NORANIZA IDRIS BANGUNKAN PROGRAM C.S.R BUDAYA “MALAY WORLD CULTURAL PARADISE” SEMPENA HARI KEBANGSAAN DAN TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2020

September 5, 2019

 

 

 

 

BERMULA DI RUMAH SELANGOR, MINI MALAYSIA & ASEAN CULTURAL PARK AYER KEROH MELAKA BERMULA OGOS SEMPENA SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN SEPANJANG TAHUN MENJELANG TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2020  

 

PELANCARAN

 

Pendekatan kalendar aktiviti “Malay World Cultural Paradise”

 

 

 

Hasrat Noraniza Idris untuk menjadi seorang guru satu ketika dahulu terpaksa dilupakan kerana keluarga kurang berkemampuan akhirnya tercapai juga apabila keputusannya untuk berkhidmat kepada masyarakat generasi pelapis melalui program seni dan budaya disokong penuh dan direstui oleh suaminya Haji Jeffri Iman bin Haji Hoodi baru-baru ini. Penyanyi Irama Malaysia yang juga pengasas program modal insan pembangunan budaya dan belia “Malay World Cultural Paradise”,ini menerima keputusan suaminya dengan penuh kesyukuran dan hati yang terbuka. Hanya setelah menunggu hampir 3 tahun lamanya baru kini mendapat persetujuan suaminya untuk menumpukan perhatian ke Negeri Melaka. Berat mata memandang berat lagi bahu memikul, itulah pepatah yang diibaratkan apabila suaminya meliihat liku-liku kehidupan dan usaha gigih Noraniza yang sentiasa tidak pernah mengalah untuk terus berkongsi ilmu dengan caranya sendiri.

 

Pemilihannya untuk ke Negeri Melaka kerana keunikan negeri ini dan kepesatan sektor pelancongannya yang begitu dekat dengan jiwa. Kepulangannya untuk kedua kali ini ke Negeri Melaka membawa satu tekad dengan matlamat untuk membimbing dan mendekati generasi pelapis yang memerlukan rujukan dan bantuannya agar tidak perlu malu dan terus dibimbing untuk tampil ke hadapan demi menuntut ilmu.

 

Mini Malaysia dan ASEAN Cultural Park di Ayer Keroh Melaka menjadi lokasi pilihannya. Banyak sentimental value dalam hidupnya. Selagi tidak berhadapan dengan kenangan masa silam, selagi itu ia tetap kekal di ingatan. Hanya setelah 12 tahun, akhirnya Noraniza terbuka hati untuk terus berani berhadapan membuktikan ketelusannya bahawa kebahagian dan kepuasan berkarya tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Selagi tidak memanfaatkan ruang dan peluang kelak akan berterusan terbuku di hati. Berlandaskan pengalaman jatuh bangun dalam kehidupan bermula dari Mini Malaysia dan ASEAN ini lah, Noraniza mula mengumpulkan nota-nota untuk dijadikan sebagai modul pendekatan untuk mendidik pelapis baru dari seawal usia 6 tahun agar terus berpegang kepada dua (2) perkara utama penting sebagai asas dalam kehidupan. Nilai-nilai murni yang diterap melalui kesenian warisan. Digabungkan dengan bimbingan rohani bertujuan untuk mengukuhkan kekuatan mental dan fizikal dalaman. Memupuk jatidiri yang tulin dan diadaptasikan dalam pembawakan yang seiring dengan asas-asas tari, lakonan, nyanyian, muzik dan seni bela diri kepada pelajar yang terdiri dari pelatih berusia seawal 6 tahun ke atas yang berada di bawah bimbingannya. Sempena sambutan hari Kebangsaan Malaysia ini, Noraniza melancarkan kalendar pertama yang dinamakan “Merdeka Fleastar” bertema “Nguri-Uri Budaya Jawi” di Rumah Selangor Mini Malaysia & ASEAN Cultural Park Ayer Keroh Melaka.

 

Hari Kebangssaan memberi 1001 pengertian buat pelopor Irama Malaysia ini. Kehadiran bulan kemerdekaan Negara ini menjadi titik tolak kepada setiap generasi masakini menghargai setiap pengorbanan pejuang-pejuang Negara satu ketika dahulu. Ilham perjuangan ini dijadikan sebagai satu inspirasi dalam mengukuhkan semangat mempejuangkan irama Malaysia agar terus dikenali dan dihargai oleh generasi pelapis masa kini dalam apa juga bentuk pendekatan yang diketengahkan dalam industri muzik masa kini. Menghargai irama ini boleh divisualkan dalam pelbagai cara bukan sahaja dari cara nyanyiannya sahaja, konsep lagunya atau siapa yang menyanyikannya tetapi menerusi penggunaan elemen alat muziknya di dalam gubahan-gubahan lagu-lagu masakini sahaja sudah melambangkan semangat jatidiri dan identiti sebenar sebagai rakyat Malaysia yang sebenarnya merdeka dari segala aspek.

 

Setelah 18 bulan mempraktikkan modul pembelajaran dari hasil tulisan dan ilhamnya yang telah melalui pengalaman kehidupan sebagai anak seni selama lebih 33 tahun atas jihad budaya, Noraniza mula menarik nafas lega kerana suaminya yang disifatkan sebagai seorang yang sukar memahami minat dan kehidupan anak seni kini sedikit demi sedikit mula hadam dan akur akan minat  Noraniza terhadap seni dan warisan budaya Malaysia ini.     

 

Bermula 1 Julai 2019 yang lalu, Noraniza membawa program modal insan ini ke Rumah Selangor, Mini Malaysia & ASEAN Cultural Park, Lebuh Ayer Keroh Melaka buat pertamakalinya telah menganjurkan sebuah program membangunkan seni dan budaya di kalangan belia dan pelapis awal usia melalui inisiatifnya yang mensasarkan peserta pelatih di sekitar Negeri Melaka khasnya dan Malaysia secara amnya. Aktiviti yang disediakan ini untuk dijadikan sebagai satu tarikan agar lebih ramai pengunjung yang datang berkunjung ke taman tema ini dapat merasai suasana perkampungan budaya yang sebenar apabila setiap kali ke taman tema ini menerusi sentuhan pendekatannya.

 

Aktiviti utama pada setiap hujung minggu di MWCP adalah :

 

i.Asas tarian Tradisional Malaysia,

 

ii.Asas lakonan teater,

 

iii.Asas permainan muzik gamelan,

 

iv.Asas seni silat 

 

v.Asas teknik asas nyanyian lagu-lagu irama Malaysia

 

 

 


Aktiviti ini turut menghimpunkan sukarelawan terdiri dari bekas pelatih yang berkelayakan dan berpengalaman sebagai tenaga pengajar kepada pelatih-pelatih baharu yang mendaftar menerusi promosi awal melalui media sosial.

 

Bagi merealisasikan impian Noraniza untuk mewujudkan hub kebudayaan sebagai pusat hentian budaya yang berada di kedudukan strategik di pintu keluar masuk tol Negeri Melaka ini, Noraniza menyusun jadual dan memanfaatkan peluang bersama pelatihnya untuk turut serta merasai satu pengalaman baru dalam dunia pelancongan. Rumah Selangor dijadikan sebagai platform praktikal kepada pelatih melalui pemarkahan komitmen bertujuan untuk terus berkeyakinan berkarya di khalayak umum.

 

Bermula bulan Ogos, pelatih  akan melalui satu pengalaman yang sangat berlainan  dengan berpeluang menjiwai budaya setiap bangsa secara eksklusif dan intensif sebagai proses menghargai dan menghormati budaya kaum lain yang terdapat di Malaysia selain subjek asas yang akan berjalan mengikut jadual.

 

Jauh bezanya untuk dibandingkan ketika Noraniza mula-mula bergelar artis. Agak sukar untuk mendapat ilmu tanpa  usaha dan inisiatif untuk memajukan diri sendiri tanpa bimbingan sesiapa. Melalui kerjasama Persatuan Tatihseni Malaysia dengan pengurusan Mini Malaysia dan ASEAN Cultural Park, Noraniza telah memilih Rumah Selangor sebagai pusat kebudayaan yang akan menerbitkan Kalendar program dengan 12 tema yang berbeza setiap bulan secara berjadual. Lebih menguatkan azam untuk menjayakannya apabila ramai pelancong mencari pusat kebudayaan yang aktif dan berinformasi untuk merasai suasana mengikut tema yang pelbagai dalam sebuah perkampungan budaya. Seiring dengan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020, Noraniza tidak mahu terlepas peluang untuk mengambil bahagian dalam mempromosikan Malaysia kepada pelancong. Bermula 24 & 25 Ogos 2019, Sabtu dan Ahad, bermula 9.30 pagi hingga 5.30 petang, sebuah program bulanan pertama dengan tema “Merdeka Fleastar” dijadikan sebagai pengisian utama sebuah perkampungan budaya bermula di Rumah Selangor.

 

Aktiviti budaya kehidupan masyarakat Jawa di Selangor khasnya dan Malaysia secara amnya dengan tajuk “Nguri-Uri Budaya Jawi” yang bermaksud “Melestarikan Budaya Jawa” akan dipaparkan kepada pengunjung. Pelbagai pendekatan disediakan seperti perarakan budaya, acara sambutan silat, persembahan tarian kebudayaan, interaktif teater sejarah, nyanyian bertema Jawa, permainan alat gamelan yang dipersembahkan oleh pelatih-pelatih Malay World Cultural Paradise ini akan melengkapkan suasana ketrampilan masyarakat golongan ini di Mini Malaysia dan ASEAN sepanjang Sabtu dan Ahad. Bagi pengunjung yang ingin beriadah bersama keluarga tidak cukup dengan itu sahaja, Noraniza turut menekankan penampilan dari hujung rambut ke hujung kaki turut diperindahkan dengan pakaian kebaya dan berkain batik Malaysia sebagai elemen mempromosikan Batik Malaysia selain masakan warisan pilihan Nasi Ambeng menjadi menu utama hidangan tengahari bagi pengunjung yang mendapatkan pakej pelancongan budaya MWCP Tourism ini. 

 

 

PEMILIHAN TEMA JAWA

 

Noraniza menegaskan tema Jawa ini diambil sebagai menghargai salah satu elemen unik masyarakat Jawa yang berada di Malaysia. Secara kebetulan, modul pembelajaran subjek pertama “Malay World Cultural Paradise” turut menggunakan elemen ini untuk membentuk disiplin karakter tubuh dan tertib pergerakan untuk digunakan dalam persembahan sebelum memulakan modul asas mengikut kategori pilihan pelatih. Semua pelatih diwajibkan mengikuti sesi pembelajaran asas ini selama 32 jam untuk ke minggu penilaian oleh penilai yang diiktiraf sebelum beralih ke modul baru.

 

Program modal insan ini di bawah anjuran Persatuan Tatihseni Malaysia dan Noraniza Idris Production Ventures Sdn Bhd dengan sokongan Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai aktiviti pensijilan program kokurikulum lepasan waktu persekolahan selain turut mendapat sokongan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia. Program ini turut dibawakan bersama Azhar  Scooter Motor.

 

Peranan MWCP ini adalah untuk mempromosikan keunikan seni warisan Malaysia melalui pelbagai aktiviti secara terbuka kepada pengunjung selain menarik perhatian lebih ramai ke taman tema ini secara amnya menerusi aktiviti. Bukan sekadar lawatan sahaja, pengunjung Rumah Selangor berpeluang menikmati persembahan poket yang disediakan secara santai. Setiap pengunjung dapat menonton persembahan tarian dan adat resam masyarakat melalui lakonan interaktif teater yang dirancang setiap kali berkunjung ke Rumah Selangor secara percuma. Penyediaan bengkel pentauliahan bersijil untuk pembangunan belia berbudaya dan bermotivasi ditawarkan di setiap musim cuti sekolah dan hujung minggu. Noraniza mensasarkan lebih banyak penganjuran program seni dan kebudayaan bertaraf antarabangsa pada tahun 2020 akan datang dengan memperkenalkan produk-produk makanan warisan bagi membantu semula pengeluar-pengeluar tunggal kepada masyarakat pengunjung yang berminat. Melalui platform ini, Noraniza yakin negara akan berupaya melahirkan lebih ramai usahawan pelancongan yang memfokuskan golongan remaja khasnya menjadi lebih kreatif dan inovasi dalam mempelbagaikan kerjaya berteras seni budaya sebagai produk yang boleh dijual ke mata dunia.

 

Noraniza yakin dengan adanya pusat rujukan kebudayaan ini negara kita dapat melahirkan lebih ramai generasi pelapis yang berkualiti dan tinggi jati diri mencintai agama, budaya, bahasa, bangsa dan Negara. Secara tidak langsung berpartisipasi dalam meningkatkan kualiti pendidikan kokurikulum , sahsiah dan akademik melalui kesenian warisan Malaysia. Menerusi cara ini membantu mengurangkan permasalahan kadar pengangguran melalui pengenalan program kemahiran kepada sasaran generasi belia.

 

Menerusi pelancaran kalendar MWCP di Rumah Selangor Mini Malysia dan ASEAN ini di harap akan terus menjadi sumber inspirasi akademik dan penggerak utama motivasi dalam perpaduan untuk memelihara, meningkat dan memperkukuhkan keharmonian masyarakat yang berbilang bangsa. Menjelang Tahun Melawat Malaysia yang bakal menerima kunjungan pelancong luar negara, aktiviti berterusan ini sangat penting diperbanyakkan sebagai salah satu cara mengeratkan silaturahim antara pemimpin, rakyat dan media dan hubungan diplomatik Negara luar menerusi promosi dan pemasaran. Memasyarakatkan seni budaya warisan Malaysia di samping memelihara dan mengekalkan budaya warisan Malaysia untuk terus memperkenalkan Malaysia menerusi aktiviti seni dan budaya tanpa henti.

 

Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030 yang telah dilancarkan baru-baru ini menguatkan azam Noraniza untuk menumpukan kerjaya keusahawanan secara serius. Tidak terkecuali merasai tempias kejatuhan ekonomi Negara yang sangat hebat dan hampir berputus asa baru-baru ini, tambahan mendengar rungutan pengusaha-pengusaha kecil produk tempatan dan penggiat-penggiat budaya yang mula bertukar arah untuk mencari rezeki ke bidang perniagaan benar-benar menyentuh hati dan menginsafkan.

 

Bumi dan rezeki Allah Maha luas. Seolah mendengar keluh resah, Noraniza bertekad untuk berganding bahu bersama suaminya mengukuhkan platform keusahawanan bagi membuka laluan kepada produk-produk tempatan agar dapat dipasarkan di saluran yang betul seterusnya dapat membantu perniagaan berkembang, berkualiti, berdaya maju, berdaya tahan; berfikiran global dan kompetitif.

 

Bermula 24 Ogos 2019 yang lalu, Noraniza melancarkan kalendar aktiviti “Malay World Cultural Paradise” berpusat di Rumah Selangor Mini Malaysia dan ASEAN Cultural Park. Usaha ini untuk membentuk pemikiran generasi pelapis khasnya yang berpelajaran tetapi masih tidak bekerja untuk berpemikiran dan berbudaya keusahawanan menerusi sektor kemahiran dan pelancongan budaya sebagai kerjaya pilihan utama.


Hasrat Noraniza dalam keseiringan membangunkan produk pelancongan budaya, produk warisan tempatan juga tidak dinafikan sentiasa mendapat tempat di hati pelancong domestik dan luar negara untuk di bawa pulang.

 

Noraniza berkeyakinan usaha ini mampu menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang pesat dan dapat mempertingkatkan keupayaan usahawan tempatan dan industri kecil dan sederhana (PKS).

 

PERANCANGAN NORANIZA IDRIS DALAM INDUSTRI MUZIK

 

Cita–cita untuk menerbitkan sebuah single terbaharu sudah sekian lama diidamkannya. Tujuannya bukan untuk bersaing dengan mana-mana artis di dalam industri muzik. Cukup sekadar melengkapi urusannya sebagai anak seni yang masih bergiat aktif biarpun masih menerima undangan persembahan dan agak kurang pendedahan di media cetak dan elektronik.

 

Mengenai kolaborasi ciptaan lagu dan lirik masih menjadi rahsia. Rancangan untuk menerbitkan single terbaharu masih dalam pemerhatian untuk disesuaikan dengan keadaan masa kini. Noraniza sangat berhati-hati untuk penerbitan kali ini kerana suasana sekarang tidak bergantung kepada keunikan lagu semata-mata tapi kebijaksanaan mengatur strategi pemasaran dan promosi yang lebih efektif untuk menonjolkan setiap produk terbitan.

 

Hasrat menganjurkan konsert Irama Malaysia terpaksa ditangguhkan kerana ekonomi negara yang tidak menyebelahi hasratnya apalagi mendapatkan keyakinan penaja untuk bersama amat sukar buat masa sekarang.

 

Apapun perancangan tetap diteruskan dan sentiasa percaya akan rezeki Allah Maha Luas. Noraniza akan teruskan perjuangan membangunkan seni dan budaya di kalangan pelapis seandainya masa tidak mengizinkannya untuk menganjurkan konsert sendiri satu masa nanti. Hasratnya terkini adalah doa dari peminatnya agar niat ke tanah suci dapat ditunaikan bila sampai seruannya kelak. MYBUZZ!

 

 

 

 

Share on Facebook
Share on Twitter
Please reload

Follow Us
  • Black Instagram Icon
  • Black YouTube Icon
  • Twitter Basic Black
  • Facebook Basic Black
  • Black Google+ Icon
Recent Posts
Please reload

Please reload

© 2018 by SeoJun

Meet The Team

Cyrill Hassan

  • Facebook Social Icon
  • Instagram Social Icon
  • Twitter Social Icon

Ask me to know me. Get connected to my social media

Yus Yunus

  • Facebook Social Icon
  • Instagram Social Icon
  • Twitter Social Icon

Nobody is perfect.  Always stay connected with me.