10 LOKASI MENARIK WAJIB SINGGAH DI PANGKOR


Bila bercakap tentang Pangkor, semestinya orang akan kaitkan dengan 'bilis mata biru', ikan bilis spesis termahal bila dibuat ikan bilis kering. Selain dari bilis dan hasil lautnya, Pangkor juga turut dikenali sebagai pulau peranginan terkenal di negeri Perak Darul Ridzuan.


Tidak hairan apabila Pangkor menjadi pilihan destinasi kebanyakan orang Malaysia serta pelancong luar sekitar bulan OKtober hingga Disember sepanjang tahun, memandangkan hampir keseluruhan pulau dipantai timur 'ditutup' sepanjang tempoh tersebut disebabkan musim tengkujuh serta perubahan cuaca Monsun Timur Laut yang melanda pantai timur Malaysia.


Berbalik ke Pangkor, terdapat dua versi tentang asal-usul nama Pangkor. Versi pertama menyebut nama asal pulau yang telah berubah menjadi pusat peranginan dan tumpuan pelancong itu dahulunya dikenali sebagai Pulau Dinding atau Pulau Singgah. Bagaimanapun, catatan untuk pelancong di Pulau Pangkor menyebut Pang Kor adalah nama seorang penghulu berbangsa Cina di pulau tersebut.


KEJORA GARDEN RESORT


Pertengahan Disember lalu team MYBUZZ! sempat join 'onlinemedia retreat' ke Pangkor. Rombongan kami turut disertai beberapa team pengamal media online seperti Portal Hiburan Rentak Sejuta, Gila MUzik, Siakap Keli dan Femag Online.


Pilihan kami untuk menginap kali ini semestinya di Kejora Garden Resort. Selain berhampiran dengan Pantai Pasir Bogak, resort ini juga terletak berhampiran dengan Jeti serta tempat makan, kedai serbaneka dan perkhidmatan dobi layan diri. Berhampiran dengan resort ini juga terdapat perkhidmatan sewaan motor dan basikal untuk kemudahan pelancong meneroka pulau ini.


Kejora Garden Resort menawarkan sebanyak 40 bilik secara keseluruhan yang terdiri dari bilik 'Deluxe Room' dan 'Super Deluxe' dimana setiap bilik dilengkapi kemudahan seperti pendingin hawa, pancuran air panas, tv flat screen, saluran Astro serta kemudahan wifi percuma, setara dengan kemudahan yang disediakan oleh kebanyakan resort bertaraf 3 dan 4 bintang di pulau ini.



Resort ini turut dilengkapi dengan kemudahan seperti kolam renang, restoran dengan ruangan terbuka, surau serta ballroom yang boleh memuatkan sehingga 200 orang pada satu satu masa. Kejora Garden Resort turut menyediakan kemudahan penginapan asrama bagi tetamu mereka yang memilih untuk menginap secara bajet.


Kejora Garden Resort juga memiliki keunikan tersendiri kerana sering menerima kehadiran burung Enggang yang sering hadir di resort ini untuk makan.



AKTIVITI PANTAI


Kalau dah namanya bercuti di pulau, agak merugikan kalau kita tidak ke pantai. Di Pangkor terdapat beberapa lokasi yang menawarkan pantai yang indah seperti Pantai Pasir Bogak, Pantai Telok Nipah, Pantai TElok Dalam, Teluk Segadas dan Pulau Giam.


Banyak aktiviti air yang ditawarkan di pantai-pantai ini. Tapi anda kena pandai juga mencari pakej aktiviti air yang murah, tak adalah terasa berat nak keluarkan duit poket untuk beramai-beramai bermain air. Ada yang murah, ada yang mahal, survey dulu baru puas hati.



10 LOKASI MENARIK WAJIB SINGGAH DI PANGKOR


1. PANTAI PASIR BOGAK


Di sepanjang pantai ini sudah tersedia meja-meja untuk anda hidangkan makanan dan dimakan bersama keluarga sambil melihat panorama indah Pantai Pasir Bogak ini. Kalau anda terlupa nak bawa makanan jangan risaulah, banyak juga gerai-gerai makanan di sekeliling, air kelapa pun ada dijual, kombinasi yang sempurna sambil melepak tepi pantai.


Aktiviti lain yang anda boleh buat di pantai ini adalah seperti menaiki bot untuk merasa pengalaman makan angin atas laut ataupun untuk mencuba sendiri aktiviti menjala, dapat ikan atau tak, sekurang-kurangnya dapatlah keluarga anda merasa pengalaman yang rare ni. Selain itu, anda juga boleh bermandi-manda di pantai ni, tapi hati-hati ya, sebab dasarnya agak berbatu.


Alamat: Pasir Bogak, 32300 Pulau Pangkor, Perak

2. KOTA BELANDA



Di Pulau Pangkor juga terdapat sebuah lokasi bersejarah peninggalan Belanda. Pihak Belanda yang datang ke sini telah membina gedung atau kubu yang bertujuan untuk menyimpan bijih timah pada tahun 1670. Orang Belanda pada masa itu menamakan kubu ini sebagai Kubu Dinding (Dingdingh) sempena nama Sungai Dinding yang terletak di hadapan Pulau Pangkor.


Tujuan lain pembinaan kubu ini adalah untuk menghalang pihak Inggeris daripada merampas pulau ini dan dalam masa yang sama pihak Belanda sedang berperang dengan Acheh yang juga menjadikan Pulau Pangkor sebagai negeri di bawah naungan mereka.



Alamat: Kota Belanda, 32300 Pulau Pangkor, Perak

3. BATU BERSURAT PULAU PANGKOR



Batu bersurat yang terletak berhadapan Kota Belanda dipercayai menceritakan sebuah kejadian tragis yang menunjukkan lukisan seekor harimau sedang membaham seorang budak. Kononnya, anak seorang pembesar Belanda dibaham seekor harimau dan untuk memperingatinya peristiwa itu dipahatkan pada batu berkenaan.


Kanak-kanak itu diculik oleh orang Melayu yang membenci penjajahan Belanda. Dikatakan ilustrasi harimau itu digambarkan sebagai orang Melayu dan turut terdapat ukiran tulisan 1743 I.F. CARLO dan lambang Veerenigde Oostindische Compagnie (VOC) yang membawa maksud Syarikat Hindia Timur Belanda.



Alamat: Batu Bersurat, Kampung Teluk Gadong, 32300 Pulau Pangkor, Perak

4. GALERI PANORAMA PANGKOR



Galeri Pangkor ini terbina hasil cetusan idea YAB Dato' Seri Zambry bin Hj Abdul Kadir, Menteri Besar Perak. Ia adalah merupakan sebuah mini showcase yang memaparkan sejarah Pulau Pangkor yang dikatakan bermula pada era kerajaan Gangga Negara


Di dalam galeri ini dipamerkan artifak artifak lama yang terdiri dari peralatan, tembikar, kerja tangan, pakaian, mata wang, senjata, serta dokumen yang berkaitan dengan penduduk dan sejarah awal Pulau Pangkor.Di satu sudut pengunjung boleh melihat salinan Perjanjian Pangkor 1874 yang merupakan peristiwa penting yang telah membuka jalan secara langsung kepada campur tangan politik British ke atas negeri-negeri Melayu. Melalui perjanjian ini, British mula menempatkan residen mereka di Perak dan memperkenalkan sistem pentadbiran British dalam hampir semua aspek negeri kecuali yang menyentuh soal-soal adat dan agama.


Galeri ini dibuka setiap hari dari jam 8 pagi hingga 5 petang. Masuk adalah percuma


Alamat: 178, Jalan Besar, 32300 Pulau Pangkor, Perak

5. PANTAI TELUK NIPAH


Kawasan ni agak padat pada musim cuti sekolah kerana menjadi pilihan pengunjung untuk berehat santai sambil berkelah. Di sekitar pantai ini suasananya agak meriah kerana terdapat berbagai kedai dan gerai yang menjual makanan, pakaian dan cenderahati.


Diseberang jalan disepanjang Pantai Teluk Nipah ini terdapat deretan chalet yang diusahakan oleh penduduk tempatan. Berhadapan dengan Pantai Teluk Nipah terletaknya Pulau Giam, destinasi terbaik untuk aktiviti snorkeling.


Alamat: Pantai Teluk Nipah, Pulau Pangkor, Perak

6. PULAU GIAM


Pulau ini terletak bersebelahan degan Pulau Mentagor, dan berhadapan dengan Teluk Nipah. Menjadi salah satu lokasi wajib pergi sekiranya datang ke Pulau Pangkor ni. Lanskap pulau ini sangat indah. Pantainya kecil dihampari pasir halus berwarna putih. Terdapat banyak batu besar terhampar disekeliling pulau ini yang sekaligus mencantikkannya lagi.


Untuk ke Pulau Giam ini, daripada Teluk Nipah anda boleh berkayak ataupun menaiki bot, bergantung kepada anda, kalau anda mahukan aktiviti yang ekstrem sedikit dan memiliki stamina yang tinggi, boleh datang secara berkayak, kalau tak, naik je bot, mana-mana pun syok. Yang bestnya di pulau ini, airnya agak jernih jadi bolehlah bersnorkeling di sini.


Unik tentang pulau ini, sekiranya pengunjung datang sekitar awal Februari pada minggu sambutan Tahun Baru Cina, pengunjung boleh berjalan kaki ke pulau ini kerana pada sekitar tempoh tersebut berlaku fenomena 'air laut surut'.


Alamat: Pulau Giam, 32300, Perak

7. TOKONG FU LIN KONG



Terletak di kaki Bukit Pangkor, berdekatan Kampung Sungai Pinang Besar, Tokong Fu Lin Kong ialah tokong Taois, agama yang mengikuti ajaran ahli falsafah tersohor Cina, Lao Tze. Tokong ini dikatakan tokong terbesar yang boleh dijumpai di Pulau Pangkor.


Senibina yang diterapkan dalam pembinaan tokong ini sangat memukau. Terdapat taman mini lengkap dengan kolam di sekitar kawasan tokong yang menjadikan ia cukup mempesonakan. Ruang permainan untuk kanak-kanak juga turut disediakan. Berdekatan dengan tokong utama, ada satu laluan yang cukup menjadikan lokasi ini unik daripada kebiasaan. Disini juga terdapat sebuah lanskap mini Tembok Besar China. Jadi tak perlulah kita China. Cukup sekadar di Pulau Pangkor!


Alamat: Tokong Fu Lin Kong,32300 Pulau Pangkor , Perak

8. PEKAN PANGKOR


Destinasi seterusnya memang jadi pilihan para ibu-ibu, isteri-isteri kalau ke Pangkor. Destinasi ini kalau tak singgah memang rugi. Pekan Pangkor yang merupakan pintu masuk ke pulau ini hanya terletak 200 meter dari Jeti Pangkor.


Disini terletaknya pasar awam pangkor. Apa yang menarik tentang pasar ini, terdapat binaan astaka diatas pasar ini yang begitu cantik. Pengunjung boleh naik dan menghayati pemandangan indah sekitar jeti dan kawasan perumahan serta tempat pendaratan hasil laut. Disini juga pengunjung boleh mendapatkan hasil laut segar ataupun kering . Disini kepakaran tawar menawar diperlukan sekiranya anda inginkan harga yang berpatutan.


Alamat : Pekan Pangkor, 32300, Pulau Pangkor, Perak

9. SELERA PANGKOR


Tidak berapa jauh dari Pekan Pangkor, berhadapan dengan Hospital Kecil Pulau Pangkor terletaknya satu lagi lokasi wajib singgah sekiranya berkungjung ke pulau ini. Selera Pangkor, yang menempatkan beberapa unit gerai makan.


Gerai Hasnah Corner menjadi pilihan kerana kepelbagaian juadah hidangannya. Sebut sahaja apa yang nak dimakan semua ada. Kalau dah di pulau semestinya hidangan berasaskan makanan laut menjadi pilihan utama. Nak udang, ketam dan pilihan ikan semuanya ada, segar dan manis rasanya. Harganya pun berpatutan.


Alamat: Selera Pangkor, 32300, Pulau Pangkor, Perak

10. MASJID TERAPUNG 1000 SELAWAT


Lokasi terakhir wajib singgah di Pulau Pangkor adalah Masjid Terapung 1000 Selawat yang juga dikenali sebagai Masjid Al-Badr.


Masjid ini terletak di Teluk Gedung, Pulau Pangkor . Ia telah hampir siap sepenuhnya dan sudah pun digunakan oleh warga tempatan. Keunikan Masjid Al-Badr ini selain dari kedudukan nya yang dibina di atas air , ia penuh dengan ukiran 1000 selawat.


Mula dibina pada 7 Mac 2014, masjid yang melibatkan belanja RM11.7 juta ini, walau bagaimanapun, baru dibuka kepada orang ramai sekitar Oktober 2016. Pelancarannya telah disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 8 Jun 2017 yang lalu


Alamat: Masjid Terapung 1000 Selawat Al-Badr, Kampung Teluk Gadong, 32300 Pulau Pangkor, Perak




Follow Us
  • Black Instagram Icon
  • Black YouTube Icon
  • Twitter Basic Black
  • Facebook Basic Black
  • Black Google+ Icon
Recent Posts

© 2018 by SeoJun

Meet The Team

Cyrill Hassan

  • Facebook Social Icon
  • Instagram Social Icon
  • Twitter Social Icon

Ask me to know me. Get connected to my social media

Yus Yunus

  • Facebook Social Icon
  • Instagram Social Icon
  • Twitter Social Icon

Nobody is perfect.  Always stay connected with me.