PROGRAM RAYA COMMUNITY FREEZER BANTU MASJID PERKASA INISIATIF BANTUAN GOLONGAN SASARAN DAN ASNAF



Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama Pertubuhan Badan Amal Raya (RAYA) dan individu prihatin telah menganjurkan Majlis Penyerahan Sumbangan Community Freezer Masjid dan Surau Wilayah Persekutuan di Masjid Ar-Rahimah, Kampung Pandan semalam.


Majlis tersebut telah disempurnakan oleh YB Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Turut hadir adalah Datuk Haji Mohd Ajib Ismail, Pengarah JAWI dan YBhg. Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil , selaku penaung Pertubuhan Badan Amal Raya (RAYA).


Program Amal Raya Community Freezer merupakan sebuah program amal kolaborasi terbaru antara JAWI, RAYA dan Kumpulan Individu Prihatin dalam usaha menyediakan tempat penyimpanan makanan sejuk beku seperti ayam, ikan, daging dan lain-lain untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan terutama golongan asnaf. Program tersebut dilihat membantu melengkapkan pelbagai inisiatif sedia ada di masjid dan surau sekitar Wilayah Persekutuan seperti gerobok rezeki dan lain-lain.


Sehingga kini, sejumlah 35 buah freezer telah disumbangkan oleh RAYA dan Individu Prihatin kepada 24 buah masjid dan 11 surau di Wilayah Persekutuan. Pada masa akan datang, lebih banyak masjid dan surau yang telah dikenalpasti dijangka bakal menerima sumbangan tersebut.


Dalam majlis yang sama, JAWI Food Bank turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas makanan termasuk makanan sejuk beku kepada 6 orang asnaf terpilih sebagai simbolik penyerahan sumbangan.


Projek rintis yang julung kali diadakan ini bakal menyerlahkan lagi fungsi dan peranan masjid di dalam menyantuni golongan masyarakat yang terkesan dan memerlukan lebih-lebih lagi dalam tempoh pandemik wabak Covid-19 yang melanda negara.




MENGENAI PROGRAM RAYA COMMUNITY FREEZER


Salah satu program dibawah Raya Food Hub ialah Raya Community Freezer (RCF) yang berkerjasama bersama Food Bank , Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), RCF sehingga kini telah menyumbang sebanyak 10 buah freezer kepada 10 buah masjid. Manakala pihak Food Bank JAWI bertanggungjawab memantau pengisian makanan asas kepada mereka yang memerlukan terutamanya golongan B40.


Antara masjid yang telah menerima freezer bagi menajayakan program RCF ini adalah seperti :


  • Masjid Imam Al- Ghazali , Segambut

  • Masjid Amru Al As, Batu

  • Masjid Al Rahimah, Titiwangsa

  • Masjid Usamah Bin Zaid, Setiawangsa

  • Masjid Saidina Abu Bakar Al Siddiq, Lembah Pantai

  • Masjid Mahmodiah, Putrajaya

  • Masjid Al Muqarrabin, Bandar Tun Razak

  • Masjid Jame Sultan Abdul Samad, Bukit Bintang

  • Masjid Amaniah, Kepong

  • Surau Al-Hijrah PPR Sri Aman, Kepong

MENGENAI PERTUBUHAN BADAN AMAL RAYA (RAYA)


Pertubuhan Badan Amal Raya (RAYA) merupakan sebuah badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan bertujuan untuk membantu golongan yang memerlukan. Pertubuhan ini dinaungi oleh YBhg. Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil , dan dipengerusikan oleh Dato Abdul Ghani Salleh. Antara aktiviti-aktiviti amal yang dijalankan oleh RAYA secara berterusan meliputi:


  • Sumbangan Kerusi Roda kepada HKL, Rumah Orang Tua dan Individu-Individu yang memerlukan.

  • Sumbangan barangan keperluan asas kepada rumah-rumah jagaan persendirian.

  • Sumbangan makanan kepada Frontliners semasa memerangi pandemik Covid-19.

  • Membantu dan meraikan anak-anak tahfiz.

  • Membantu mangsa-mangsa bencana banjir.

  • Meraikan orang kelainan upaya (OKU)

  • Sumbangan makanan kepada gelandangan

  • Berkerjasama dengan kumpulan NGO tempatan dalam menganjurkan acara kebajikan.