KOLABORASI MEGA MALAYSIA – INDONESIA MENERUSI DO[S]A, ‘AN ASTRO ORIGINAL SERIES’

February 9, 2018

Projek Siri Original Premium Nusantara Gandingkan Nama-Nama Hebat Di Hadapan & Belakang Tabir, Dengan Khidmat Pengarah Terbaik 2011 Indonesia

 

 

 

 

Buat julung kalinya, Astro tampilkan sebuah siri mini Nusantara premium eksklusif berjudul DO[S]A di platform digital, ‘on demand’ dan Astro GO, serentak dengan tayangan di televisyen menerusi Astro First saluran 480 dan di platform NJOI. DO[S]A merupakan naskhah Nusantara pertama di bawah slot ‘An Astro Original Series’ dan bakal bersiaran mulai 14 Februari ini. Dengan hanya RM 19.10 (termasuk 6% GST), penonton boleh menikmati kesemua lapan episod (berdurasi satu jam untuk setiap episod) dengan berulang kali dalam tempoh 10 hari dari waktu pembelian.

 

 

FAKTA TENTANG “DO[S]A”

 

  • DO[S]A merupakan naskhah asal dua orang karyawan hebat, gandingan Malaysia dan Indonesia, saudara Saniboey Mohd Ismail dan Salman Aristo, yang turut bertindak sebagai Penulis Skrip. Salman, satu nama yang cukup disegani di Indonesia merupakan penulis skrip untuk karya-karya pecah panggung seperti ‘Ayat-Ayat Cinta’, ‘Laskar Pelangi’, ‘Garuda di Dadaku’ dan ‘Sang Penari’. Pencapaian terkini Salman adalah di Festival Filem Indonesia 2016 yang mana beliau telah dinobatkan anugerah Penulis Lakon Layar Terbaik untuk filem ‘Athirah’. Turut sama terlibat sebagai penulis skrip untuk karya ini adalah saudara M Rino Sarjono.

 

  • Istimewanya lagi, siri original ini turut mendapat sentuhan daripada Pengarah Terbaik Festival Filem Indonesia 2011 iaitu Ifa Isfansyah. Ifa Isfansyah yang merupakan seorang sutradara yang begitu disegani ramai di Indonesia, mula menempa nama menerusi pengarahan filem-filem hebat seperti ‘Sang Penari’, ‘Garuda Di Dadaku’ dan ‘Pendekar Tongkat Emas’.

 

  • DO[S]A turut menggunakan khidmat Pengarah Fotografi terkenal, Yadi Sugandi yang sebelum ini telah melahirkan stail visual yang cukup memukau untuk karya-karya seperti ‘Ada Apa Dengan Cinta 2’, ‘Laskar Pelangi’, ‘Sang Penari’, ‘Darah Garuda’ dan banyak lagi.

 

  • Selain itu, ia turut menampilkan Cecep Arif Rahman sebagai Pengarah Koreografi adegan aksi untuk melatih dan mempersiapkan para pelakon dengan disiplin silat dan koreografi seni mempertahankan diri. Cecep sebelum ini dikenali menerusi filem Indonesia ‘The Raid: Berandal’.

 

  • DO[S]A juga dibarisi pelakon-pelakon hebat gabungan tiga buah negara; Malaysia, Indonesia dan Singapura bagi menggerakkan setiap watak dalam jalan cerita. Nama-nama yang terlibat adalah seperti Dato’ M.Nasir, Remy Ishak dan Daniella Sya dari Malaysia, Ashraf Sinclair, Roy Marten, Maudy Koesnaedi, Hannah Al Rashid, Reuben Elishama dan Tegar Satrya dari Indonesia, serta Shenty Feliziana dan Hisyam Hamid dari Singapura.

 

  • Siri original yang bergenre aksi ini berlatarkan lapan asas utama yang mendasari setiap episod; ‘Khianat’, ‘Tamak’, ‘Nafsu’, ‘Dengki’, ‘Derhaka’, ‘Fitnah’, ‘Munafik’ dan ‘Fitnah’. Kelapan-lapan ini memperkasakan slogan utama DO[S]A, “Niat Tidak Menghalalkan Cara”.

 

  • DO[S]A sarat dengan babak-babak yang mendebarkan, aksi suspen dan ganas. Namun begitu, pada masa yang sama turut diapit dengan pergolakan emosi, pengorbanan, ikatan kekeluargaan serta bibit percintaan.

 

  • Karya ini adalah kerjasama di antara Astro, Arie Zaharie Production dan Capitol Entertainment Production (produksi dari Indonesia).

 

  • Sesi penggambaran telah berlangsung selama 58 hari, dari bulan Julai 2017 sehingga September 2017. Lokasi penggambaran rata-ratanya dilaksanakan di Jakarta Timur dan Jakarta Barat, Indonesia (dengan anggaran 90% jumlah penggambaran) dan selebihnya di Malaysia termasuklah di lokasi-lokasi utama sekitar Kuala Lumpur, Kampung Baru, Klang and Putrajaya.

 

  • DO[S]A juga dijangka akan menembusi pasaran Indonesia menerusi platform OTT (Over-The-Top); Tribe Indonesia dan di saluran Astro Citra dalam waktu terdekat ini.

 

 

“Astro sentiasa memiliki visi untuk menembusi pasaran serantau menerusi kandungan-kandungan kreatif yang tawarkan, terutamanya di platform digital. Persaingan dalam dan luar negara dilihat semakin kompetitif terutamanya apabila audiens kini memiliki lebih pilihan dari aspek tontonan.

 

Justeru, Astro terus berusaha menampilkan kepelbagaian dari segenap sudut terterutamanya dari segi genre sesebuah produk itu, penglibatan nama-nama yang berpengalaman di hadapan dan di belakang lensa kamera, dan yang paling utama, kandungan yang ditawarkan perlulah berkualiti tinggi, memiliki nilai-nilai komersial serta mempunyai identitinya yang tersendiri.

 

Dato’ Khairul Anwar Salleh

Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro

 

Sejujurnya, saya berasa cukup teruja dengan karya DO[S]A ini kerana ia merupakan kerjasama sulung Astro yang melibatkan Malaysia – Indonesia dalam melahirkan siri original Nusantara premium eksklusif istimewa untuk tontonan ramai. DO[S]A turut merupakan karya pertama Nusantara yang kami tampilkan dalam slot ‘An Astro Original Series’.

 

Sebelum ini, Astro telah memulakan beberapa projek bagi menembusi pasaran serantau seperti ‘3 A.M. Bangkok Ghost Stories’ dengan pihak penerbitan dari negara Thailand, naskhah seram bertajuk ‘Door’ dengan penerbitan Filipina, serta ‘Cinta Paling Agung’ dan ‘Polis Evo2’ dengan kerjasama republik Indonesia. Pada masa yang sama, filem-filem terbitan Astro seperti ‘The Journey’ turut menarik minat pemain industri dari negara luar untuk diadaptasikan bagi siaran di negara masing-masing. Ini secara tidak langsung memberi indikasi bahawa karya terbitan Astro diterima ramai, baik audiens dari dalam mahupun luar negara.

 

Melihat akan kejayaan yang berjaya dilakar menerusi kolaborasi-kolaborasi mega yang dilaksanakan ini, Astro akan terus melahirkan banyak lagi naskhah-naskhah hebat untuk tontonan semua. Akan datang, ‘Sembilan’, sebuah lagi siri original gandingan Malaysia – Indonesia dijangka bakal menemui peminat pada akhir tahun ini. Naskhah bergenre seram ini akan memulakan penggambaran pada bulan Mei 2018. Kami menyasarkan akan ada lebih banyak lagi kandungan dan projek seumpamanya bakal dihasilkan di masa-masa yang akan datang.

 

Dalam pada itu, saya begitu berpuas hati dengan hasil akhir yang dizahirkan barisan produksi DO[S]A. Jalan penceritaannya ternyata ‘luar dari kebiasaan’, cukup kompak dan ‘mind-blowing’. Ternyata, kerjasama dan keserasian yang tercetus di antara pemain utama di bahagian hadapan dan belakang tabir naskhah ini adalah sebuah kekuatan yang wajar diakui ramai. Bakat mereka ini terletak di kelasnya yang tersendiri dan saya yakin, gandingan sehebat ini mampu mencetuskan satu fenomena baru dalam landskap seni serumpun khususnya.  

 

Dari segi penerbitan pula, saya lihat penggunaan efek khas dan aspek sinematografi yang dipersembahkan DO[S]A mampu memenangi hati peminat. Pada pendapat saya, pemilihan pelakon, kesan bunyi, pengarahan dan pengolahan cerita berjaya digaul dengan cukup sebati sekali. DO[S]A diasak dengan pelbagai babak aksi yang mendebarkan, pergelutan, drama, khianat dan dendam kesumat. Saya berharap agar karya DO[S]A ini mampu mencipta satu penanda aras baru dalam industri seni tempatan mahupun serantau. Semoga anda semua terhibur”.

 

 

MB Berkesempatan hadir ke malam gala siri drama DO[S]A dan sebanyak 3 episod dipertontonkan kepada pihak media dan tetamu yang hadir. 

 

 

 

SINOPSIS “DO[S]A”

 

 

DO[S]A mengisahkan tentang empat beradik dibesarkan oleh bapa tunggal mereka, Latif (Dato’ M. Nasir), dengan nilai-nilai kesederhanaan, pegangan agama yang kuat, dan disiplin persilatan. Fuad (Ashraf Sinclair), Farid (Remy Ishak), Fahad (Hisham Hamid), dan Fara (Shenty Feliziana) hidup bersama bapa mereka dipelusuk paling sunyi Kampung Baru, Kuala Lumpur. Di situ, mereka menjalani kehidupan hampir tersembunyi daripada masyarakat, berlatih ilmu persilatan hari demi hari. Seolah-olah bersiap-siaga untuk menghadapi sesuatu. Rungutan mereka, terutama daripada Fara yang semakin memberontak langsung tidak diendahkan oleh bapa mereka. Rutin harian yang memerlukan adik-beradik ini bertumbuk, bertendang dan berhayun parang sesama sendiri akhirnya turut mewujudkan ketegangan di antara mereka di luar gelanggang. 

 

Perhubungan keluarga ini semakin bergolak apabila Fara berkenalan dengan seorang lelaki Indonesia, Arian (Reuben Elishama), yang tiba dari Jakarta semata-mata untuk berjumpa dengan Latif. Dalam usaha Arian melembutkan hati Fara untuk membawanya bertemu dengan Latif, mereka menjadi semakin rapat. Menyedari akan hal ini, abang sulung Fara, Fuad yang seolah-olah mengetahui tujuan Arian mencari Latif menghalang Fara untuk terus bertemu dengan Arian. Fuad kemudian bertindak mengusir Arian pulang ke Jakarta. Menjanjikan bahawa Latif tidak mahu lagi ada kaitan dengan ‘orang-orang seperti Arian’.

 

Berang dengan tindakan Fuad, Fara bertindak mengekori Arian ke Jakarta, tanpa mengetahui bahaya yang menanti dirinya di situ. Sebaik sahaja Fara keluar daripada pintu ketibaan di lapangan terbang Jakarta, dia terus diculik, dihumban ke dalam van, lalu dikurung di dalam sebuah gudang.

 

 

Tidak mengetahui nasib adik mereka, Fuad, Farid dan Fahad dihantar Latif ke Jakarta untuk membawa adik mereka pulang. Di sana, ketiga-tiga beradik itu sering mendapati diri mereka diserang tanpa sebab yang pasti, sekaligus memaksa mereka untuk mempertahankan diri di dalam pertempuran-pertempuran yang ganas. Arian yang baru mendengar mengenai berita penculikan Fara turut berganding bahu membantu abang-abang Fara. Semakin lama mereka di Jakarta, semakin banyak yang mereka mula fahami tentang asal usul keluarga mereka dan siapa bapa mereka yang sebenarnya. Sebelum mereka sedari, mereka terjerumus di tengah-tengah pergelutan kuasa di dalam dunia kongsi gelap Jakarta. Hanya mereka yang mampu menamatkan perang ini, walau sebesar mana pengorbanan yang diperlukan. |MYBUZZ|

 

 

 

 

Share on Facebook
Share on Twitter
Please reload

Follow Us
  • Black Instagram Icon
  • Black YouTube Icon
  • Twitter Basic Black
  • Facebook Basic Black
  • Black Google+ Icon
Recent Posts
Please reload

Please reload

© 2018 by SeoJun

Meet The Team

Cyrill Hassan

  • Facebook Social Icon
  • Instagram Social Icon
  • Twitter Social Icon

Ask me to know me. Get connected to my social media

Yus Yunus

  • Facebook Social Icon
  • Instagram Social Icon
  • Twitter Social Icon

Nobody is perfect.  Always stay connected with me.