PEMENTASAN OLABOLA THE MUSICAL BUKA TIRAI DI ISTANA BUDAYA


Enfiniti, syarikat produksi hiburan terkemuka yang memenangi anugerah di Malaysia, telah mempersembahkan pementasan pertama OlaBola The Musical yang dinanti-nantikan di dalam persembahan perdana di Istana Budaya yang baharu diubah suai pada Rabu lalu. Teater muzikal itu terbuka kepada orang ramai bermula Khamis, 8 Februari dan berlangsung sehingga 11 Mac 2018. OlaBola The Musical menjejak kisah “Tauke” Chow Kwok Keong iaitu Kapten pasukan yang bertekad untuk menerajui pasukan Harimau Malaya ke mercu Olimpik, dan sahabat baiknya, Rahman yang sangat peramah dan bercita-cita menjadi pengulas sukan. Muzikal ini juga memaparkan penjaga gol pasukan Muthu, bintang penyerang Ali dan barisan anggota pasukan lain yang pelbagai ragam, dengan audiens mengamati kisah impian pasukan muda ini dan cabaran yang mereka tempuh di dalam kejohanan Olimpik, di mana ketika itu negara yakin mampu mencapai impian besar. Dipersembahkan semula di atas pentas oleh Tiara Jacquelina, menerusi lirik yang menusuk jiwa, koreografi yang menawan dan lakonan mantap, muzikal ini bermula dengan pemaparan individu pasukan Harimau Malaya yang terus berlatih dengan gigih walaupun gagal melayakkan diri ke Olimpik 1976 tetapi penceritaan perlahan-lahan mendedahkan cabaran yang setiap watak utamanya harus hadapi, daripada kapten pasukan, Chow Kwok Keong yang terpaksa membuat pilihan antara cintanya terhadap bola sepak dengan menyediakan nafkah untuk keluarganya. Manakala bintang penyerang, Ahmad Ali secara mendadak menerima saingan dengan pengenalan penyerang kedua dalam pasukan. Dan dilema penjaga gol, Muthu yang bapanya sangat menentang anaknya bermain bola sepak dan mahu dia membantu keluarga. Ketegangan memuncak dalam setiap babak dan menyaksikan pasukan berpecah-belah dan tidak bersemangat. Namun, pasukan ini secara perlahan-lahan menginsafi kepentingan peranan setiap pemain dan menyedari pasukan itu berpeluang mencapai impian sama jika bersatu padu.

CIMB DENGAN BANGGANYA MEMPERSEMBAHKAN OLABOLA THE MUSICAL Mohamed Adam Wee Abdullah, Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan CIMB berkata, “CIMB dengan sukacitanya menjadi penaja persembahan bagi OlaBola The Musical dan kami sangat teruja ia kini dipersembahkan secara langsung di atas pentas. Sebagai bank peneraju universal ASEAN, kepelbagaian dan penyertaan adalah sebahagian daripada nilai teras CIMB, berperanan sebagai prinsip panduan di dalam operasi perniagaan kami, dasar-dasar manusia dan inisiatif CSR. Kami juga mengalu-alukan mesej penyepaduan OlaBola kepada rakyat Malaysia, terutama belia-belia kita untuk melihat melangkaui bangsa, agama, usia atau jantina, dan menerima kepelbagaian sebagai kekuatan kolektif Malaysia. Kami berharap rakyat Malaysia akan mendapat inspirasi daripada musikal ini dan menyerap nilai-nilai yang disampaikan menerusi OlaBola”.

PASUKAN IMPIAN OLABOLA THE MUSICAL Semangat 'esprit de corps' barisan pelakon OlaBola The Musical diterjemahkan di dalam persembahan seumur hidup, menganjak penonton dari kerusi mereka di Istana Budaya ke dalam Stadium Merdeka pada 1980. Barisan pelakon berbakat telah bekerja bersungguh-sungguh sejak sembilan bulan lalu untuk memantapkan lakonan, nyanyian dan koreografi mereka di dalam mempersembahkan watak-watak lakonan mereka.

Barisan pelakon bintang termasuk Iedil Putra sebagai Rahman, Stephen Rahman-Hughes sebagai Coach Harry Mountain, Altimet sebagai Sergeant Ahmad, Melissa Ong sebagai Chow Mei Ling dan Douglas Lim sebagai Mr. Wong (pemilik Kopitiam). Watak utama Harimau Malaya merupakan pelakon teater terkenal, Brian Chan sebagai “Tauke” Chow Kwok Keong, Abimanyu Masilamani sebagai Muthu dan Kai Chalmers sebagai Eric, dan juga Luqman Hafidz dan Lim Jian Wen yang kembali memainkan watak mereka dari filem, masing-masingnya sebagai Ali dan Ah Cai . Barisan pelakon turut menampilkan Emma Tosh, Fiza Thomas dan Nasz Sally serta krew “street dance” yang memenangi anugerah Giller Battle Crew terdiri daripada tiga adik-beradik B-boy dari Sabah – Khenobu, Weskarnain dan “Juicy” Mohd Yasin – dan penari hip-hop terkenal Budak Joget, dipimpin oleh Penolong Koreografer OlaBola The Musical, Fuzz Wayne. KEBANGGAAN DAN KEBAHAGIAAN BAGI TIARA JACQUELINA Tiara Jacquelina, aktres yang memenangi anugerah, produser dan “Chief Dream-Maker” Enfiniti Group dan Pengarah OlaBola The Musical berkata, “Saya memiliki skuad terdiri daripada bakat kreatif paling berdedikasi di negara ini bersama saya, menyokong saya dalam keseluruhan proses bermula dari penyediaan konsep hingga pengolahan skrip dan pementasan dan juga kepada meneliti butiran-butiran untuk saya bagi memastikan OlaBola akan menjadi pengalaman muzikal yang tidak akan dilupakan oleh rakyat Malaysia. Saya bersama pasukan saya telah menempuh perjalanan yang dipenuhi dengan keringat, ranjau dan air mata sejak tahun lalu untuk mempersembahkan sebuah pementasan yang kami harap dapat diserapi oleh semua rakyat Malaysia dan mencetus inspirasi kepada mereka. Selepas malam ini, saya berharap kami mampu melonjakkan rasa bangga dan perpaduan dan paling penting, mengajak audiens supaya “believe again” pada diri mereka sendiri, negara ini dan di dalam apa sahaja yang kita secara kolektif mampu capai bersama. SEBUAH REMIX HIP HOP, BOLA SEPAK DAN TEATER OlaBola The Musical adalah muzikal rap dan hip-hop pertama Malaysia yang memberikannya irama yang benar-benar segar dan membezakannya daripada produksi Malaysia yang lain. Di bawah arahan muzik Saiful Ridzuan a.k.a. Duan dari Seven Collared T-Shirt dan kolaborasi pertama kali antara rapper-penulis lirik Altimet dan, komposer dan penulis lirik Mia Palencia, pengkisahan OlaBola The Musical menerima suntikan hip hop, rock dan irama new age yang pasti disukai belia Malaysia hari ini. Muzik dan lirik ditetapkan untuk menepati setiap babak ketika ia berubah dari irama melodi pemerkasaan kepada pertempuran rap tegang dalam babak pertengkaran.


“Saya amat menyukai filem Ola Bola. Saya menontonnya dua kali dan memujinya semasa kali pertama menontonnya. Apabila Tiara menghubungi untuk memberikan peluang ini, saya terus menerimanya tanpa ragu-ragu. Ringkasnya, tiada lagi produksi negara ini mengetengahkan muzik rap dan hip hop seperti OlaBola The Musical. Ia telah memberi pengalaman yang cukup berharga untuk mendengar dan menonton lirik-lirik yang dipersembahkan secara langsung oleh kumpulan individu yang berbakat bagi menceritakan kisah ikonik ini. Kami berharap negara ini menyukai muzikal ini sebagaimana saya seronok menjadi sebahagian daripadanya,’’ kata legenda rap tempatan dan penulis lirik rap OlaBola The Musikal, Altimet. (foto) Pementasan muzikal ini memerlukan koreografi yang kompleks daripada irama melodi kepada babak perlawanan bola sepak dan tiada siapa yang lebih arif membawa bahasa tarian dan pergerakan menjadi hidup berbanding koreografer yang memenangi pelbagai anugerah dan pelakon West End, Stephen Rahman-Hughes sebagai Koreografer Pergerakan Khas.

“Setelah bekerja dengan Tiara dan pasukan Enfiniti sebelum ini, saya tahu sejauh mana usaha dan kemahiran dicurahkan ke dalam setiap produksi mereka, jadi ia sentiasa menjadi kebanggaan untuk bekerja dengan mereka. Ia merupakan cabaran untuk memikirkan bagaimana kami hendak mencipta semula perlawanan bola sepak di atas pentas sehingga kami menyedari pergerakan slow-motion digabungkan dengan koreografi hip-hop sebagai penyelesaiannya. Sama seperti peranan saya sebagai Coach Harry, ia adalah tugas saya untuk mengajar barisan pelakon teknik dan kaedah yang betul. Saya sangat-sangat berbangga ia berjaya dilakukan dan kami pasti audiens akan terpesona dengan persembahan mantap ini,’’ kata Stephen Rahman-Hughes. (foto) OlaBola The Musical juga memaparkan persembahan koreografi mengagumkan oleh Giller Battle Crew (juara 8TV Showdown 2012) dan kru tarian hip-hop yang memenangi anugerah antarabangsa, Budak Joget. “Hip-hop telah menjadi cara kehidupan bagi saya dan untuk diberi peluang menjadi sebahagian daripada OlaBola The Musical adalah satu penghormatan. Ia adalah sesuatu yang begitu istimewa untuk berkolaborasi dengan Koreografer Adzwa, Pengarah Pergerakan dan menyasikan bakat paling kreatif di Malaysia membawa koreografi kami menjadi hidup. Keseluruhan pengalaman telah benar-benar memberi makna daripada melatih rakan-rakan pelakon dalam koreografi hip hop saya kepada mempelajari kemahiran berlakon dan bernyanyi,’’ kata Pembantu Koreografer, Muhammad Fazrin aka Fuzz Wayne.