SAMBUTAN FESTIVAL SENI SELAT MELAKA 2019 MERIAH DIHADIRI RIBUAN PENGUNJUNG

Festival Seni Selat Melaka (FSSM) yang telah berkampung selama tiga (3) hari mulai 18, 19 dan 20 Oktober 2019 disambut dengan meiah dan gilang gemilang serta dihadiri oleh ribuan pengunjung dalam atau luar negara bertempat di Dataran Memorial Kemerdekaan, Jalan Kota, Melaka Bandaraya Warisan Dunia.



Festival ini merupakan Program Pelancongan Budaya yang telah dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) menerusi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN Melaka) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka dan semua agensi di bawahnya yang berkaitan telah berganding bahu bagi menjayakan Program tersebut.


FSSM 2019 ini bertemakan “Selat Melaka, Warisan Nusantara” mengetengahkan pelbagai aktviti berteraskan seni budaya, warisan, pelancongan, keilmuan, keusahawanan, gaya hidup dan pencungkilan bakat muda negeri Melaka, Negeri Sembilan dan Johor yang mewakili negeri-negeri selatan Semenanjung Malaysia.


Di antara pengisian menarik sepanjang FSSM 2019 berlangsung adalah acara Kemuncak Malam Gala Selat Melaka yang telah diadakan pada hari Sabtu, 19 Oktober 2019 serta pengisian menarik lain seperti berikut.



1. Persembahan Sisipan (Showcase) Warna-warni Selat Melaka


Persembahan Sisipan Warna-warni Selat Melaka adalah salah satu pengisian program dalam FSSM bagi menghebahkan dan memeriahkan lagi FSSM2019 di beberapa tempat tumpuan pelancong di negeri Melaka. Persembahan sisipan ini akan melibatkan Kumpulan Kesenian JKKN Negeri Melaka, Negeri Sembilan dan Johor di Menara Taming Sari, Mahkota Parade, Dataran Pahlawan Mega Mall serta di lokasi utama di Kota A Famosa, Banda Hilir, Melaka



2. Pencungkilan Bakat Muda Selat Melaka


Menyaksikan lebih enam (6) pertandingan utama yang dipertaruhkan iaitu – Pertandingan Mini Lantai Cilik yang merupakan Pertandingan Tarian Rakyat Kreatif bagi Kategori Sekolah Rendah dan Medley Tarian Malaysia bagi Kategori Sekolah Menengah, Pertarungan Tari Joget & Zapin (TERBUKA), Pertandingan Bintang Dondang Sayang, Pertandingan Lukisan Potret “Tun Fatimah” Serikandi Melaka, Pertandingan Cabaran Gasing Tradisional & Gasing Moden dan Pertandingan Memanah Tradisi & Memanah Bebas.



3. Pusat Transformasi Rakyat


Pusat Transformasi Rakyat pula menampilkan sebelas (11) agensi yang menawarkan khidmat pelbagai khidmat rakyat antaranya Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Melaka, Melaka, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka ( Klinik Pergigian Cheng), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah dan lain-lain.



4. Bazaar Citrarasa Inap Desa Selat Melaka


Bazaar Citrarasa Inap Desa Homestay (Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Melaka) pula dengan kerjasama Inap Desa Negeri Melaka pula menghimpunkan gabungan lapan (8) buah Inap Desa Negeri Melaka dengan hidangan kampung yang menyelerakan. Antara lapan (8) Inap Desa iaitu Kampung Morten, Kampung Alai, Kampung Pulai, Kampung Tambak Paya, Kampung Ayer Limau dan banyak lagi. Antara makanan yang popular iaitu Nasi Lemak, Rojak, Asam Pedas, Masak Lemak Perut Rebung dan banyak lagi.



5. Bazaar Selat Melaka : Seni Budaya, Kraf Warisan dan Pelancongan


Bazaar Selat Melaka ini mempamerkan produk, demonstrasi dan jualan terdiri daripada usahawan kraftangan dari Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Melaka yang merangkumi usahawan hasil rimba, batik jenis ikat, celup dan pelangi, hasil produk dari tanah dan simen, tekstil, logam dan banyak lagi.


Di samping itu jua, jualan khat warisan Islam, pelbagai produk dari Persatuan Usahawan Seni Budaya Malaysia yang merangkumi produk spa, perkhidmatan spa, cenderamata, tanjak, busana Melayu, catan muka, alat solek dan tatarias serta alat muzik tradisional.


Usahawan makanan muslim iaitu JALEN turut membuat Jualan Promosi, Minuman Percuma Dan Food Tester, Baucer Pembelian, Jualan Promosi, Demonstrasi Masakan serta pelbagai kuiz dan pertandingan. ASD Empire jua akan membuka kaunter alat solek dan tatarias juga melaksanakan aktiviti catan muka (face painting).


Jabatan Warisan Negara akan memaparkan pameran arkeologi untuk pengunjung merasai pendedahan cara-cara kajian arkeologi dan eskavasi cari gali bahanbahan, artifak dan monument sejarah bagaikan ahli arkeologi.


Urus Setia JKKN turut mengadakan pelbagai aktiviti di reruai pameran dengan Pertandingan Mewarna, Demonstrasi Permainan Tradisional, Musang Berjanggut, Kuiz Kebudayaan serta Pameran Fotografi “Syukor Khamis : Kampong Boy” Koleksi Karya Dallah Deen Photography.