FTV 'FRONTLINER' BAKAL TEMUI PENONTON DI ASTRO FIRST EKSKLUSIF OKTOBER 2020


Filem televisyen (FTV) ‘Frontliner’ merupakan sebuah naskah asal yang diinspirasikan daripada kisah benar mengenai pengorbanan dan konflik dalaman golongan wira barisan hadapan yang menjadi pejuang benteng utama dalam membendung penularan wabak Covid19 yang sedang melanda seluruh dunia pada ketika ini. Buah tangan terbaharu terbitan syarikat produksi D’Alphalegacy (M) Sdn. Bhd. ini turut mendapat sentuhan kreatif A’minahtul Marrdiah selaku penulis skrip dan diarahkan oleh sutradara berkaliber Razif ‘Ajiboy’ Rashid. ‘Frontliner’ dijangka bakal bersiaran menerusi platform Astro First Eksklusif di saluran 480 pada Oktober ini. Untuk pilihan yang lebih fleksibel, FTV ini juga boleh distrim di platform digital menerusi perkhidmatan On Demand.


Minggu lalu pihak produksi telah memperkenalkan barisan pelakon FTV 'Frontliner' kepada pihak media dalam satu majlis kesyukuran yang telah diadakan di Restoran Big Boss, Publika, Kuala Lumpur.


FTV 'Frontliner' dibarisi oleh barisan pelakon handalan tanahair seperti Beto Kusyairi, Azhan Rani, Farah Ahmad, Emma Maembong, Achey, Wan Maimunah, Black Hanifah, Ashraf Muslim, Zul Handy Black, adik Syamsul Danish, serta penampilan khas oleh finalis Hero Remaja 2020, Meerqeen serta DSP Noorhamasiren yang kisahnya menjadi tular di media sosial sewaktu sedang bertugas ketika membuat rondaan pada musim PKP.


A’minahtul Marrdiah ketika ditemubual memberitahu media, beliau sudahpun membayangkan siapa pelakon sesuai yang akan membawakan watak tertentu sejak mula tercetusnya idea untuk menghasilkan naskah ini dan bersyukur kerana ia berjalan lancar mengikut perancangan.


"Kombinasi pelakon baharu dan lama yang dipilih adalah berdasarkan kredibiliti, komitmen dan keikhlasan mereka dalam menjayakan setiap watak yang diamanahkan kerana elemen tersebut merupakan tunjang utama yang diperlukan untuk mencipta magis tersendiri bagi mana-mana karya yang dihasilkan."


"Namun begitu, kami juga tidak menafikan bahawa faktor populariti juga penting kerana ia mampu memberi nilai komersial untuk menarik perhatian penonton. Maka, kesemua elemen ini haruslah bergerak seiring demi kualiti yang cemerlang." ulas A'minahtul lanjut


Sementara itu Razif ‘Ajiboy’ Rashid selaku pengarah FTV "Frontliner berharap naskah ini dapat diterima baik oleh masyarakat serta mesej yang ingnin disampaikan difahami.


“Menerusi FTV Frontliner, apa yang saya cuba paparkan bukanlah hanya tertumpu kepada pengorbanan pejuang barisan hadapan di lapangan tugas tetapi lebih kepada konflik dalaman yang dialami oleh mereka. Cabaran dan tanggungjawab yang harus mereka pikul amat berat. Namun mereka harus kuat dan tabah untuk terus berjuang."


"Sebagai mana masyarakat yang rata-rata tertekan akibat pandemik Covid-19, golongan frontliner juga turut tertekan kerana mereka juga mempunya keluarga dan masalah seperti kita yang mungkin tidak disedari oleh orang lain. Di sebalik pengorbanan mereka sebagai frontliner, wujud pengorbanan dan konflik dalaman lain disebaliknya." jelas Razif.


Penggambaran FTV ‘Frontliner’ telah dijalankan di sekitar Lembah Klang serta mengambil masa 12 hari untuk diselesaikan. Sementara itu 'single' terbaharu Black Hanifah berjudul ‘Sabar’ turut diangkat sebagai lagu tema untuk FTV ‘Frontliner’. Penggambaran video muzik untuk single tersebut turut dijalankan pada masa yang sama sewaktu penggambaran ‘Frontliner’ sedang dijalankan.


Selain ‘Frontliner’, syarikat produksi D’Alphalegacy juga telah menerbitkan beberapa naskah seni yang bakal menemui para penonton tidak lama lagi. Antaranya termasuklah FTV berjudul ‘Kelaster’ yang dijadualkan untuk bersiaran di platform Astro First Eksklusif bermula 17 September ini serta filem ‘Bisikan’ yang kini masih lagi dalam proses suntingan untuk siaran pawagam bagi tahun 2021.

SINOPSIS


Ketika dunia sedang dilanda pandemik Covid-19, Malaysia telah mengambil langkah drastik dengan melaksanakan fasa kritikal PKP bagi memutuskan rantaian wabak tersebut daripada terus menular. Pengorbanan wira barisan hadapan yang bekerja keras membantu menangani Covid-19 adalah sesuatu yang tidak dapat dibalas. Naskah ‘Frontliner’ yang diinspirasikan daripada pelbagai kisah benar seperti pengorbanan seorang ibu yang sakit tetapi harus membenarkan anak berkorban demi negara walaupun jauh di sudut hatinya tidak bersetuju, pengorbanan seorang suami yang bertugas sebagai pegawai polis dan harus berhadapan dengan masyarakat setempat setiap hari serta pada masa yang sama harus mendengar keluhan hati isterinya yang tertekan dengan beban kewangan di tempat kerja kesan akibat Covid-19. Pengorbanan seorang doktor yang terpaksa berjauhan dengan isteri kesayangan yang sedang hamil demi kesihatan dan keselamatan isterinya turut diceritakan.

Follow Us
  • Black Instagram Icon
  • Black YouTube Icon
  • Twitter Basic Black
  • Facebook Basic Black
  • Black Google+ Icon
Recent Posts

© 2018 by SeoJun

Meet The Team

Cyrill Hassan

  • Facebook Social Icon
  • Instagram Social Icon
  • Twitter Social Icon

Ask me to know me. Get connected to my social media

Yus Yunus

  • Facebook Social Icon
  • Instagram Social Icon
  • Twitter Social Icon

Nobody is perfect.  Always stay connected with me.