top of page

1000 Rockers Gegar Klang! Karnival Perpaduan Jadi Pentas Muzik & Harmoni

  • Writer: MYB
    MYB
  • 6 hari lalu
  • 2 min membaca

KLANG — Dataran Kapal, Tanjung Harapan Port Klang menjadi medan perpaduan dan gegaran muzik rock apabila Karnival Perpaduan Klang 2025 dan Himpunan Silaturrahim 1000 Rockers 4.0 berlangsung selama tiga hari bermula 31 Oktober hingga 2 November.


1000 Rockers Gegar Klang! Karnival Perpaduan Jadi Pentas Muzik & Harmoni
Majlis perasmian Karnival Perpaduan Klang 2025 dan Himpunan 1000 Rocker's disempurnakan oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang, YBhg. Dato’ Hj. Abdul Hamid Bin Hussain

Acara yang dianjurkan oleh Rich One Management bersama Majlis Bandaraya DiRaja Klang ini bukan sekadar festival hiburan, tetapi juga platform inklusif untuk menyemai semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya.


Majlis pelancaran disempurnakan oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang, YBhg. Dato’ Hj. Abdul Hamid Bin Hussain, yang menekankan pentingnya nilai perpaduan dalam membina negara yang aman dan progresif.


“Karnival seperti ini menggalakkan interaksi sosial dan kerjasama antara pelbagai lapisan masyarakat,” ujar beliau.

Majlis pelancaran Karnival Perpaduan Klang 2025 dan Himpunan Silaturrahim 1000 Rocker’s turut diserikan dengan kehadiran Penyelaras Parlimen Kapar, YB Dato' Sri Azizi Bin Hj Ayob, Ahli Majlis MPK N44A, En. Lee Fu Haw dan En Kamaruddin Bin Salam, Pengerusi KRT Fasa 1 Bandar Sultan Suleiman.


Antara aktiviti menarik yang disediakan sepanjang Karnival Perpaduan Klang termasuk lebih 40 reruai jualan yang dikendalikan oleh pengusaha PKS makanan tempatan, menawarkan pelbagai juadah dan produk tempatan kepada pengunjung.


1000 Rockers Gegar Klang! Karnival Perpaduan Jadi Pentas Muzik & Harmoni
Persembahan Pencak Silat dan pertunjukan kebudayaan antara aktiviti yang disediakan oleh penganjur Karnival Perpaduan Klang 2025

Selain itu, acara turut dimeriahkan dengan persembahan pencak silat, pertunjukan kebudayaan serta pertandingan mewarna untuk kanak-kanak yang bertujuan mencungkil kreativiti si cilik dalam suasana santai dan kekeluargaan. Bagi peminat aktiviti kesihatan, Larian Kesihatan Perpaduan sejauh 5 kilometer turut dianjurkan sebagai simbol semangat perpaduan dan gaya hidup sihat.


Tidak ketinggalan, Program Santai Bikers menghimpunkan komuniti motosikal dalam suasana mesra dan penuh semangat persaudaraan, menjadikan karnival ini sebagai platform inklusif untuk semua lapisan masyarakat.


Kemuncak acara adalah Himpunan Silaturrahim 1000 Rockers 4.0 yang menghimpunkan peminat, penggiat dan ikon muzik rock tanah air. Menurut Zack, vokalis Kumpulan Masa Legacy yang juga penganjur himpunan ini, objektif utama adalah untuk memperkukuh nilai persahabatan dan semangat positif dalam komuniti rocker.


“Ini bukan sekadar tentang muzik, tetapi tentang menyatukan komuniti yang berkongsi semangat, toleransi dan saling menghormati,” kata Zack.
1000 Rockers Gegar Klang! Karnival Perpaduan Jadi Pentas Muzik & Harmoni
Keena Mentor antara artis yang tampil menghangatkan program Himpunan 1000 Rockers 4.0 dengan persembahan bertenaga.

Bagi menghangatkan lagi karnival yang berlangsung dari pagi hingga tengah malam itu, pengunjung dihiburkan dengan persembahan mantap barisan artis jemputan. Pentas utama digegarkan oleh nama-nama seperti Ann Ways, Keena Mentor, Amir Pearl, Wicitra, Kumpulan Massa, dan Legacy.


Penganjur turut meluahkan harapan agar acara serampang dua mata ini dapat dijadikan sebagai acara tahunan.


Matlamat jangka panjang adalah untuk menjenamakan semula Tanjung Harapan yang suatu ketika dahulu dikenali sebagai Tanjung Gila sebagai destinasi pelancongan dan riadah utama di Selangor, sambil mengukuhkannya sebagai lokasi pertemuan rasmi komuniti rockers tempatan.



Komen


bottom of page