HKTDC PERKENAL PRODUK GAYA HIDUP HONG KONG KE PASARAN MALAYSIA


Selain daripada menjadi hab membeli-belah serta lokasi pembikinan drama TV hebat yang menjadi tontonan ramai, Hong Kong juga merupakan salah satu tempat kelahiran bagi banyak jenama tempatan dan produk gaya hidup yang inovatif. Hong Kong Trade Development Council (HKTDC) merupakan satu badan yang bertanggungjawab dalam mempromosikan produk dan perkhidmatan dari Hong Kong ini di arena antarabangsa.


Kini, DG Studio mengambil inisiatif membawa hadiah serta cenderamata-cenderamata gaya terkini dan premium dari Hong Kong kepada pembeli-pembeli di Malaysia. Sebanyak 12 jenama terkenal telah ditampilkan kepada orang ramai di pusat beli-belah 1 Utama (Sayap Baru Tingkat LG Highstreet) dari 20 hingga 24 Februari 2019 dan di Da Men Mall (LGB1,Tingkat LG ) dari 20 hingga 26 Februari 2019.

Dua belas jenama DG Studio adalah Artiart, Cardhoda, Eco Concepts, Hoobbe, Hyone, Kilovest, Konstar, MH Blocks, Paris Garden, SOAP Studio, Tea Lab and Team Green. Kesemua 12 jenama berkenaan mengkhusus kepada produk-produk gaya hidup tertentu, yang biasanya dijadikan sebagai hadiah peribadi atau korporat dan premium. Apa yang membuat produk-produk ini berbeza adalah dari segi kreativiti, keunikan dan gaya terkini bagi produk harian pengguna.

“Kami berbangga menampilkan produk-produk gaya hidup Hong Kong kepada rakyat Malaysia, kerana kami percaya pasaran di Malaysia sudah bersiap sedia untuk menerima produk-produk yang bukan saja menepati fungsinya, bahkan mampu mencuit emosi. Kami yakin bahawa sesetengah produk yang anda nampak hari ini mampu menceriakan hati anda,” kata Hoh Jee Eng, Pengarah, Malaysia, HKTDC.

Artiart merupakan jenama produk kegunaan isi rumah dengan rekaan inovatif. Jenama ini menghasilkan perkakasan untuk rumah, perkakasan untuk minuman dan item-item berkaitan-bisnes dengan rekaannya yang kreatif, unik, menyeronokkan dan berwarna-warni. Antaranya adalah cawan AR Iceberg Suction Cup, dengan cengkaman bawah, dan Elegance Suction Bottle yang 100% bebas bocor, produk yang dikatakan dihantar dari ‘syurga’ untuk individu yang kerap ditimpa ‘kemalangan’ dan menjadi produk yang paling laris bagi syarikat itu.


Konstar pula mengutamakan kepada peralatan isi rumah yang kecil. Jenama ini direka secara inovatif bagi memudahkan kerja-kerja rumah yang banyak mengambil masa. Empat daripada produknya telah meraih anugerah RedDot Design.


“Saya masih sukar untuk mempercayai bahawa betapa pantas saya dapat mengupas epal dengan hanya menggunakan pengupas Super Apple Peeler ini. Produk ini hanya mengambil masa beberapa saat sahaja pada kerja yang biasanya mengambil beberapa minit untuk menyiapkan. Super Apple Peeler ini menerima anugerah kehormatan Reddot 2014. Rekaan Salad Master yang turut meraih anugerah Reddot 2014 juga tidak kurang pintarnya. Apa yang saya pasti adalah saya tidak akan kembali kepada kaedah-kaedah lama yang konvensional!” kata Pengacara dan Personaliti TV, Dahlia Shazwan yang berkesempatan menunjukkan kaedah penggunaan produk tersebut.

“Bagi yang mengutamakan kesedaran alam sekitar, permainan puzzle mesra-alam rekaan Green Team ini diperbuat daripada kayu dan sumbernya diambil secara beretika. Hadiah ini yang sudah tentu akan mampu mencetuskan kesedaran,” kata Eyka Farhanna, aktres popular Malaysia yang hadir pada majlis memperkenalkan produk-produk tersebut.



Bagi pejuang alam sekitar, cawan dan mug biodegradasi daripada Eco Concepts yang kreatif dan diperbuat daripada 100% sekam jagung juga cukup menarik, inovatif dan menyeronokkan. Produk-produk ini membuktikan bahawa konsep cintakan hijau bukan bermakna sesuatu yang bosan.

Bercakap mengenai cintakan hijau, Paris Garden menampilkan dengan kit berkebun di rumah untuk mereka yang baru berjinak-jinak mencucuk tanam dengan menanam pokok-pokok herba, buah-buahan, sayur-sayuran dan bunga di rumah. Sesiapa sahaja boleh melakukkannya dengan panduan langkah-demi-langkah yang terdapat pada kit berkebun tersebut. Kit bagi menanam pokok herba daripada jenama tersebut cukup popular terutamanya dalam kalangan chef-chef yang berharap mempunyai tanaman herba sendiri.