Laku Keras! Tiket Konsert 'Nafas Cinta' Khai Bahar Terima Sambutan Luar Jangka Dari Peminat
top of page
  • Writer's pictureMYB

Laku Keras! Tiket Konsert 'Nafas Cinta' Khai Bahar Terima Sambutan Luar Jangka Dari Peminat

Sambutan luar jangka! Begitulah sambutan yang diberikan oleh peminat untuk Konsert 'Nafas Cinta' Khai Bahar, apabila 300 tiket membabitkan penonton secara fizikal habis terjual dalam tempoh beberapa jam selepas ia dilancarkan pada 31 Disember lalu.


Konsert 'Nafas Cinta' Khai Bahar
Sidang media khas pengumuman Konsert 'Nafas Cinta' Khai Bahar yang bakal berlansung pada 12 Februari 2022. Tiket konsert secara fizikal untuk 300 penonton habis terjual dalam tempoh beberapa jam selepas dilancarkan pada 31 Disember 2021 yang lalu.

Namun, itu bukan berita yang mendukacita peminat keras Khai Bahar kerana konsert anjuran syarikat rakaman Nova Music ini akan turut diadakan secara virtual yang dibawakan secara langsung oleh CloudTheatre.


Peminat-peminat Khai Bahar yang tidak dapat membeli tiket bagi menonton konsert secara fizikal masih boleh menonton konsert tersebut di rumah atau di mana saja mereka berada menerusi gajet masing-masing dalam paparan 1080 definisi tinggi (HD).


Khai, 27, atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin yang ditemui sewaktu sidang media khas yang diadakan bagi mengumumkan perkara itu siang tadi berkata, tidak ada kata-kata yang mampu menggambarkan perasaannya selain bersyukur dan gembira.


"Alhamdulillah, saya tidak menjangka tiket boleh habis dengan begitu pantas. Sejujurnya, saya hilang kata-kata apabila dimaklumkan perkara ini. Sudah tentu, saya gembira dan teruja kerana ia sesuatu yang cukup membanggakan. Apa saya boleh katakan, peminat yang membeli tiket ini anda memang luar biasa.


"Saya juga nak berterima kasih kepada semua yang sudah membeli tiket. Bagi saya, ini adalah tanda sokongan peminat-peminat buat saya yang mana tanpa jemu dan tidak pernah putus asa menyokong kerjaya saya. Walau apa yang saya buat, baik dalam nyanyian atau lakonan anda semua tetap ada bersama saya," katanya.



Menurut Khai, sambutan itu menjadikan dirinya lebih bersemangat untuk memberikan yang terbaik selain mengakui tidak sabar untuk menghiburkan peminatnya.


Konsert "Nafas Cinta Khai Bahar
Khai Bahar
"Sebagai penyanyi tentu saja mahukan konsert yang bakal dijayakan berjaya. Malah, penganjur yang membawakan konsert ini juga pastinya berharap tiket akan terjual. Alhamdulillah, peringkat awal konsert ini sudah berjaya. Tinggal lagi kita nak merealisasikan konsert ini.

"Biarpun perasaan gementar itu ada dalam diri, saya percaya kehadiran peminat yang sudah membuatkan tiket konsert in habis terjual membuatkan saya tidak sabar untuk menghiburkan mereka. Saya mahu menjadikan malam konsert ini nanti sebagai satu lagi kenangan terindah dalam kerjaya dan juga but seluruh peminat yang menonton secara fizikal atau virtual," katanya.


Konsert ‘Nafas Cinta' Khai Bahar bakal diadakan pada 12 Februari depan di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJ PAC), 1Utama Shopping Centre, Bandar Utama jam 9 malam.


Menariknya, konsert ini bakal menampilkan dua penyanyi jemputan wanita iaitu Aina Abdul dan Adira Suhaimi. Selain barisan penyanyi baru seperti Ahmad Syafiq, Farra Ahmad dan Syeera Aziz yang akan turut serta menjadi artis pembuka tirai konsert tersebut.


Tiket tontonan konsert secara virtual boleh dibeli dengan harga RM19.90 (13 hingga 27 Januari) manakala RM29.90 (28 Januari hingga - 12 Februari). Peminat-peminat disaran untuk membeli tiket secepat mungkin untuk mendapat harga terbaik.


Menariknya, pihak CloudTheater dipertanggungjawabkan sebagai pengendali virtual Konsert 'Nafas Cinta' Khai Bahar menerusi laman web www.cloudtheatre.com dan ia boleh diakses 30 minit lebih awal sebelum konsert berlangsung.



Pengendali konsert virtual in turut menyediakan logo WhatsApp 'Help' sekiranya penonton ada menghadapi sebarang masalah atau gangguan disepanjang konsert itu berlangsung. CloudTheater juga turut menyediakan ruangan komen dan emoji bagi membolehkan penonton secara virtual menulis komen.


Penganjuran konsert ‘Nafas Cinta' Khai Bahar disokong MyCreative Ventures, Penjana dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia. Stesen radio ERA fm bertindak sebagai radio rasmi manakala Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur menjadi hotel rasmi konsert.

bottom of page