TAJDID HADHARI KEMUDI PROGRAM ZAYAN VALET



ZAYAN teruja memperkenalkan Tajdid Hadhari (Hadhari) sebagai personaliti baharu segmen ZAYAN Valet, setiap Isnin hingga Jumaat, 3 petang hingga 7 malam melalui siaran udara dan di aplikasi SYOK.


Sebagai seorang peminat bola sepak, Hadhari akan memberi peluang kepada para peminat ZAYAN untuk menikmati dan menyertai perbincangan tentang dunia sukan tanah air dan perkongsian topik gaya hidup sihat, menerusi ZAYAN Valet bersama Hadhari, termasuk segmen baru ZAYAN Fit, yang akan menampilkan tetamu undangan.


Para peminat ZAYAN boleh terus berhibur dengan segmen-segmen menarik ZAYAN Valet seperti:

  1. Tanya Ikhlas, di mana peminat diberi kesempatan untuk bertanyakan soalan dan berkongsi pendapat berkaitan topik yang dikupas.

  2. Kaji Ngaji, sebuah sesi perkongsian bacaan ayat Al-Quran berserta terjemahan oleh Hadhari bersama para peminat

  3. Valet Buzz, di mana Hadhari akan membincangkan topik dan isu semasa yang tular bersama peminat.


Sementara itu, Wan Syahrul Amry, Pengurus Kandungan ZAYAN berkata “ZAYAN terus menyediakan para peminat dengan kandungan yang relevan dan pelbagai. Kami teruja untuk memperkenalkan Hadhari kepada peminat kami, yang kini boleh menikmati perbincangan menarik tentang dunia sukan dan kekal aktif yang merupakan aspek penting seharian terutamanya semasa pandemik ini. Kami mengucapkan terima kasih kepada peminat kami atas sokongan mereka dan berharap mereka akan menikmati ZAYAN Valet yang baharu.”

PROFIL

Tajdid Hadhari merupakan seorang yang santai dan peramah. Beliau minat dalam sukan bola sepak dan pernah mewakili Pasukan Belia Perak pada tahun 2008-2009. Mula dikenali ketika menyertai sebuah rancangan TV realiti Islam dan merangkul naib juara pada tahun 2014. Beliau juga mempunyai pengalaman sebagai seorang hos dan penyampai radio sebelum ini.


Dalam bidang sukan, beliau mempunyai lesen bimbingan FAM 'D' di bawah jurulatih, Hassan Sazali Waras (Jurulatih Belia Nasional FAM) dan menjadi jurulatih bola sepak remaja bermula tahun 2019.


Selain itu, Hadhari yang juga dikenali sebagai ‘Ustaz Bola’ di akaun YouTube-nya, aktif menghasilkan kandungan digital berkaitan bidang sukan di akaun YouTube dan perkongsian ini akan turut disediakan menerusi ‘ZAYAN Valet’, dalam memberi dorongan kepada peminat ZAYAN untuk terus menjalani gaya hidup sihat dan kekal bersukan.


Kini, Hadhari merupakan personaliti radio ZAYAN, mengendalikan segmen ZAYAN Valet, pada setiap Isnin hingga Jumaat, jam 3 petang hingga 7 malam.