ERUL SAMAH ‘TAK BISA’ MENGALAH


Penyanyi, pelakon dan pengacara TV berbakat besar yang cukup sinonim dengan stail nyanyian serta imej K-pop dan merupakan anak jati Kuala Lumpur, Khairul Najmuddin Abu Samah atau lebih dikenali dengan panggilan Erul Samah, kini kembali menghangatkan industri muzik tanah air setelah hampir dua tahun menyepi dengan single terbaharu yang lebih hebat dan bertenaga berjudul ‘Tak Bisa’. Lagu ini dicipta sepenuhnya oleh Erul sendiri, turut mendapat sentuhan istimewa daripada Pengurus Talent dan Pakar Media Sosial Malaysia, Vee Nazrah, dan diterbitkan oleh VNE Global.



Bercerita mengenai lagu ‘Tak Bisa’, Erul berkata, “Ia merupakan sebuah kisah benar yang diadaptasikan daripada pengalaman hidup seseorang mengenai perpisahan hubungan percintaan yang harus berganti dari penyakit yang mula menghentikan nadi.


Naib Juara K-pop Star Hunt Musim Ke-2 ini menambah, “Lagu Tak Bisa sebenarnya telah dicipta pada tahun 2014 lagi dan liriknya disempurnakan oleh saya pada tahun 2020, dan genre yang saya bawakan kali ini lebih kepada berentak pop rock.”


“Proses rakaman hanya mengambil masa selama 1 jam setengah sahaja bersama Oja Gegar Vaganza di Studio Tuneable Record kerana mudah bagi saya untuk merakamkannya kerana ia ciptaan saya sepenuhnya dan hanya menunggu masa untuk disempurnakan.


“Pada masa yang sama, saya masih lagi mengekalkan imej K-pop yang memang sudah serasi dengan jiwa saya, tetapi lebih matang sesuai dengan usia dan peredaran masa, dan fokus saya lebih tertumpu kepada kekuatan lagu dan kualiti dari segi nyanyian.


Bekas pelajar Akademi Fantasia Musim ke-9 dan juga Protege kepada penyanyi terkenal Jaclyn Victor dalam rancangan Mentor Musim ke-3 masih lagi aktif dalam cabang seni, jelasnya, “Sebenarnya Erul tidak pernah hilang pun, cuma lebih tertumpu kepada bidang lakonan, sebagai influencer dan juga sebagai Guru Muzik di Yamaha Music School.”


Pelantun lagu ‘Teristimewa’ yang merupakan OST drama bersiri Cinta Tanpa Henti pada tahun 2019 turut berkongsi, “Muzik video (MV) Tak Bisa membawa konsep berdasarkan naratif watak utama yang sedang melalui fasa melupakan kenangan hubungannya yang gagal melalui watak watak ilusi yang menjadi simbolik di sebalik jalan ceritanya.”


“Antara cabaran yang saya hadapi sewaktu penggambaran MV ini adalah penekanan terhadap mainan emosi yang berat, selain memerlukan stamina yang cukup dan daya kreatif dalam menyampaikan watak yang diingini dengan berkesan oleh pengarah Ausz Din yang pernah menghasilkan MV Jampi, dan jika ingin tahu apakah kesudahannya jangan lupa untuk menonton MV Tak Bisa apabila dilancarkan nanti.


“Harapan saya pada Tak Bisa agak besar, kerana ia merupakan salah sebuah ciptaan terbaik daripada saya, dan semoga segala usaha bersama VNE Global akan disambut baik oleh peminat dan penggemar muzik tanah air, dan jika ada rezeki In-Shaa-Allah sehingga ke pentas Anugerah Juara Lagu pada masa akan datang,” jelas beliau dengan senyuman.


Lagu ‘Tak Bisa’ boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer. Manakala video muzik lagu ‘Tak Bisa’ ini juga boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Warner Music.



Tajuk : Tak Bisa

Artis : Erul Samah