KERANA SABAR, BLACK TAK JADI KAHWIN



Soal jodoh, pertemuan ditentukan Allah SWT. Apatah lagi dalam mencari bahagia, ia bukan semudah disangka. Malah, melayari bahtera alam rumahtangga menuntut pengorbanan sekali gus menguji sejauh mana tahap sabar dan setia.


Jika rintangan awal berjaya diharungi, bermakna perjalanan seterusnya lebih mudah untuk ditempuhi. Apa yang penting, sabar perlu ada dalam diri untuk mengharungi segala macam cabaran. Itu mesej yang ingin disampaikan penyanyi terkenal, Black Hanifah menerusi video muzik (MV) lagu ‘Sabar’ yang dilancarkan hari ini di saluran YouTube ‘Nova Music Videos’.


Menurut Black, MV yang menjalani penggambaran selama dua hari itu memaparkan kehidupan sebenar segelintir masyarakat terutama si lelaki berstatus duda dan mempunyai anak yang ingin berkahwin semula.


“MV ini mengisahkan lelaki duda yang ada anak. Dia kemudiannya nak bercinta dengan seorang wanita. Malangnya, wanita itu hanya mahu menerima dirinya tapi tidak anaknya.


“Di depan lelaki itu, wanita itu berpura-pura menyukai anaknya, tapi di belakang bersikap sebaliknya. Sehingga akhirnya, lelaki itu dikecewakan tapi diubati dengan sokongan kasih sayang daripada anaknya.


“Kisah sebegini memang berlaku dalam masyarakat kita. Jadi, saya ingin paparkan yang mana tidak salah seorang duda untuk bercinta dan berkahwin lagi. Tapi, tidak semua melalui pengalaman indah,” katanya.


Berkongsi mengenai penggambaran MV itu, Black berkata ia satu pengalaman baru apabila berlakon dengan pelakon kanak-kanak perempuan yang memerlukan penghayatan dan emosi penuh sesuai dengan melodi lagu ‘Sabar’.


“Sejujurnya, tidak ada masalah untuk buat MV ini. Pelakon wanita dan kanak-kanak membawa watak masing-masing dengan baik. Walaupun saya tak pernah buat babak sebegini dalam MV sebelum ini, tapi ia tidak terlalu mudah dan susah. Cuma, untuk pelakon kanak-kanak mendapatkan ‘mood’ sedih itu yang mengambil sedikit masa.


“Bagi saya, keunikan MV ini adalah dari segi nyanyian lagu ini. Apa saya rasa, dilontarkan sepenuhnya dalam lagu ini. Jadi, dalam MV ini pun ia meluahkan isi hati yang dirasai. Bagi mereka yang jenis ‘family man’, pasti lebih merasai MV ini,” katanya.


Sementara itu, pengarah MV, Azuad Abdullah, 29, berkata, pihaknya memberikan dua idea dari segi jalan cerita dan Black memilih idea kedua iaitu seperti apa yang dipaparkan dalam MV ‘Sabar’.