top of page

Wira Tak Didendang Diiktiraf: Anugerah Perdana Martabatkan NGO Sebagai Rakan Strategik Negara

  • Writer: MYB
    MYB
  • 2 jam lalu
  • 2 min membaca

BANDAR SUNWAY – Peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai tulang belakang pembangunan sosial negara mendapat pengiktirafan tertinggi menerusi penganjuran Majlis Anugerah Perdana NGO Malaysia yang berlangsung penuh gilang-gemilang malam tadi.


Wira Tak Didendang Diiktiraf: Anugerah Perdana Martabatkan NGO Sebagai Rakan Strategik Negara
Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka menyempurnakan perasmian Majlis Anugerah Perdana NGO Malaysia yang berlangsung penuh gilang-gemilang malam tadi di Sunway Resort Hotel Petaling Jaya

Majlis yang diadakan di Sunway Resort Hotel itu disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka, sebagai simbol sokongan kepimpinan negara terhadap peranan strategik masyarakat sivil dalam melengkapi dasar kerajaan.



Dianjurkan oleh Gabungan NGO-NGO Malaysia dengan kerjasama Yayasan Generasi Malaysia dan Pusat Penerbit Universiti Putra Malaysia (UPM Press), acara ini bertujuan mengiktiraf sumbangan konsisten NGO dalam pelbagai sektor termasuk kebajikan, pendidikan, kemanusiaan, dan keselamatan komuniti.


Dalam ucapan di majlis tersebut, Tan Sri Prof. Datuk Wira Dr. Abdul Latiff menyifatkan pengiktirafan ini sebagai penghargaan kepada pengorbanan aktivis yang sering bekerja tanpa mengharapkan pujian.


"NGO bergerak rapat dengan rakyat. Dalam banyak keadaan, merekalah yang paling awal turun ke lapangan dan paling akhir meninggalkan komuniti," ujar beliau.
Wira Tak Didendang Diiktiraf: Anugerah Perdana Martabatkan NGO Sebagai Rakan Strategik Negara
Datuk Seri Siti Nurhaliza menerima penghargaaan bagi pihak Yayasan Nurjiwa yang diangkat sebagai Yayasan Terbaik (Kebajikan Komuniti) oleh Majlis Anugerah Perdana NGO Malaysia tahun ini. Gambar: FB@Yayasan Nurjiwa

Selain penyampaian anugerah, malam bersejarah tersebut turut menyaksikan peluncuran rasmi Buletin IMPAK NGO MALAYSIA yang bertemakan "Suara Komuniti, Inspirasi Negara". Penerbitan ini merupakan usaha dokumentasi berwibawa yang merakam impak sosial, cabaran, dan amalan terbaik NGO di seluruh negara.


Kerjasama strategik dengan Pusat Penerbit UPM memastikan kandungan buletin ini disusun secara berfakta dan berstruktur mengikut standard akademik, menjadikannya rujukan penting bagi pembuat dasar, penyelidik, dan sektor korporat.


Menurut Tan Sri Abdul Latiff, penerbitan ini bukan sekadar laporan, tetapi satu "rekod sejarah sosial" yang sangat signifikan di tengah-tengah cabaran isu pembiayaan dan tadbir urus yang dihadapi sektor NGO masa kini.


Inisiatif ini dilihat sebagai langkah penting dalam mengangkat profesionalisme dan integriti gerakan masyarakat sivil, sekaligus menyokong pembinaan negara bangsa yang inklusif dan berperikemanusiaan.



bottom of page