Faizal Tahir & Red Box Jayakan Kempen Amal


Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) sememangnya bukan perkara baru bagi pusat karaoke Red Box & Green Box yang terkenal dengan konsep hiburan berteraskan keluarga. Bermula dengan penubuhan Red Energy Charity Fund pada 2009, Red Box dan Green Box sehingga kini kekal aktif dalam kerja-kerja kebajikan, sosial dan kemasyarakatan untuk sebarang usaha meningkatkan dana dalam membantu mereka yang kurang bernasib baik.


Bersempena dengan ketibaan Ramadhan tahun ini, Red Box dan Green Box sekali lagi mengumumkan kolaborasi bersama pertubuhan amal #iAMFAITHMEN Movement (FAITHMEN) yang dinaungi oleh penyanyi terkenal tanahair, Faizal Tahir dalam usaha mengumpul dana untuk membantu keperluan institusi warga emas di seluruh Malaysia. Untuk tujuan tersebut, pada 26hb April, telah diadakan majlis pelancaran poskad “Raikan Raya – Hantar Kad Ucapan Untuk Yang Tersayang Sambil Menderma”, bertempat di Red Box PLUS, Pavilion KL.


Poskad “Raikan Raya” bakal dijual di semua rangkaian Red Box, Green Box dan Red Box PLUS Karaoke bermula 1hb Mei ini dengan harga RM5 berserta cenderahati. Setiap RM3 yang dikutip hasil daripada jualan poskad akan disumbangkan kepada #iAMFAITHMEN. Dan selebihnya digunakan bagi menampung kos pentadbiran termasuklah penghantaran poskad oleh pengirim (pembeli) kepada penerima di seluruh Malaysia melalui POS Malaysia selewatlewatnya 16hb Jun 2017.


Pelanggan boleh memilih antara empat pilihan poskad. Menariknya, visual atau gambar setiap poskad adalah hasil idea dan kreativiti Faizal Tahir sendiri yang setiap satunya menggambarkan mesej yang ingin disampaikan oleh beliau.


“Bertepatan dengan tema Raikan Raya, kami percaya poskad ini dapat menambah suasana ceria Hari Raya. Saya masih ingat, dulu bila beraya di rumah jiran, kita boleh nampak kad ucap Selamat Hari Raya tergantung di dinding. Namun, dengan kepesatan teknologi hari ini, tradisi itu semakin dilupakan. Jadi selain mengumpul dana, kami berharap agar usaha ini juga dapat mengembalikan nostalgia Raya dulu-dulu kerana saya pasti, menjadi satu keseronokan bagi si penerima bila melihat dan membaca ucapan pada poskad tersebut”. Ujar En. Michael Yong, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Karaoke Red Box.


Sebanyak 5,000 kad telah dicetak dan bakal diedarkan. Pihak Red Box dan Green Box berharap agar RM15,000 dana dapat dikumpulkan dalam masa sebulan. Sumbangan yang terkumpul itu nanti bakal diserahkan kepada #iAMFAITHMEN dalam ‘Majlis Berbuka Puasa’ yang bakal dianjurkan di institusi warga emas terpilih. Dalam usaha tersebut, Red Box, Green Box dan #iAMFAITHMEN amat berbesar hati kerana berpeluang mendapat kerjasama daripada Awang Brand, sebuah pengeluar pes masakan tradisional dalam penyediaan Majlis Berbuka Puasa yang bakal diadakan.


“Dengan bantuan rakan rasmi seperti Awang Brand, kami amat berharap agar kempen ini mampu menempah satu lagi keajaiban sebagaimana kejayaan tahun lepas di mana sebanyak RM20,000 berjaya disalurkan untuk kerja-kerja kebajikan #iAMFAITHMEN Movement melalui kempen Help For Kids”, ujar En. Michael Yong lagi.


Semoga para pelanggan khususnya generasi muda dapat mendukung penuh kempen yang dilancarkan dengan membeli poskad “Raikan Raya – Hantar Kad Ucapan Untuk Yang Tersayang Sambil Menderma”. Diharap usaha ini juga mampu meningkatkan ukhuwah dan kesedaran semua dalam membantu golongan yang kurang bernasib baik, tanpa mengira kaum dan agama di seluruh Malaysia. -MYBUZZ


Follow Us
  • Black Instagram Icon
  • Black YouTube Icon
  • Twitter Basic Black
  • Facebook Basic Black
  • Black Google+ Icon
Recent Posts

© 2018 by SeoJun

Meet The Team

Cyrill Hassan

  • Facebook Social Icon
  • Instagram Social Icon
  • Twitter Social Icon

Ask me to know me. Get connected to my social media

Yus Yunus

  • Facebook Social Icon
  • Instagram Social Icon
  • Twitter Social Icon

Nobody is perfect.  Always stay connected with me.