini.

Penciptaan lagu ini hanya mengambil masa kira-kira dua hari sahaja, dengan matlamat untuk menonjolkan keindahan vokal kedua-dua penyanyi dalam nuansa irama tradisional yang moden dan segar.
Lesti Kejora turut berkongsi rasa terharu, menyifatkan muzik sebagai medium yang mampu menyatukan dan menghargai perbezaan dengan penuh hormat. "Kumbang Bunga" dihasilkan dengan tujuan untuk menyantuni peminat muzik dari pelbagai lapisan usia, melangkaui generasi, dan menarik minat golongan muda untuk terus mendekati muzik berteraskan warisan.
“Saya sangat berterima kasih kepada Dato’ Sri Siti Nurhaliza. Lagu ini sangat indah dan saya percaya peminat kami sudah lama menantikan detik ini,” ujar Lesti Kejora.
‘Kumbang Bunga’ diterbitkan oleh SN Legacy Sdn. Bhd., Trinity Optima Production dan Universal Music Sdn. Bhd., dan kini boleh didengari di semua pelantar digital bermula 22 Oktober 2025. Video muzik rasmi turut dilancarkan pada hari yang sama jam 3.00 petang tadi, menampilkan keindahan visual dan harmoni dua suara besar Nusantara dalam satu karya penuh makna.









Komen