FAIZAL TAHIR HADIAHKAN 'QIBLA', UMUM BEREHAT SEBAGAI PENYANYI


Ucap kata "Saya akan terus berkarya tetapi bukan untuk saya", telah mengundang pelbagai reaksi kepada umum apabila penyanyi, komposer dan penerbit muzik tersohor Malaysia, Faizal Tahir mengumumkan bakal berehat panjang dari mengeluarkan sebarang produk sebagai seorang penyanyi.


Seperti memberikan petunjuk, baru-baru ini kita telah dikejutkan dengan kemunculan semula Faizal Tahir bersama kumpulan nasyid Mirwana menerusi lagu Aku Tanpa CintaMu 2021. Lagu tersebut telah mendapat sambutan begitu baik selepas berjaya memanjat ke tempat pertama di carta Pop Terkini Spotify Malaysia serta menjadi trending di Youtube dalam masa tiga hari.


Selepas mengembalikan nostalgia kepada para peminatnya, Faizal Tahir sekali lagi mengejutkan netizen menerusi perkongsian beliau di laman sosial beliau yang mengatakan, "Sejak dari 'Assalamualaikum' pada 2015, ianya seperti tiada rehat lansung untuk saya. 'Anatomi', Rojak, Qibla dan semua projek saya yang lain sememangnya sangat memberi kepuasan, Alhamdulillah tetapi saya benar-benar sudah keletihan."


Perkongsian tersebut telah menerima pelbagai reaksi, ada yang mendoakan beliau supaya cepat kembali dan ada yang tidak percaya serta mahukan beliau meneruskan kariernya sebagai seorang penyanyi. Namun Faizal telah mengesahkan bahawa dia ingin berehat panjang dan mahu memberi fokus kepada keluarga, perniagaan sambil terus bergerak dibelakang tabir.


Perjalanan Faizal Tahir selama 17 tahun didalam industri muzik telah membuka pelbagai peluang dan jalan baru untuknya. Selain menguruskan hal peribadi, Faizal berkata beliau akan banyak meluangkan masa untuk menggerakkan Faithful Publishing yang ditubuhkan olehnya untuk mencari pelapis serta mencungkil bakat dalam bidang komposisi dan penerbitan muzik.


Bersempena dengan bulan Ramadan serta tanda 'perpisahan', Faizal dan syarikat rakamannya Faithful Music telah melancarkan sebuah box set berserta koleksi audio berjudul Qibla sebagai 'hadiah terakhir' darinya kepada peminat-peminat yang telah banyak menyokong karier beliau selama ini. Selain dari 3 buah lagu , Qibla turut memuatkan 10 klip audio tadabbur yang dipilih dan dibaca oleh Faizal sendiri. Box set Qibla juga turut mengandungi cenderahati istimewa seperti sampul duit raya, tasbih, kurma dan juga tudung selendang. Qibla hanya boleh didapati secara dalam talian di www.faizaltahir.com


Lagu-lagu yang terdapat didalamnya adalah Aku Tanpa CintaMu 2021 bersama Mirwana, sebuah lagu baru berjudul Syahadah serta rakaman semula lagu raya Ceria Aidilfitri bersama dengan Zizi Kirana dan Kumpulan Darmas. Ketiga-tiga lagu ini akan dimuat naik ke platform muzik digital dan Youtube secara berperingkat. Peminat boleh mula mendengarkan lagu Syahadah bermula pada 23 April 2021, Borak Barang Baik : Versi Tadabbur pada 29 April 2021 diikuti lagu Ceria Aidilfitri pada 3 Mei nanti.



Follow Us
  • Black Instagram Icon
  • Black YouTube Icon
  • Twitter Basic Black
  • Facebook Basic Black
  • Black Google+ Icon
Recent Posts