'BELUM REZEKI SAYA LAGI...'KATA NATASHA HAMZAH, LANCAR SINGLE LAGU RAHASIA

Ibarat kata pepatah 'Tuah Ayam Nampak Dikaki, Tuah Manusia Siapalah Tahu'. Begitulah situasi yang dilalui oleh Nornatasha Hamzah atau lebih mesra di panggil Natasha, 26, yang sentiasa mengimpikan untuk menjadi seorang penyanyi.

Beliau yang juga merupakan adik kepada Pelawak terkenal Achey Bocey terus menyertai dalam program komedi Gegar Lawak 2018. Walaupun Natasha sedar dalam dirinya tidak mempunyai sifat-sifat lawak, namun beliau tetap mencuba untuk menapak dalam bidang seni.

Selepas Gegar Lawak, anak seni berasal dari Segamat, Johor itu mencuba nasib dalam program Miss Lawak 2019. Malangnya nasib belum menyebelahi Natasha kerana kehadirannya dalam bidang seni menerusi seni lawak tidak berjaya mengangkat namanya.

Masih tidak mahu mengalah, Natasha mencuba nasib pula dalam bidang lakonan dan ternyata menerusi lakonan, beliau berpeluang merebut peluang tersebut. Sehingga kini Natasha sudah berlakon drama terbitan A.Aida Production, Di Sisimu Aku dan Setiaku Di Sini dan Ustaz Evo the Movie terbitan Orangetree Production.


“Saya mula dalam bidang seni sejak usia 18 tahun lagi. Saya cuba masuk Akademi Fantasia, Mentor dan macam-macam tapi tak berjaya. Saya sertai Mentor tapi tak terpilih, masuk AF sampai stage ketiga saja. “Kemudian saya beralih kepada dunia lawak pula dengan menyertai program Gegar Lawak 2018. Selepas itu saya sambung program Miss Lawak 2019, tapi tak pergi jauh sebab dua-dua tersingkir awal dan orang tak kenal siapa saya,” cerita Natasha tentang pembabitan awalnya dalam bidang seni. Beliau yang ditemui oleh pihak media baru-baru ini di Ibu kota.



Kata Natasha, pembabitannya dalam bidang komedi atas cadangan abangnya, Achey yang nampak usahanya untuk menembusi bidang seni.


“Abang Achey nampak banyak kali saya cuba sertai program nyanyian tapi gagal, akhirnya dia suruh saya cuba untuk berlawak pula. Saya memang tak terfikir untuk buat lawak sebab saya tak ada sense of humors seperti dia.

“Mula-mula saya menolak sebab saya rasa macam bunuh diri bila masuk lawak tapi dia kata cubalah sebab semua yang saya buat sebelum itu tak berjaya. Dia kata kenapa tak cuba sesuatu yang out of the box.


“Saya sahutlah apa yang dia cadangkan itu dan saya sertai Gegar Lawak. Masa saya masuk Gegar Lawak pun dia tak membantu saya 100 peratus. Dia nak tengok usaha saya dan cuma bantu sikit-sikit saja. Dia kata aku tak boleh bantu, kalau aku bantu kau manja dan bila masuk kau mati nanti. Dia jenis yang tegas dalam soal kerja,” cerita Natasha tentang perangai abangnya.

Tambah anak bongsu daripada 10 beradik itu, beliau berpeluang melangkah ke bidang nyanyian selepas bertemu dengan Zamzoy yang mempelawanya untuk menghasilkan single pertama, Rahasia.

Rahasia merupakan lagu ciptaan Intan Shaharuddin dan lirik oleh Juhana Asri dan Zamzoy. Lagu bergenre rock balada itu sesuai dengan jiwa Natasha kerana beliau adalah penggemar lagu-lagu dendangan Shima dan Ara Johari.