100 Usahawan Tempatan Terima Pengiktirafan Usahawan Muda Paling Berpengaruh 2023
top of page
  • Writer's pictureMYB

100 Usahawan Tempatan Terima Pengiktirafan Usahawan Muda Paling Berpengaruh 2023

Seramai 100 orang usahawan tempatan diraikan pada majlis Anugerah 100 Usahawan Muda Paling Berpengaruh (100 MIYE) yang tealh diadakan baru-baru di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur. Anugerah 100 MIYE yang diadakan selama tujuh tahun telah mengiktiraf 700 usahawan muda paling berpengaruh di negara ini.


Tahun ini, tema 100 MIYE ialah 'Elevate,' selaras dengan aspirasi Pengerusinya, Datuk KK Chua, yang berhasrat untuk memartabatkan pencapaian dan kejayaan usahawan.


Barisan 100 usawahan yang berjaya menerima pengiktirafan Anugerah 100 Usahawan Muda Paling Berpengaruh (100 MIYE) 2023

Selaras dengan ini, pihak penganjur berhasrat untuk mempertingkatkan pengetahuan, kemahiran dan minda para usahawan. Anugerah itu bukan sahaja berfungsi sebagai pengiktirafan tetapi juga menyediakan platform untuk usahawan pelbagai etnik untuk memupuk hubungan dan persahabatan sesama mereka, mewujudkan rangkaian yang kukuh dalam komuniti perniagaan.


Idea untuk menganjurkan 100 MIYE bertitik tolak daripada kejayaan majalah keusahawanan terkemuka di Malaysia, Entrepreneur Insight yang diterbitkan oleh Armani Media Sdn Bhd, yang juga bertindak sebagai penganjur 100 MIYE. Penganjuran 100 MIYE tahun ini turut mendapat sokongan penuh dari Affin Bank selaku penaja utama serta entiti perniagaan berteraskan pembangunan hartanah terulung di Malaysia, Sime Darby Property.


Anugerah tersebut meraikan usahawan muda yang bekerja tanpa jemu untuk berjaya, mengambil risiko, menjadi pemimpin dan majikan yang dihormati, memiliki sikap positif, dan terlibat secara aktif dalam aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR).


Pengerusi Armani Entertainment Group merangkap Pengerusi Majlis Anugerah 100 Usahawan Muda Paling Berpengaruh (100 MIYE), Datuk KK Chua

Menurut Datuk KK Chua, setiap tahun, mereka menerima hampir 900 pencalonan, tetapi hanya 100 calon yang layak ke pusingan akhir.


"Daripada kira-kira 3.2 juta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia, hanya 100 usahawan muda akan menerima pengiktirafan atas pencapaian cemerlang mereka sebagai usahawan muda yang berjaya.


"Ini bermakna hanya 0.03% daripada majoriti komuniti usahawan akan dipilih. Oleh itu, Anugerah 100 MIYE telah menjadi acara berprestij di kalangan usahawan dan PKS, berfungsi sebagai tulang belakang ekonomi Malaysia," jelas Datuk KK Chua.


Untuk layak menerima anugerah 100 MIYE, calon mestilah berumur di bawah 45 tahun, menjadi pengasas syarikat yang telah beroperasi sekurang-kurangnya dua tahun, dan memegang majoriti kawalan syarikat. Selain itu, syarikat mesti mempunyai perolehan tahunan sebanyak RM3 juta atau lebih untuk tiga tahun berturut-turut.


Pencalonan dibahagikan kepada 15 kategori, termasuk pembuatan, perkhidmatan, dan pengeluaran. Pihak penganjur juga telah mengambil langkah untuk membantu usahawan Bumiputera dengan menganjurkan konvensyen usahawan Bumiputera bagi memberi pendedahan yang lebih luas kepada mereka tentang peluang dan pengetahuan perniagaan. Matlamatnya adalah untuk mewujudkan komuniti yang menyokong di mana usahawan boleh membuat rangkaian dan bertukar idea.


100 MIYE edisi 2023 turut memberi pengiktirafan kepada tujuh orang selebriti tempatan terdiri daripada usahawan selebriti Nur Fazura, Ziana Zain, Ayda Jebat, MK K-Clique, Zulin Aziz, Uyaina Arshad dan Nabila Razali.


Sejak penubuhannya pada 2016, 100 MIYE secara konsisten meraikan usahawan muda yang bekerja keras untuk berjaya, mengambil risiko, menjadi pemimpin dan mendapat penghormatan pekerja mereka.


Menurut Datuk KK Chua, semua kriteria yang dinyatakan perlu ada dalam diri setiap usahawan, kerana kejayaan bukan semata-mata berdasarkan usaha individu tetapi juga sokongan daripada orang sekeliling. Beliau seterusnya menekankan bahawa usahawan akan sentiasa menghadapi cabaran dan persaingan baharu, dan hanya mereka yang mempunyai pemikiran, keazaman, dan komitmen yang betul akan mencapai kejayaan.


Anugerah 100 Usahawan Muda Paling Berpengaruh (100 MIYE) adalah acara yang disegani yang mengiktiraf pencapaian usahawan muda di Malaysia. Anugerah itu bukan sahaja berfungsi sebagai tanda pengiktirafan tetapi juga menyediakan platform untuk rangkaian, perkongsian pengetahuan, dan pemupukan idea baharu. Memandangkan ekonomi Malaysia bergantung pada pertumbuhan dan kejayaan usahawannya, acara seperti 100 MIYE memainkan peranan penting dalam memacu kemajuan negara.

bottom of page