top of page

KL Kembali Bersinar! Bukit Bintang Star-Lit Street Festival Hangatkan Tahun Melawat Malaysia 2026

  • Writer: MYB
    MYB
  • 1 hari lalu
  • 2 min membaca

KUALA LUMPUR – Nadi pelancongan ibu kota, Bukit Bintang, kini bertukar wajah menjadi medan pesta penuh warna-warni menerusi penganjuran Bukit Bintang Star-Lit Street Festival. Acara ini merupakan inisiatif utama bagi menyemarakkan lagi sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) dengan mengetengahkan gabungan unik budaya, kreativiti, dan ekonomi pelancongan waktu malam.


KL Kembali Bersinar! Bukit Bintang Star-Lit Street Festival Hangatkan Tahun Melawat Malaysia 2026
Majlis Perasmian Bukit Bintang Star-Lit Street Festival sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) telah disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya. Turut hadir ialah YBhg. Dato’ Shaharuddin bin Abu Sohot, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, serta YBrs. Tuan Mohd Amirul Rizal bin Abdul Rahim, Ketua Pengarah Tourism Malaysia.


Festival terbuka yang berlangsung di pekarangan Plaza Low Yat ini diadakan selama dua hari, bermula Sabtu, 3 Januari hingga Ahad, 4 Januari 2026, dari jam 12.00 tengah hari sehingga 12.00 tengah malam.


Pemilihan Bukit Bintang sebagai lokasi penganjuran adalah strategik memandangkan kawasan tersebut merekodkan lebih 20 juta pengunjung setiap tahun, menjadikannya pentas terbaik untuk memacu ekonomi waktu malam dan hiburan.


Penganjuran festival bandar sebegini memainkan peranan penting dalam menyokong sasaran besar negara sempena VM2026, iaitu untuk mencatatkan 47 juta ketibaan pelancong serta menjana pendapatan pelancongan sebanyak RM329 bilion.



Para pengunjung, sama ada penduduk tempatan mahupun pelancong antarabangsa, dijemput untuk merasai pengalaman Malaysia yang sebenar melalui pelbagai aktiviti yang disusun rapi. Antara tarikan utama termasuk persembahan muzik secara langsung oleh artis tempatan dan band akustik, pertunjukan kebudayaan, serta set DJ yang bakal menghidupkan suasana.


Selain hiburan, festival ini turut menawarkan pengalaman gastronomi jalanan, jualan makanan dan minuman, serta pameran seni kreatif. Orang ramai juga berpeluang menyertai permainan interaktif di pentas utama dan memenangi hadiah menerusi sesi cabutan bertuah.


Acara ini dianjurkan oleh Sage Legacy Sdn Bhd dan diuruskan oleh E-Plus Entertainment Productions, dengan sokongan padu daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta pelbagai persatuan pelancongan dan komuniti setempat. Bukit Bintang Star-Lit Street Festival bukan sekadar sebuah acara hiburan, tetapi lambang kesediaan Malaysia untuk menyambut kehadiran pelancong dari seluruh dunia dengan tangan terbuka.



Komen


bottom of page