BALANG KOSONG UNTUK AHLI MULAKAN PERNIAGAAN



Balang kosong sebagai dana untuk memulakan perniagaan. Mungkin kedengaran pelik, namun itu antara langkah yang diambil oleh sebuah pertubuhan dalam membantu ahli-ahli mereka dalam keadaan persekitaran negara yang sedang dilanda Covid-19. Sebenarnya, langkah itu adalah sebagai galakan bagi ahlinya menjana pendapatan berbanding hanya menerima bantuan semata-mata.


SBR Kencana Global Resources melalui Pertubuhan Kebajikan Sentiasa Bersama Rakyat Malaysia (PKSBRM) menyalurkan dana perniagaan bernilai RM2,000 seorang, kepada 1,000 ahlinya di seluruh Malaysia sebagai usaha membantu menjana pendapatan mereka.


Lebih menarik sebanyak 800 balang kuih kosong juga diberikan kepada kesemua penerima dana itu sebagai permulaan mereka memulakan perniagaan makanan membabitkan biskut seperti kuih raya. Pengurus SBR Kencana Global Resources merangkap Pengerusi PKSBRM Datuk Seri Sabariah Hashim berkata, dana itu diberikan bagi membolehkan ahli memulakan perniagaan.


“Kita juga berikan mereka balang kosong untuk isikan kuih dan kemudian kita yang akan pasarkan kuih berkenaan bukan saja di pasaran tempatan tetapi juga luar negara.


“Mereka yang menerima dana ini ialah ahli berdaftar PKSBR yang sah dan menerima faedah ini. Mereka tidak perlu risau barang mereka tidak dapat dipasarkan kerana kami akan uruskan semua,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan dana itu di sini hari ini.


Selain Pahang, kesemua ahli di 11 negeri lain kecuali Sabah dan Sarawak juga akan menerima dana yang sama.


Beliau berkata, semua produk itu akan dipasarkan menerusi SBR Kencana Global Resources yang menjadi pengerak utama pertubuhan berkenaan serta berperanan membantu merancakkan ekonomi Bumiputera di negara ini.


“Mereka (ahli) tidak perlu risau, sediakan produk dan kita jual, sama ada kami hendak ‘mandi’ kuih atau apa sekalipun, yang penting produk mereka laku.
“Sebagai permulaan kita minta produk biskut dan kuih raya dan mereka perlu pastikan ia adalah hasil tangan mereka sendiri bukannya dibeli secara pukal dari pengeluar,“ ujar Pengurus SBR Kencana Global Resources merangkap Pengerusi PKSBRM Datuk Seri Sabariah Hashim.

Bagi dua ahli pertubuhan itu, langkah yang dibuat sangat membantu mereka lebih lagi dalam keadaan perniagaan yang terkesan ekoran Covid-19.


Norsuzana Abdullah, 32 yang mengusahakan perniagaan bakeri berkata melalui langkah pemberian dana dan balang kosong berkenaan membantu merancakkan kembali perniagaan yang diusahakan beliau sejak enam tahun lalu di Jengka 5, di sini.


"Syukur sebab kita tak perlu fikir kerana pertubuhan yang pasarkan. Malah kita terus dibayar apabila kita serahkan produk," katanya yang mengusahakan pembuatan kuih seperti Tart Nenas dan Biskut Chocolate Chip.


Turut menjalankan perniagaan sama, Citra Dewi Darwin, 32 juga gembira dengan usaha pertubuhan itu.


"Ini satu rahmat buat kami yang berniaga dan membantu memastikan perniagaan diselamatkan. Malah produk kami akan dipasarkan ke luar negara," katanya yang mempunyai dua cawangan bakeri.



Sabariah berkata, usaha itu juga dilakukan bagi meringankan beban ahli dalam berdepan dengan cabaran semasa ekoran pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara.


Tambahnya, menerusi usaha itu ia mampu memberikan peluang kepada ahli menjana pendapatan termasuk bagi sesetengah mereka yang hilang punca rezeki.


“Kita faham dalam suasana sukar ini ramai yang hilang punca pendapatan jadi kami perkenalkan usaha ini supaya ahli berpeluang membabitkan diri dalam perniagaan seterusnya mendapat hasil.


“Usaha ini juga berterusan dan tidak hanya terhad untuk pasaran tempatan tetapi juga negara luar termasuk Singapura, Indonesia, Brunei dan China,“ katanya.


Sabariah berkata untuk jangka masa panjang pelbagai produk lain juga akan dibuka untuk ahli terbabit memulakan perniagaan seperti pewangi, penjagaan badan dan pakaian.

Follow Us
  • Black Instagram Icon
  • Black YouTube Icon
  • Twitter Basic Black
  • Facebook Basic Black
  • Black Google+ Icon
Recent Posts

© 2018 by SeoJun

Meet The Team

Cyrill Hassan

  • Facebook Social Icon
  • Instagram Social Icon
  • Twitter Social Icon

Ask me to know me. Get connected to my social media

Yus Yunus

  • Facebook Social Icon
  • Instagram Social Icon
  • Twitter Social Icon

Nobody is perfect.  Always stay connected with me.