MENCUNGKIL KEBENARAN DI LAHAR NET BERSAMA DIDIE ALIAS DAN PINK HAZWAN



Saluran Awesome TV akan menyiarkan sebuah program berkisar kupasan tentang isu-isu semasa yang panas dan tular bersama selebriti jemputan berlainan setiap minggu, bersama hos yang menghangatkan suasana iaitu Didie Alias dan Pink Hazwan. Prorgam yang diberi judul Lahar Net itu akan mula bersiaran pada 6 Mac 2021, setiap hari Sabtu jam 9.30 malam sehingga 10 malam di Awesome TV di saluran 123, Astro dan 112, MyTV.

Ini bukanlah kali pertama untuk Didie Alias menjadi pengacara sesebuah program tetapi ia merupakan program yang pertama kali menjadikan Didie Alias sebagai pengacara yang melibatkan tentang kecaman. Ia melibatkan minda dan kecekapannya untuk berhadapan dengan tetamu ketika soalan dikemukakan.


Kata Didie Alias, “Program Lahar Net adalah program yang sangat menarik dan berlainan konsepnya kerana program ini membongkar kebenaran sesuatu perkara kepada penonton. Sebelum ini, netizen hanya menghukum sebelum mengetahui perkara sebenar. Saya harus berdiri, mewakili rakan-rakan artis terutama sekali untuk menjernihkan situasi.”


“Program Lahar Net adalah program yang sangat menarik dan berlainan konsepnya kerana program ini membongkar kebenaran sesuatu perkara kepada penonton,” - Didie Alias


Apabila bertanyakan tentang kesan terhadap dirinya apabila mengeluarkan kenyataan dan soalan yang panas, Didie Alias mengatakan dia sudah biasa dikecam kerana itu adalah lumrah menjadi seseorang yang dikenali, apa sahaja yang dilakukan mungkin ada beberapa pihak tidak suka atau tidak bersetuju. Tetapi ia tidak menjadi masalah kepadanya kerana dia sedia menerimanya.


“Itulah sebab program seperti ini diwujudkan, ia akan membantu kami, anak-anak seni untuk memperbetulkan keadaan tetapi jika netizen tetap mahu mengecam, silakan.”


“Ini adalah kali pertama saya bekerjasama dengan Pink Hazwan, di mana pada episod pertama kami sama-sama mencari momentum dalam pengacaraan. Banyak perbincangan yang kami telah buat dan Pink adalah seorang penghibur, senang untuk bekerjasama dan seorang yang bersungguh untuk belajar untuk menampakkan kami berdua mempunyai persamaan,” tambah Didie yang juga terlibat dalam pengambaran Diva Popular yang bakal di tayangkan di Awesome TV, Mei ini.


Sementara itu, Pink Hazwan pula bertanggungjawab sebagai pengacara bersama dalam program Lahar Net dikatakan rezeki kembali bertaut. Katanya, “Lahar Net adalah program yang difikirkan bersama penerbit untuk mengeluarkan program kandungan viral untuk mendapatkan jawapan apabila mereka dikecam hebat di sosial media serta artikel.”