PROGRAM REALITI PENCARIAN PELAWAK KOMEDIRI BAHARU 'GELAK: GEMPAK' BAKAL BERSIARAN DI ASTRO WARNA



‘GELAK: GEMPAK’ merupakan sebuah program realiti terbaharu dari Astro berkonsepkan pertandingan pencarian bakat hasil kerjasama dengan LOL Asia bagi kategori pelawak komedi berdiri atau komediri (‘stand-up comedian’). Program 10 episod ini bakal bersiaran setiap Jumaat, jam 9 malam mulai 5 Februari 2021 di saluran Astro Warna HD (107) dan Astro Warna (127). Untuk pilihan yang lebih fleksibel, program ini juga boleh distrim secara percuma untuk pelanggan Astro melalui aplikasi Astro GO dan on demand.


Norzeha Mohd Salleh, Pengurus Saluran Astro Warna berkata, “Jika diperhatikan, genre lawak stand-up atau komediri dalam industri lawak mempunyai audiens yang rata-ratanya hadir daripada masyarakat bandar dan bersifat urban. Sebagai peneraju kandungan komedi yang berupaya untuk menjangkau kepada segmen penonton yang lebih luas, kami di Astro Warna amat teruja untuk bekerjasama dengan LOL Asia bagi penerbitan pertandingan ‘Gelak: Gempak’ ini agar dapat membawa seni lawak komediri menembusi audiens massa dengan capaian yang lebih meluas, dan membangkitkan bakat baharu sebagai pelapis industri.


Kejayaan pelawak-pelawak kelahiran Astro yang berjaya menempa nama sebagai pemain utama dalam industri seni tanah air seperti Nabil Ahmad, Jihan Muse, Zizan Razak dan Johan menjadi pemangkin semangat bagi kami untuk meneruskan usaha penghasilan pelbagai sajian kandungan lawak bagi santapan para audiens. Besar harapan kami agar program ‘Gelak: Gempak’ dapat memupuk minat terhadap genre komedi ‘Stand Up’ supaya menjadi antara kategori lawak yang diraikan ramai, sama seperti komedi sketsa (Maharaja Lawak Mega) dan komedi muzikal (Muzikal Lawak Superstar).”



Setiap peserta akan diadili berdasarkan pemarkahan 100% oleh barisan juri profesional yang terdiri daripada nama-nama besar industri komedi termasuklah Dato’ Afdlin Shauki, Sherry Alhadad dan Nabil Ahmad. Kesemua juri bakal menilai para peserta berdasarkan tahap kreativiti, persembahan pentas serta isi kandungan jenaka. Sementara itu, pelawak komediri tersohor Prakash Daniel hadir sebagai jurulatih jemputan bagi para peserta. Bagi memeriahkan lagi penerbitan program ‘Gelak: Gempak’, Harith Iskander dan Douglas Lim turut diundang sebagai juri serta mentor jemputan.


Juara keseluruhan bakal membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM25 ribu sumbangan Astro, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing pula akan menerima RM7 ribu dan RM3 ribu. Sebuah trofi juga akan diberikan kepada ketiga-tiga pemenang.


Program ‘Gelak: Gempak’ ini turut disokong oleh Zon Lawak yang hadir di bawah payung jenama Gempak selaku Rakan Digital Rasmi. Dapatkan info terkini mengenai program ini di laman web rasmi Gempak (www.gempak.com).


Follow Us
  • Black Instagram Icon
  • Black YouTube Icon
  • Twitter Basic Black
  • Facebook Basic Black
  • Black Google+ Icon
Recent Posts