MUNAFIK 2 SARAT AKSI SERAM DAN PENUH KEJUTAN

August 29, 2018

 

Meneruskan momentum penonton filem melayu ke panggung satu lagi filem bergenre seram 'Munafik 2' bakal membuka tirai kepada umum mulai 30 Ogos 2018. Filem ini merupakan kesinambungan kepada filem Munafik (2016), arahan pengarah muda, Syamsul Yusuf.. 

 

Mengimbas kembali buat seketika tentang filem MUNAFIK, berkat doa dan semangat gigih Syamsul semasa menghasilkan MUNAFIK ternyata telah mengukir kejayaan besar dalam lipatan sejarah kerjaya beliau sebagai seorang pengarah dan pengkarya apabila beliau dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke 28 pada tahun 2016 buat kali ke 3 di samping berjaya memenangi Filem Terbaik Nasional. Dalam dalam tahun yang sama juga beliau sekali lagi berjaya merangkul anugerah Pengarah Filem Terbaik menerusi Anugerah Skrin 2016. Kejayaan yang paling tidak dapat dilupakan apabila beliau berjaya menempa sejarah besar dengan memenangi Pengarah Filem Terbaik di 57th Asia Pacific Film Festival 2017. Segalanya bagaikan mimpi, namun ini yang dinamakan rezeki.
   
Kini, Syamsul kembali meneruskan usaha dan perjuangan dalam industri perfileman menerusi MUNAFIK 2. Syamsul sekali lagi mengekalkan genre seram dan penuh dengan perisian keagamaan (Islamic) dengan gaya persembahan yang lebih bertenaga dan bermotivasi. Boleh dikatakan atas permintaan para penggemar setia filem-filem karya Syamsul telah mendorong beliau untuk mempersembahkan sebuah lagi karya yang berkait rapat dengan jalan cerita MUNAFIK. Filem MUNAFIK 2 merupakan karya Syamsul yang ke 10. 

Barisan pelakon Munafik 2 | Dari kiri : Datuk Rahim Razali, Mawi, Nasir Bilal Khan, Maya Karin, Adik Nur Zara Sofia, Weni Panca Apriyantina, Syamsul Yusuf, Datuk Yusuf Haslam

 

Syamsul menaruh kepercayaan tinggi dengan menampilkan Maya Karin buat pertama kalinya dalam MUNAFIK 2. Bakat lakonan beliau yang besar menerusi filem-filem lakonannya sebelum ini yang cukup berkesan diyakini mampu menghidupkan watak Sakinah yang menuntut pengawalan emosi sebagai seorang anak yang menjaga bapanya yang mengidap penyakit misteri di samping membesarkan seorang anak yang turut menderita sejenis penyakit gara-gara tekanan akibat diganggu jin/syaitan.

 

Syamsul juga buat kedua kalinya menampilkan Nasir Bilal Khan sebagai pemain watak yang sangat mencabar menerusi MUNAFIK 2. Syamsul percaya berdasarkan lakonan mantap Nasir sebelum ini menerusi filem BOHSIA… Jangan Pilih Jalan Hitam (2009), Nasir berupaya memberikan persembahan terbaik untuk watak yang dipertanggungjawabkan kepadanya dalam MUNAFIK 2.    

 

Keserasian gandingan Syamsul dan Mawi dalam bidang nyanyian mendorong Syamsul untuk memberi tugasan baharu buat Mawi untuk menghidupkan satu watak dalam MUNAFIK 2. Syamsul mengambil kira kesesuaian Mawi sebagai seorang personaliti yang berpengaruh dengan kreativiti keagamaan. 

 

Fauzi Nawawi juga turut menjadi pilihan Syamsul untuk mendukung watak yang diwujudkan dalam MUNAFIK 2. Pemilihan Fauzi dibuat berdasarkan hasil lakonan beliau yang dilihat mampu memainkan peranan yang tidak kurang cabarannya. 

 

Selain itu, Syamsul juga masih mengekalkan beberapa pelakon hebat lain yang pernah muncul dalam MUNAFIK seperti Fizz Fairuz dan Datuk Rahim Razali turut membintangi MUNAFIK 2. 

 

Sebagai seorang pengarah kerdil dalam industri perfileman tanahair, beliau sentiasa berdoa agar bakat yang dianugerahi Tuhan kepadanya mampu mendorong dirinya untuk memberi persembahan terbaik bagi MUNAFIK 2, ini janji beliau kepada para penggemar setia filem tempatan. Tapi yang paling beliau titikberatkan adalah semua usahanya ini demi memartabatkan industri perfileman tanahair. 

 

“Di dalam Al Quran, antara golongan yang paling teruk dikeji Allah ialah ulama yang tidak amanah dan mengharapkan habuan dunia. Golongan inilah yang bakal ditentang Ustaz Adam di dalam filem MUNAFIK 2” begitulah petikan kata-kata Syamsul. 

 

MUNAFIK 2 KE PASARAN THAILAND, VIETNAM DAN KEMBOJA

 

Dalam perkembangan lain , pihak SKOP Production turut merancang untuk membawa filem Munafik 2 ke pasaran Thailad, Vietnam dan Kemboja . Ini berikutan kejayaan serta sambutan baik  yang diterima oleh filem ini sewaktu ditayangkan di Indonesia, dua tahun lalu. Filem Munafik 2 bakal membuka tirai di lebih 40 pawagam di seluruh Indonesia pada 29 September 2018. 

 

Datuk Yusuf Haslam dalam ucapan ringkas sebelum tayangan gala filem ini kelmarin turut menyatakan mesej yang disampaikan melalui filem ini bersifat universal dan sesuai untuk ditonton oleh semua bangsa tanpa mengira batas bangsa, agama dan negara.

 

Bahasa: Melayu
Sarikata: Inggeris
Klasifikasi: P13
Tarikh Tayangan: 30 Ogos 2018
Genre: Seram
Durasi: 2 Jam 1 Minit
Pengedar: Skop Production
Pelakon: Syamsul Yusof, Maya Karin, Fizz Fairuz, Mawi, Fauzi Nawawi, Nasir Bilal Khan, Datuk Rahim Razali, Weni Panca Apriyantina, Nur Zara Sofia
Pengarah: Syamsul Yusof
Format: 2D

 

SINOPSIS

 

Selepas tragedi hitam yang melanda Ustaz Adam, lautan kehidupannya kembali tenang. Dia mula menjadi pendakwah bebas dan meneruskan tanggungjawab membantu orang-orang yang terkena gangguan sihir/jin di serata tempat. Ujian yang menimpa sebelum ini telah mengajarnya untuk lebih tawadhu pada Ilahi.

 

Namun apa yang mengelirukan, Adam sentiasa dihantui dengan imbasan-imbasan silam tentang kematian Maria, kenapa? Adam juga sering didatangani seorang wanita misteri yang mempersoalkan tentang keimanan dan takdir Tuhan.

 

Dalam masa yang sama, di seberang kampung tinggal seorang wanita bernama Sakinah anak lelakinya Aman. Sakinah terpaksa menjaga yang mengidap penyakit misteri. Kehidupan Sakinah yang daif memberi tekanan padanya ditambah pula dia dan anaknya beberapa kali diganggu syaitan. Sakinah percaya apa yang dihadapinya berpunca dari Abuja, seorang munafik dan ketua ajaran sesat di kampung yang sama.

 

Abuja mempunyai pengikut yang ramai dan digeruni penduduk kampung. Sakinah atau sesiapa sahaja yang masih berpegang pada Islam adalah musuh Abuja. Dia menggunakan sihir/jin untuk menghancurkan sesiapa yang tidak mengikut ajarannya. Ini memaksa Sakinah untuk mencari Ustaz Adam.

 

Kedatangan Adam ke kampung seberang telah menimbulkan kemarahan Abuja. Adam bukan sahaja terkejut dengan apa sebenarnya berlaku pada keluarga Sakinah tetapi juga dengan ajaran sesat Abuja yang memesongkan akidah orang Islam di kampung itu.

 

Bermulalah perjuangan Adam di jalan Allah sekali lagi. Mampukah Adam menepis “talbis iblis” yang bakal diharunginya kali ini? Apakah rahsia di sebalik imbasan kematian Maria di fikiran Adam? Siapa sebenarnya Sakinah di sisi Abuja? Adakah Sakinah terus kuat berpegang pada Islam walau diugut Abuja?

 

Di dalam Al Quran, golongan yang paling teruk dikeji Allah ialah ulama yang tidak amanah dan mengharapkan habuan dunia. Golongan ini lah yang bakal ditentang Ustaz Adam di dalam filem “Munafik 2”.

 

Nantikan, pertarungan antara hak dan batil yang mampu menggegarkan jiwa. Berjayakah Ustaz Adam melawan orang-orang munafik yang menentang Allah dan Rasulnya? Kerana Adam hanyalah insan biasa…

 

Share on Facebook
Share on Twitter
Please reload

Follow Us
  • Black Instagram Icon
  • Black YouTube Icon
  • Twitter Basic Black
  • Facebook Basic Black
  • Black Google+ Icon
Recent Posts
Please reload

Please reload

© 2018 by SeoJun

Meet The Team

Cyrill Hassan

  • Facebook Social Icon
  • Instagram Social Icon
  • Twitter Social Icon

Ask me to know me. Get connected to my social media

Yus Yunus

  • Facebook Social Icon
  • Instagram Social Icon
  • Twitter Social Icon

Nobody is perfect.  Always stay connected with me.