NOKIA LANCAR TELEFON PINTAR NOKIA 6.1 PLUS DAN NOKIA 5.1 PLUS DENGAN REKA BENTUK SKRIN PENUH


HMD Global, pangkalan bagi telefon Nokia, semalam telah melancarkan Nokia 6.1 Plus dan Nokia 5.1 Plus yang dinanti-nantikan ramai di hadapan Duta Finland ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Petri Puhakka. Pelancaran telefon Nokia menjadi kemuncak acara yang meraikan segalanya yang menarik tentang Finland, dengan menampilkan beberapa jenama paling terkemuka dari negara tersebut. 


Nokia 6.1 Plus dan Nokia 5.1 Plus baharu direka bentuk dengan matlamat mencapai piawaian mutu kerja tinggi dan menjanjikan pengalaman pengguna yang lebih baik. Pelancaran kedua-dua telefon pintar ini di pasaran Malaysia akan memperkukuh jenama Nokia dalam kalangan pesaingnya. Kualiti Nokia terus menjadi lambang keunggulan dan nadi penggerak HMD Global. 


Vijay Thangavelu, Pengurus Negara (Malaysia dan Myanmar), HMD Global, berkata: “Reka bentuk berkualiti, Android tulen dan prestasi tinggi. Inilah tiga ciri penting Nokia 6.1 Plus dan Nokia 5.1 Plus. Kami membuktikan komitmen kami kepada pasaran Malaysia dengan membawakan kecanggihan reka bentuk, binaan kukuh dan pengalaman pengguna keseluruhan. Inovasi skrin terbaru digabungkan dengan prinsip reka bentuk kami membawakan saiz paparan maksimum tanpa menjejaskan kepadatan garis bentuk. Kualiti binaan teguh Nokia memang kami utamakan dan inilah yang menjadi kebanggaan jenama. Ciri-ciri seperti paparan skrin penuh, prestasi dinaik taraf dan pengimejan AI menjadikan kedua-dua peranti ini serba canggih lagi menarik. Kami sememangnya teruja untuk memperkenalkan rangkaian telefon pintar baharu ini dan yakin dengan sambutan baik di pasaran.” 

Nokia 6.1 Plus

Berlandaskan reka bentuk skrin penuh yang serba menarik, Nokia 6.1 Plus menjanjikan pengalaman skrin lebih besar dengan garis bentuk yang tipis dan padat. Nisbah skrin 5.8-inci HD+ 19:9 penuh, dengan gamut warna 96%, menghasilkan pengalaman tontonan yang menarik, menjadikan Nokia 6.1 Plus telefon pintar paling sesuai untuk memaparkan aksi yang mengasyikkan. Cantik dipandang mata dan direka berasaskan piawaian tertinggi yang diharapkan daripada telefon Nokia, peranti serba canggih ini dilitupi kaca hadapan dan belakang, merangkumi 93% daripada permukaan berlekuk mewah telefon untuk memastikan genggaman yang selesa.  Di sebalik wajah yang anggun ini, set cip Qualcomm® Snapdragon™ 636 Mobile Platform yang 40% lebih pantas daripada versi terdahulu menghasilkan grafik kelas pertama dan penambahbaikan bateri untuk memastikan anda boleh menikmati audio dan video lebih lama. 


Kamera belakang dwisensor Nokia 6.1 Plus menghasilkan ketajaman dan keterperincian yang amat baik untuk gambar anda.  Hasil daripada pengimejan canggih, anda boleh merakamkan gambar ala profesional menggunakan pilihan ciri pengaburan bokeh, yang boleh dilaraskan dalam masa sebenar apabila anda mengambil gambar. Hidupkan gambar anda dengan HDR untuk kedalaman warna luar biasa, dan pengimejan AI lanjutan, termasuk turas dan topeng menyeronokkan serta persona 3D tersendiri, di samping lampu potret untuk menambah kesan cahaya luar biasa kepada gambar anda.  


Selain itu, rakamkan swafoto mirip cermin yang sangat terperinci dengan kamera depan 16MP yang benar-benar seimbang. Paling menarik, anda tidak perlu memilih salah satu dari dua kamera, mod #Bothie kini boleh memanfaatkan ciri penambahbaikan AI pada kedua-dua kamera secara serentak dengan topeng dan turas dan menyiarkannya secara langsung dalam masa sebenar ke Facebook dan YouTube terus daripada aplikasi kamera anda. Ini merupakan satu lagi ciri yang pertama kali diperkenalkan oleh telefon pintar Nokia. 

Nokia 5.1 Plus


Nokia 5.1 Plus dipacu oleh pemproses lanjutan MediaTek Helio P60 empat teras yang biasanya didapati dalam telefon pintar lebih canggih. Enjinnya telah dicipta khas untuk menghasilkan kuasa jitu bagi mengendalikan permainan, video atau aplikasi berbilang kegunaan dengan mudah. Pengimejan canggih membolehkan anda merakamkan gambar ala studio dengan mengesan kedalaman gambar dan pilihan pengaburan bokeh, selain menyediakan lampu potret. Dua sensor belakang 13MP/5MP dengan penstabilan video elektronik memastikan anda merakamkan video yang mantap dan tajam sekali gus mengabadikan saat-saat istimewa bersama sahabat handai, dalam apa jua keadaan. 


Skrin 5.8-inci HD+ dari sisi ke sisi memaksimumkan paparan kandungan kepada peminat dengan kesan jejak minimum. Nokia 5.1 Plus menampilkan reka bentuk tersendiri dengan kaca melengkung 2.5D depan dan belakang, disokong oleh sisi lengkungan dan tombol kamera logam hasil mesin CNC, dengan tingkap kaca optikal dan rangka kemasan kilauan tinggi.  Senipis 8mm, reka bentuk ergonomi dengan ciri lengkungan terus-menerus memastikan keselesaan genggaman di tangan. Rangka logam tuangan terap penuh Nokia 5.1 Plus dengan bingkai polikarbonat telah diuji kualitinya dalam suhu lampau dan turut menjalani ujian kejatuhan untuk mematuhi tahap piawaian kualiti tinggi telefon Nokia. 

Tulen, selamat dan terkini, diperkukuh dengan komitmen Android One 

Setiap peranti sentiasa dikemas kini, dengan tampalan keselamatan secara bulanan selama tiga tahun dan kemas kini OS yang dijamin selama dua tahun selepas dilancarkan.  Seperti semua telefon Nokia dalam program Android One, anda dijanjikan kuasa bateri dan ruang simpanan lebih besar sejak dari mula lagi kerana tiada penyesuaian tambahan atau aplikasi pihak ketiga yang tidak perlu. Dengan menggunakan Android Oreo™, telefon Nokia ini membolehkan anda menikmati semua ciri terkini seperti Google Lens. Kedua-dua telefon juga bersedia untuk menerima Android Pie. Naik taraf ini termasuk tindakan Aplikasi bahru bagi pengguna dan juga pelbagai ciri hebat lain. 

Bekalan Telefon Nokia 6.1 Plus dan Nokia 5.1 Plus boleh didapati dalam pilihan tiga warna – Gloss Black (Hitam Kilat), Gloss White (Putih Kilat) dan Gloss Midnight Blue (Biru Gelap Kilat). 

•    Nokia 6.1 Plus boleh didapati mulai 26 September pada harga runcit disyorkan RM 1149.

     Rebut tawaran pelancaran bernilai RM300 termasuk kamera aksi, pelindung skrin kaca

     tahan pecah dan sarung silikon, selagi stok masih ada. 

•   Pengumuman mengenai bekalan Nokia 5.1 Plus akan dibuat pada masa yang sewajarnya.

Mengenai HMD Global

Beribu pejabat di Espoo, Finland, HMD Global Oy ialah pangkalan bagi telefon Nokia. HMD mereka bentuk dan memasarkan rangkaian telefon pintar dan telefon canggih yang disasarkan pada kumpulan pengguna dan julat harga berbeza. Dengan komitmen terhadap inovasi dan kualiti, HMD berbangga untuk menjadi pemegang lesen eksklusif jenama telefon dan tablet Nokia. Untuk maklumat lanjut, layari www.hmdglobal.com. 

Nokia ialah tanda dagang berdaftar Nokia Corporation. Android, Google dan tanda lain adalah tanda dagangan Google LLC; Oreo ialah tanda dagangan kumpulan Mondelez International, Inc.. Qualcomm dan Snapdragon ialah tanda dagang Qualcomm Incorporated, yang berdaftar di Amerika Syarikat dan negara lain. Qualcomm Snapdragon ialah produk Qualcomm Technologies, Inc. dan/atau anak syarikatnya. 

Follow Us
  • Black Instagram Icon
  • Black YouTube Icon
  • Twitter Basic Black
  • Facebook Basic Black
  • Black Google+ Icon
Recent Posts

© 2018 by SeoJun

Meet The Team

Cyrill Hassan

  • Facebook Social Icon
  • Instagram Social Icon
  • Twitter Social Icon

Ask me to know me. Get connected to my social media

Yus Yunus

  • Facebook Social Icon
  • Instagram Social Icon
  • Twitter Social Icon

Nobody is perfect.  Always stay connected with me.