CETUSAN EMOSI SITI NORDIANA


Demi menghayati bait lagu bagi OST Cukup Derita Itu, penyanyi Siti Nordiana Alias mengakui melakukan sedikit ‘homework’ agar lagu nyanyiannya benar-benar meresap ke jiwa penonton.Biarpun mempunyai banyak pengalaman menyanyikan lagu runut bunyi, namun menurut juara program nyanyian Gegar Vaganza 2015 itu, dia tetap perlu melakukan ‘homework’ terlebih dulu iaitu dengan memahami jalan cerita sesebuah drama mahupun filem.


Selain itu, ujar penyanyi berusia 37 tahun yang berasal dari Negeri Sembilan itu, dia juga perlu mengenali pelakon yang terbabit serta wajib menonton klip-klip daripada drama berkenaan.


“Penghayatan untuk menyanyikan lagu OST dan single biasa adalah berbeza. Bagi OST, saya perlu memahami terlebih dulu jalan cerita dan perlu mengetahui siapakah barisan pelakon yang terbabit. Selain itu, saya juga perlu menonton klip disediakan produksi supaya lebih faham plot yang ingin disampaikan.”


“Bila sudah faham keseluruhan jalan cerita, barulah saya akan meletakkan diri sendiri untuk menghayati penderitaan watak itu. Kebetulan drama itu pula memang sarat dengan permainan emosi, jadi saya perlu menyuntik elemen sedih dan derita sewaktu proses rakaman berlangsung.”


“Single biasa sebaliknya lebih mudah kerana kita hanya perlu berimaginasi sendiri sama ada membayangkan kehidupan orang sekeliling atau pun mengaitkan dengan kisah sendiri sekiranya kena dengan liriknya,” kata Nana.


Menurut Nana lagi, dia tidak mengambil masa lama untuk merakamkan lagu ciptaan Tam Spider, manakala lirik oleh Siti Rosmizah itu yang menjadi runut bunyi drama menggunakan judul sama yang menghiasi kaca televisyen menerusi slot Samarinda setiap Isnin hingga Khamis jam 10 malam itu sejak 6 Mei lalu.


Nana juga berkata, dia berasa amat bertuah apabila menjadi pilihan penerbit untuk mendendangkan lagu untuk drama arahan Along Kamaludin itu. Selain itu ibu kepada seorang cahaya mata itu melihat kesempatan berkenaan sebagai satu peluang untuk memastikan dirinya terus kekal relevan di hati peminat.


“Bukan semua penyanyi mendapat peluang untuk menyanyikan lagu OST. Semestinya saya merasa sangat bertuah apabila lagu itu dimainkan setiap hari dari Isnin hingga Khamis dan bakal bersiaran di kaca televisyen selama 40 episod.”


“Saya melihat ia salah satu cara dan peluang untuk lagu itu diterima dan disukai pendengar kerana ia diputarkan hampir setiap hari,” kata Nana yang menjalani proses rakaman lagu itu sekitar dua jam saja.


Selain itu, Nana turut menyifatkan dirinya bertuah apabila impian untuk mendendangkan lagu ciptaan Tam Spider akhirnya tercapai setelah lebih dua dekad berada dalam industri muzik tanah air.


“Sebenarnya sudah lama saya bercita-cita untuk bekerjasama dengan Tam Spider. Salah satu daripada impian saya sudah pun tertunai apabila akhirnya dapat menyanyi lagu nukilan Tam.”


“Saya percaya sentuhannya cukup istimewa seperti mana lagu Farahdhiya, Bertakhta Di Hati yang masih diminati sehingga kini.”


“Secara jujur saya akui Tam sememangnya seorang komposer yang teliti dan banyak membantu saya mendalami lagu Cukup Derita Itu dengan emosi yang tepat,” katanya.


Cukup Derita Itu dibarisi oleh Hisyam Hamid, Ruhainies, Chacha Maembong, Jasmin Hamid, Didie Alias, Farhan Asri, Dian P. Ramlee dan Balkisyh Semundur Khan.


Lagu CUKUP DERITA ITU sudah tersedia menerusi semua pelantar penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, JOOX, KKBOX, Deezer dan YouTube Music sejak 4 MEI lalu. Sementara bagi liriknya pula, boleh ditonton menerusi saluran YouTube Universal Music Malaysia pada hari yang turut dilancarkan pada hari sama.

Follow Us
  • Black Instagram Icon
  • Black YouTube Icon
  • Twitter Basic Black
  • Facebook Basic Black
  • Black Google+ Icon
Recent Posts