PROGRAM I-KEMBALI BUKA PELUANG PEKERJAAN PADA BEKAS BANDUAN DALAM SEKTOR INDUSTRI TERPILIH


Pertubuhan Rakan Ghullam Kembali (PERGAK) dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia telah memperkenalkan sebuah program bagi membantu bekas banduan mendapatkan pekerjaan selepas tamat hukuman penjara sekali gus membolehkan mereka membina hidup baru yang dikenali sebagai Program I-Kembali .


Program I-Kembali merupakan sebuah platform yang bertindak sebagai pemudahcara bagi menghubungkan para bekas banduan, orang yang diparol dan olrang yang diselia dengan bakal-bakal majikan dari beberapa sektor industri terpilih seperti perkilangan, perkhidmatan, pembinaan, pertanian dan perladangan, pemasaran serta pengurusan.


Menurut Pengerusi Pertubuhan Rakan Ghullam Kembali (PERGAK), Datuk Seri Siti Murni Sheikh Ahmad sehingga kini terdapat hampir 400 bekas banduan yang telah menyertai Program I-Kembali dengan kebanyakkannya telah memperolehi pekerjaan dalam sektor industri terpilih. PERGAK juga komited dengan sasaran penyertaan sehingga 1,000 bekas banduan untuk menyertai program I-Kembali bagi tahun ini.


"Ramai lagi bekas banduan dijangka akan mendaftar dengan program I-Kembali. Kami menyasarkan seramai 1000 bekas banduan untuk menyertai program ini hujung tahun ini," katanya kepada wartawan sewaktu sesi bersama media pada sidang media "Pemasyarakatan Penjara Malaysia" di Ibu Pejabat Penjara Malaysia, Kajang, hari ini.


Menurutnya, bekas banduan yang terpilih akan melalui satu proses saringan ketat di Ghullam Recovery Care Centre (GRCC) sebelum ditempatkan di sektor pekerjaan mengikut kesesuaian dan minat bekas banduan berkenaan. Semua peserta program I-Kembali ini akan dipantau oleh PERGAK serta Jabatan Penjara bagi memastikan mereka tidak kembali melakukan kegiatan jenayah.


Sementara itu, menurut Timbalan Ketua Pengarah Penjara (Pemasyarakatan), Dato’ Haji Abdul Aziz bin Abdul Razak, program I-Kembali yang diperkenalkan oleh PERGAK sejak Ogos lalu telah banyak membantu Jabatan Penjara Malaysia amnya dan kepada bekas banduan secara khususnya dengan membantu menyalurkan tenaga kerja yang terdiri dari bekas banduan ini ke dalam industri-industri terpilih.


"Saya berharap perkara ini dapat difahami dan diterima oleh masyarakat, bahawa bekas banduan ini ingin berubah.Saya juga berharap agar usahasama ini dapat diteruskan supaya bekas-bekas banduan ini terus berada dalam industri pekerjaan," ujarnya lanjut.


Melalui sokongan serat motivasi kepada para bekas banduan untuk melalui kehidupan lebih bersemangat dan lebih terbuka berbekalkan kesedaran dan kemahiran yang diperolehi semasa di dalam penjara, para peserta program akan mampu untuk mendapatkan pekerjaan yang stabil serta menjalani kehidupan yang stabil dan masa depan yang cemerlang.

Tags:

Follow Us
  • Black Instagram Icon
  • Black YouTube Icon
  • Twitter Basic Black
  • Facebook Basic Black
  • Black Google+ Icon
Recent Posts