MARGASATWA RAKAM SEMULA 'YANG ASLI' DALAM BAHASA JEPUN


Bersempena Olimpik Tokyo 2020, Margasatwa telah merakamkan semula lagu Yang Asli dalam versi bahasa Jepun sebagai tanda penghormatan kepada pasukan Malaysia yang telah ke Tokyo untuk mengharumkan nama negara. Ini juga merupakan sebuah kolaborasi antara Margasatwa dan CakapJepun.com, sebuah pusat pembelajaran Bahasa Jepun yang ditubuhkan oleh anak tempatan yang merupakan graduan Universiti di Jepun.


Menurut Kimal, “Kami bukan sekadar nak tujukan pada atlit Malaysia yang tengah berjuang,tapi untuk semua rakyat Malaysia yang sekarang tengah berdepan dengan pelbagai cabaran.”


“Saya telah olah lirik asal supaya lebih tepat dengan tema semangat Olimpik. Terjemahan ke dalam Bahasa Jepun oleh Izzat Sensei dari CakapJepun.com memberikan makna yang lebih mendalam.”


“Apapun pencapaian oleh atlet negara pada Temasya Sukan Olimpik, kita seharusnya bangga dan memberi sokongan penuh kepada mereka sewaktu menang ataupun kalah kerana mereka telah berjuang dan melakukan yang terbaik demi Malaysia.”


Kimal yang merupakan vokalis dan komposer utama Margasatwa merupakan seorang graduan dari Tokai University, Jepun.


“Satu minit pertama anda akan dihidangkan dengan intro bunyi muzik melayu dan anime, mengimbau zaman zaman Gaban dan Kesatria Baja Hitam. Kreatif dan Klinikal” -Dr. Abdul Nasir, Pensyarah dan salah seorang Alumni Universiti Jepun.


“Ini juga sebuah hiburan berbentuk pelajaran Bahasa Jepun. Para pendengar boleh merujuk kepada sarikata pada Video di Youtube untuk belajar sedikit sebanyak Bahasa Jepun dan terjemahan dalam Bahasa Melayu.” -Fadhil, selaku penyusun lagu dan pemain gitar utama Margasatwa.


Kolaborasi ini adalah yang pertama kali sedemikian rupa dan mendapat perhatian ramai pendengar muzik dan penikmat Sukan Olimpik dari negara Malaysia dan Jepun. Ini merupakan sebuah inisiatif yang baik untuk mengukuhkan hubungan dua negara serta rakyatnya.



Sumber Youtube


Sumber Youtube