KONSERT HORA HOREY LIVE! DIDI & FRIENDS’ BAKAL GEGAR CUTI SEKOLAH AKAN DATANG


  • 9 keluarga pemenang bertuah berpeluang memenangi kemunculan maskot Didi & Friends sebagai kejutan di sambutan hari kelahiran!


Siri animasi kanak-kanak popular, ‘Didi & Friends’ bakal mengadakan ‘Konsert Hora Horey LIVE! Didi & Friends’, yang akan dibawakan secara eksklusif dan interaktif di Quill Convention Center, Kuala Lumpur. Konsert berdurasi 65 minit itu akan berlangsung selama empat hari berturut-turut bermula dari 15 sehingga 18 Ogos 2019, bersempena dengan cuti persekolahan yang akan bermula pada 10 Ogos ini.


Diangkat sebagai sebuah fenomena hebat di kalangan kanak-kanak, ibu bapa dan guru, 'Didi & Friends' adalah produksi bersama Digital Durian dan Astro, dengan lebih daripada 2 juta pengikut dan 1.5 bilion tontonan di YouTube. ‘Didi & Friends’ berjaya memenangi hati peminat menerusi lagu-lagu menarik dan watak-watak comel yang begitu disayangi ramai seperti, ‘Didi’, ‘Nana’, ‘Jojo, ‘Pak Atan’, ‘Bingo’ dan banyak lagi.

Sinan Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Digital Durian berkata, “Konsert Hora Horey LIVE! Didi & Friends adalah mimpi yang menjadi kenyataan bagi saya. Misi kami adalah untuk mencipta momen keluarga yang penuh kasih sayang dan bahagia untuk ibu bapa, terutama sekali untuk anak-anak. Ini adalah langkah terbaik untuk membuat ibu bapa dan anak-anak gembira, iaitu dengan membawa para peminat Didi & Friends merasai sendiri pengalaman konsert muzikal interaktif yang cukup hebat! "


"Konsert muzikal interaktif untuk kanak-kanak secara besar-besaran seperti Konsert Hora Horey LIVE! Didi & Friends ini adalah yang pertama dari kami, dan tidak pernah dianjurkan oleh mana-mana penggiat karakter kartun tempatan yang lain. Usaha dan penyelidikan yang kami lakukan - pengalaman yang ingin kami sampaikan - adalah pengalaman seumur hidup. Tarikan maskot baharu, persembahan, gimik dan pelbagai momen interaktif sudah pasti akan membuatkan anak-anak dan ibu bapa berasa teruja di sepanjang berlangsungnya persembahan. "


"Menariknya lagi, bersempena dengan penganjuran Konsert Hora Horey LIVE! Didi & Friends ini, kami berbesar hati mengumumkan di sini bahawa kami akan meraikan 9 keluarga pemenang bertuah dengan membawakan kemunculan maskot ‘Didi & Friends’ sebagai kejutan di sambutan hari kelahiran mereka. Bayangkan kehadiran Didi, Nana, Pak Atan, Jojo atau Bingo di majlis anda dan menyambut hari istimewa anda bersama rakan dan keluarga tersayang? Setiap pemenang akan dipilih menerusi proses cabutan bertuah yang akan diadakan di setiap persembahan; 9 persembahan secara keseluruhannya. Semua yang hadir berpeluang untuk memenangi hadiah hebat ini.”


Mengulas lebih lanjut tentang harapannya bagi konsert ini, Sinan berkata, “Harapan besar kami adalah untuk mencipta momen yang akan diingati oleh semua peminat cilik kami dan juga dapat menguatkan ikatan kasih dan sayang antara ibu bapa dan anak, seterusnya menjadikan pengalaman ini tidak dapat dilupakan. Kami berjanji untuk memberikan yang terbaik, kerana kami mempunyai peminat yang terbaik. Ini mungkin konsert pertama kami - tetapi kami percaya ia akan menjadi satu sejarah buat kami dan para peminat! Teruskan menyokong Didi & Friends supaya kami dapat terus menzahirkan lebih banyak lagu, animasi dan pengalaman berharga untuk orang yang tersayang.”