PROGRAM HIBURAN TERBAHARU ASTRO RIA BAKAL IMBAU NOSTALGIA



Sebuah program hiburan terbaharu, ‘Showcase Lejen Ria’ berkonsepkan konsert mini eksklusif bersama barisan penyanyi legenda dalam industri muzik tanah air yang akan menghiburkan penonton dengan rangkaian koleksi lagu popular masing-masing sekaligus bakal mengimbau nostalgia untuk setiap lagu yang pernah menjadi siulan ramai.


Seramai lima penghibur ikonik dengan latar belakang genre muzik yang berbeza iaitu Kumpulan Wings, Zamani & Ameng, Ella dan Anuar Zain bakal menggegarkan malam hujung minggu menerusi empat buah konsert mini yang akan berlangsung selama 90 minit dari Studio 1, Astro Bukit Jalil.


Konsert mingguan eksklusif ‘Showcase Lejen Ria’ bakal dikendalikan sepenuhnya oleh selebriti versatil, Dato’ AC Mizal selaku hos program yang akan mendalami perjalanan kembara seni serta pencapaian cemerlang barisan artis jemputan sepanjang pembabitan mereka dalam industri muzik. Selain itu, pelbagai perkongsian pahit manis dan pengalaman berharga yang mungkin tidak pernah dikongsikan sebelum ini akan turut dicungkil menerusi program ini.


Kumpulan Wings akan membuka gelanggang episod pertama program ‘Showcase Lejen Ria’ pada Ahad ini. Kemudian disusuli dengan penampilan istimewa Zamani & Ameng untuk episod kedua pada 28 Mac 2021. Ratu Rock Negara, Ella pula akan beraksi di episod ketiga pada 4 April 2021. Manakala penyanyi terkenal Anuar Zain pula akan melabuhkan tirai program ini menerusi episod keempat pada 11 April 2021.

Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal berkata “Seperti yang kita tahu, lanskap industri seni sudah banyak berubah sejak dilanda krisis pandemik lebih kurang setahun yang lalu. Perubahan mendadak terhadap norma kehidupan, kekangan SOP serta risiko penyebaran Covid-19 itu sendiri menjadi cabaran utama dalam menghasilkan program-program hiburan seperti penganjuran konsert, program realiti, majlis penganugerahan dan sebagainya yang lazimnya diadakan dalam skala besar serta memerlukan tenaga kerja yang ramai.


Selaku peneraju utama industri kandungan, kami mengambil cabaran ini untuk terus bergerak secara agresif dalam menghasilkan karya-karya kreatif bagi memastikan para pelanggan Astro kekal terhibur bersama kami di saat-saat sukar ini. Terbaharu, kami bawakan konsert mini eksklusif ‘Showcase Lejen Ria’ yang menampilkan legenda tersohor tanah air untuk menggegarkan malam minggu anda."


Konsep sebegini sebenarnya bukanlah sesuatu yang baharu di platform Astro Ria kerana sebelum ini kami sudahpun mempunyai pengalaman yang luas dalam menerbitkan program dengan format yang seakan sama seperti ‘Dari Studio 1’, ‘Stage 104’ dan sebagainya.


Pemilihan Dato’ AC Mizal sebagai hos juga tepat kerana beliau mempunyai personaliti yang ceria, senang didampingi dan paling penting mempunyai sifat humor yang disukai penonton. Karakter beliau ini juga mampu membuatkan rakan artis berasa lebih selesa dan tidak segan untuk berkongsi cerita luar dalam secara eksklusif dalam ‘Showcase Lejen Ria", jelas Emarina lanjut.


Rakaman konsert mini ‘Showcase Lejen Ria’ untuk episod yang menampilkan Kumpulan Wings serta Zamani & Ameng sudahpun selesai dijalankan. Manakala rakaman dua buah episod lagi yang menampilkan penyanyi Ella dan Anuar Zain dijadualkan untuk berlangsung pada 20 dan 22 Mac ini di Studio 1, Astro Bukit Jalil.


Untuk episod pertama yang menampilkan Kumpulan Wings, buat pertama kalinya para peminat bakal dihiburkan dengan persembahan ‘reunion’ daripada Dato’ Awie, Mel dan Muss. Antara barisan lagu hits yang bakal dipersembahkan termasuklah ‘Bernafas Dalam Lumpur’, ‘Opera Hidup’, ‘Peronda Jaket Biru’, ‘Taman Rashidah Utama’ dan banyak lagi.



Antara babak menarik yang harus dinantikan adalah sewaktu segmen ‘Balik Belakang’ yang akan menyiarkan koleksi gambar kenangan menampilkan Dato’ Awie, Eddie, Black serta ramai lagi untuk mengimbau semula sejarah pembabitan mereka dalam industri muzik.


Selain itu, terdapat juga segmen istimewa yang menampilkan panggilan video secara langsung bersama komposer dan penulis lirik, Bob Lokman untuk mengetahui kisah di sebalik lagu ‘Taman Rashidah Utama’ serta kenangan bersama Kumpulan Wings.


Episod kedua pula bakal menyaksikan gandingan vokalis hebat tanah air iaitu Zamani daripada Kumpulan Slam dan Ameng daripada Kumpulan Spring. Antara lagu hits yang bakal dinyanyikan oleh Zamani termasuklah ‘Syair Si Pari-Pari’, ‘Nur Kasih’, ‘Entah Mengapa’, ‘Gerimis Mengundang’ dan banyak lagi. Manakala Ameng pula akan membawakan lagu hits seperti ‘Butakah Cinta’, ‘Cempaka Di Rembulan’, ‘Sampai Hati’ dan sebagainya. Selain nyanyi secara solo, para penonton juga akan turut dihiburkan dengan persembahan duet daripada Zamani dan Ameng.


Antara trivia menarik yang akan dibawakan menerusi episod ini termasuklah pengalaman kedua vokalis ini bersama peminat yang tidak dapat dilupakan sewaktu membuat konsert. Ameng turut berkongsi momen menarik antaranya ketika dia diangkat oleh peminat dan kejadian peminat yang menangis di hadapannya sewaktu membuat persembahan. Nantikan juga perkongsian ekslusif oleh Zamani saat sedang diuji dengan detik hitam semasa dalam pusat pemulihan dadah.


Manakala untuk konsert episod ketiga pula, penyanyi Ella juga akan turut membuat kejutan menarik menerusi persembahan khas bersama suami tercinta, Azhar Ghazali serta adiknya, penyanyi Korie.


Sementara itu, enyanyi malar segar Anuar Zain juga tidak ketinggalan untuk berduet dengan anak saudaranya iaitu Ernie Zakri menerusi episod akhir program ini.


Rakaman program ‘Showcase Lejen Ria’ akan bersiaran secara eksklusif pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam bermula 21 Mac 2021 menerusi saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro Go dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.