Norrela Berjiwa Seni Berilmiah Artisan
top of page
  • Writer's pictureMYB

Norrela Berjiwa Seni Berilmiah Artisan

Updated: Apr 20, 2023

Jiwa seni Norrela masih membara walaupun diperingkat usianya kini, dek kerana minat menulis dan menyanyi yang telah diasuh semenjak ketika dibangku sekolah lagi iaitu melalui aktiviti pancaragam dan persembahan pentas. Disebabkan kekangan menuntut ilmu di luar negara dan telah berkeluarga maka kegemarannya dalam bidang muzik terpaksa ditangguhkan sementara. Bagaimanapun beliau sentiasa menunggu waktu yang lebih sesuai untuk merancakkan aktiviti seni. Bagi Norrela, tekad untuk meneruskan bakat seninya tanpa mengira usianya kini adalah tidak menghalangnya untuk berjuang dan berkarya dalam bidang seni kerana pokoknya seni tidak ada batasan umur dan ketika ini ia merentasi dunia tanpa sempadan dan boleh diakses hanya dihujung jari sahaja. Bakat adalah elemen penting untuk menyerlah kepada tontonan semua, dan ia memudahkan semua individu untuk mencapai impian mereka dalam apa jua genre, bak pepatah selagi hayat dikandung badan.

Foto: Norrela


Norrela yang bukan hanya gemar menyanyi malah berbakat mengarang lirik lagu sendiri dalam bahasa inggeris dan melayu, sentiasa menyampai mesej dan karya yang tulus menjiwai ciptaannya. Berlatar belakang seorang graduan sains (Kaji hayat), Norrela lebih suka berkarya dan mencipta bukan hanya sekadar lirik dan melodi juga dalam bidang ilmiah seperti aspek kekeluargaan dan memberi ceramah serta menganjur bengkel dan aktiviti seni bersama karyawan dan NGO kebajikan. Beliau percaya pengajaran sebenarnya bermula selepas berumahtangga.



Dengan ilmu yang diperolehi, Norrela disahkan sebagai fasilitator 'Systematic training and Effective parenting', Norrela turut menghasilkan senaskah buku bertajuk Memancing hati Anak Remaja. Kandungan buku tersebut adalah membongkar tips berkomunikasi secara berkesan dan ketika berada di USA beliau juga telah menerima sijil NLP (Neurolinguistic Programing) dan Clinical Hypnotherapy dari Universiti Houston. Kemahiran ini yang dibekalkan dapat membantu memahami kesedaran diri sendiri dalam perjalanan hidup seseorang. Pencapaian terkini dalam bidang muzik pula adalah beberapa buah lagu asal ciptaan Norrela dari album ulungnya 'Moonstruck' yang dirakam di Australia serta ia berpotensi menjadi lagu-lagu OST filem-filem terbitan USA.


Rancangan seterusnya setelah projek seni, beliau akan mengadakan pertunjukkan jalanan dengan bekerjasama penerbit legenda dari London untuk merakam lagu serentak dengan permintaan untuk 'Sync Licensing'. Ia merupakan laluan bidang muzik yang boleh menjana pendapatan sebagai seumur hidup. Pada September 2023, lagu-lagu terkini Norrela akan dipromosikan melalui program Jelajah Salam Lestari Malaysia dan juga di acara antarabangsa International conference and world Cultures exhibition bersama Kementerian pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC). Maka terserlahlah, Norrela bukan hanya mahu dikenali sebagai penyanyi dan penulis lirik tetapi juga arif dan bijaksana dalam bidang ilmiah kemanusiaan serta sangat prihatin dalam keadaan sekitarnya. Jiwa Norrela yang ingin sentiasa berkarya dan jitu menjalankan aktiviti seninya, tanpa kalah kepada tanggapan umur, secara fitrahnya menjadikan Norrela seorang artisan yang berkebolehan, berbakat dan prihatin serta menyebar kasih sayang. Kenali Norrela melalui Instagram Norrela .


Foto :Norrela (Berbaju Warna Oren) sentiasa aktif bersama NGO BPW Association International


Nukilan: Sue Rahman

Suntingan : buzzingmalaysia.com

0 comments
bottom of page