top of page

Pahang Negeri Pertama Di Dunia Perkenal Identiti Kod QR Murid, Pantau Sahsiah Di Hujung Jari

  • Writer: MYB
    MYB
  • 2 jam lalu
  • 2 min membaca

KUANTAN – Negeri Pahang Darul Makmur melakar nama di peta global apabila diiktiraf sebagai negeri pertama di dunia yang melaksanakan penggunaan Kod QR sebagai identiti rasmi murid sekolah.


Pahang Negeri Pertama Di Dunia Perkenal Identiti Kod QR Murid, Pantau Sahsiah Di Hujung Jari
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang, Ahmad Zamri Md Isa (tiga dari kiri) menyampaikan simbolik Lencana StudentQR kepada sekolah perintis pada Majlis Pelancaran Program Adat dan Identiti Murid Pahang: Aplikasi StudentQR di Kuantan, Pahang.

Pencapaian bersejarah ini direalisasikan menerusi Program Adat dan Identiti Murid Pahang, sebuah inisiatif transformasi pendidikan hasil kerjasama strategik antara Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang dan syarikat teknologi, Jaxer Digital Sdn. Bhd.


Program inovatif ini bertujuan menjawab cabaran pembentukan karakter pelajar era moden dengan menggabungkan kecanggihan teknologi digital dan pemerkasaan jati diri berteraskan warisan negeri.


Menerusi sistem ini, setiap pelajar akan dibekalkan dengan Lencana atau Kad ID Kod QR yang membolehkan segala perkembangan sahsiah mereka direkodkan di sekolah dan dipantau secara masa nyata oleh ibu bapa melalui aplikasi StudentQR.


Majlis pelancaran yang berlansung pada Isnin lalu disempurnakan oleh Pengerusi Eksekutif Jaxer Digital Sdn. Bhd., YAM Tengku Puteri Seri Lela Wangsa Tengku Tan Sri Dato' Seri Setia Hajjah Meriam Binti Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah. Dalam titah perasmiannya, baginda menyarankan agar pelaksanaan sistem Lencana QR ini diperluaskan secara menyeluruh ke semua sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan di Pahang bermula tahun 2027.


Pahang Negeri Pertama Di Dunia Perkenal Identiti Kod QR Murid, Pantau Sahsiah Di Hujung Jari
YAM Tengku Puteri Seri Lela Wangsa Tengku Tan Sri Dato' Seri Setia Hajjah Meriam Binti Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan untuk melihat dengan lebih dekat pemakaian Lencana StudentQR pada pakaian seragam sekolah murid.

Pengarah Pendidikan JPN Pahang, Tuan Haji Ahmad Zamri Bin Md Isa, menjelaskan bahawa teknologi ini hanyalah alat untuk mencapai matlamat utama iaitu pembentukan nilai. JPN Pahang juga bakal memperkenalkan Anugerah Karakter Murid yang mengangkat tokoh pahlawan legenda seperti Mat Kilau dan Tok Gajah sebagai model teladan ('role model') bagi membina jati diri pelajar yang tinggi.


Selain memantau disiplin dan sahsiah, aplikasi StudentQR ini turut berfungsi mendigitalkan pengurusan sekolah, termasuk memudahkan urusan pembayaran yuran dan pembelian di koperasi secara tanpa tunai (cashless), menjadikan operasi sekolah lebih efisien.


Langkah ini sekaligus meletakkan Pahang sebagai perintis dalam menyokong aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia untuk melahirkan insan yang berdaya saing dan beradab.



bottom of page