61 EPISOD MEREDAH 1200KM PERJALANAN DALAM ‘JEJAK EBIT LEW’ DI ASTRO PRIMA

‘JEJAK EBIT LEW’ ialah sebuah program realiti berkonsepkan majalah yang memaparkan aktiviti amal kebajikan dan kisah di sebalik tabir perjalanan eksklusif pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew yang turut berkongsi rasa dan cerita dalam menyantuni masyarakat yang memerlukan bantuan dengan penuh kasih sayang tanpa mengira latar belakang, bangsa dan agama.



Program ini juga bakal memberi satu perspeksif baharu kepada para penonton untuk menilai musibah yang berlaku dari sudut pandang yang berbeza tanpa sebarang prejudis. Untuk makluman, penerbitan program ‘JEJAK EBIT LEW’ ini juga merupakan kesinambungan daripada program ‘Door To Door Ebit Lew’ di saluran Astro Oasis.


Namun pada kali ini, fokus program diperluaskan lagi kepada misi bantuan dan kemanusiaan dan tidak sekadar ke arah misi dakwah sahaja. Pendekatan tersebut adalah bersesuaian dengan situasi masyarakat yang kini sedang berdepan dengan 1001 ujian akibat pandemik Covid-19.


Uniknya lagi, program ‘JEJAK EBIT LEW’ juga bersifat ‘jujur’ kerana tidak terikat dengan sebarang skrip mahukan babak-babak komersial yang perlu disempurnakan. Ini adalah kerana kebanyakan misi bantuan yang perlu disampaikan selalunya bersifat spontan atau ad hoc. Selain itu, terdapat juga di antara kes-kes yang diterima daripada permohonan secara bersurat serta menerusi emel yang turut disertakan dengan paparan aktif sahih di media sosial.


Rangkaian program ‘JEJAK EBIT LEW’ akan mula bersiaran secara eksklusif menerusi saluran Astro Prima (125) dan Astro Prima HD (105) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro Go untuk pilihan yang lebih fleksibel. Klip sedutan dan kompilasi paparan isi hati Ebit Lew dapat ditonton melalui kapsul ‘JEJAK XTRA EBIT LEW’ pada setiap hari Isnin, jam 6.55pm bermula 7 Disember 2020. Manakala program ‘JEJAK EBIT LEW’ pula akan bersiaran sepanjang 61 buah episod pada setiap hari Isnin, jam 9.00 malam mulai 7 Disember 2020.


“Nama Ustaz Ebit Lew bukanlah satu nama asing, rata-rata rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam pasti mengenali beliau sebagai pendakwah bebas yang mula mendapat perhatian netizen susulan daripada keprihatinannya membantu masyarakat yang kurang berkemampuan tanpa mengira latar belakang, bangsa dan agama semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di seluruh negara yang lalu.


Meskipun ada sesetengah pihak yang menyalah tafsir niat baik beliau, insan ini bagaimanapun tidak pernah kenal erti berputus asa malah terus giat menjalankan aktiviti kebajikannya tidak mengira batas dan sempadan bagi memastikan nasib golongan yang kurang bernasib baik ini terbela dan terjaga.


''Setiap perkongsian beliau dalam menyantuni semua lapisan anggota masyarakat menerusi media sosial juga berjaya mencetuskan gelombang kesedaran yang tinggi dan bermakna.


Sehubungan dengan itu, pihak Astro Prima amat berbesar hati apabila diberi kesempatan untuk berkongsi kisah di sebalik tabir sepanjang misi bantuan berjalan menerusi program ‘JEJAK EBIT LEW’ yang buat julung kali diterbitkan ini. Para penonton yang prihatin kini berpeluang untuk menelusuri perjalanan tersebut dari mula hingga akhir dengan lebih dekat.


Bukan itu sahaja, penerbitan program ‘JEJAK EBIT LEW’ juga merupakan sebuah platform untuk menghubungkan masyarakat asnaf dan komuniti daif yang memerlukan bantuan dengan badan-badan kebajikan serta membuka ruang dan peluang kepada pihak yang ingin turut sama menghulurkan sokongan seperti Beras Faiza dan Ez Qurban yang juga merupakan penaja bersama untuk musim ini. Secara keseluruhan, besar harapan kami agar program ini mampu memberikan inspirasi dan contoh teladan yang baik kepada para penonton untuk turut sama berbakti kepada masyarakat. Selamat menonton.” Ujar Norzeha Mohd Salleh, Pengurus Saluran Astro Prima.



TRIVIA 'JEJAK EBIT LEW'


1. Penerbitan program ‘JEJAK Ebit Lew’ turut mendapat kerjasama daripada EZ Qurban dan Beras Faiza yang menghulurkan sokongan selaku Penaja Bersama.


2. ‘Misi Bantuan’ untuk setiap kes yang dipaparkan menerusi program ini turut disertai oleh sukarelawan NGO Pertubuhan Kasih Umat Malaysia. Selain itu, ia turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada agensi kerajaan dan bukan kerajaan serta masyarakat prihatin yang sedia menghulurkan pelbagai kemudahan berdasarkan keperluan kes tersebut.


3. Kelebihan utama program ‘JEJAK EBIT LEW’ ialah setiap ‘Misi Bantuan’ yang dihulurkan adalah bersifat ad hoc. Selalunya maklumat untuk sebarang urusan perjalanan ke lokasi 3 untuk kes-kes yang terpilih hanya akan diketahui paling awal lebih kurang satu jam sebelum bertolak. Jadi semua yang terlibat harus bersedia pada setiap masa.


4. Terdapat juga paparan kes-kes yang diuruskan secara spontan oleh Ebit Lew sendiri. Antaranya seperti kes memindahkan keluarga asnaf yang mempunyai ketua keluarga yang sudah uzur dan anak kurang upaya kerana keadaan rumah mereka tidak sesuai untuk dijadikan sebagai tempat berteduh. Ebit telah menyewakan rumah baru untuk mereka duduki dan turut membeli segala peralatan keperluan seperti katil, mesin basuh, TV dan dapur gas. Semua ini dapat diselesaikan dalam masa kurang daripada tiga jam. Kes tersebut juga akan berada di bawah pemerhatian beliau dari semasa ke semasa sehingga keluarga tersebut kembali stabil untuk meneruskan kelangsungan hidup baru dengan lebih baik.


5. Pasukan ‘JEJAK EBIT LEW’ pernah melalui pengalaman perjalanan sejauh 1,200km di seluruh Semenanjung Malaysia dalam masa sehari setengah atas urusan ziarah serta untuk menghulurkan bantuan kepada kes orang yang memerlukan bantuan di Tumpat, Pasir Mas serta mangsa tragedi Gerik dan Cenderong Balai.


6. Selain menghulurkan bantuan daripada aspek kewangan dan kemudahan kehidupan, Ebit Lew juga turut mendekati komuniti dengan berkongsi dan memberi sokongan daripada aspek psikologi, motivasi dan perkongsian ilmu.


7. ‘Misi Bantuan’ juga turut dipanjangkan bagi menjaga keperluan dan kebajikan hidupan flora dan fauna. Terbaharu, Ebit Lew telah menyumbang 200kg daging segar untuk bekalan makanan haiwan-haiwan setelah menerima permintaan daripada pihak Zoo Negara yang mengalami kekurangan dana akibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).


8. Antara kes-kes lain yang berkesempatan untuk dipaparkan menerusi program ‘JEJAK EBIT LEW’ termasuklah ketika penduduk Selangor menghadapi masalah ketiadaan bekalan air akibat pencemaran, Ebit Liew turut menghulurkan bantuan dengan menyediakan dua lori tangki air di beberapa kawasan yang terjejas. Beliau juga turut menyampaikan sumbangan keperluan asas kepada golongan yang memerlukan di Sabah, bantuan kepada frontliners, mangsa banjir, mangsa kemalangan serta banyak lagi


9. Program ‘JEJAK EBIT LEW’ masih lagi dalam fasa rakaman pada ketika ini. Kekangan SOP yang ketat sewaktu tempoh PKPB menghadkan pergerakan krew produksi yang terlibat. Namun, ia tidak menghalang niat murni Ebit Lew untuk terus menghulurkan bantuan tanpa mengharapkan apa-apa balasan. MYBUZZ!!








Follow Us
  • Black Instagram Icon
  • Black YouTube Icon
  • Twitter Basic Black
  • Facebook Basic Black
  • Black Google+ Icon
Recent Posts

© 2018 by SeoJun

Meet The Team

Cyrill Hassan

  • Facebook Social Icon
  • Instagram Social Icon
  • Twitter Social Icon

Ask me to know me. Get connected to my social media

Yus Yunus

  • Facebook Social Icon
  • Instagram Social Icon
  • Twitter Social Icon

Nobody is perfect.  Always stay connected with me.