top of page
Writer's pictureMYB

8 Pasukan Sahkan Kemaraan Ke Pusingan Akhir AEON Credit Purple League Junior 2021-2022

Persembahan garang Kelab Badminton Perling, (Perling BC) pada saingan pusingan pertama Kejohanan Badminton AEON Credit Purple League Junior 2021-2022 (ACPLJ) membuahkan hasil apabila mereka telah berjaya menempah tiket ke pusingan akhir yang akan berlangsung pada Februari depan.


AEON Credit Purple League Junior 2021-2022
Perling BC antara yang mencuri tumpuan pada pusingan kelayakan pertama di Melaka.

Kelab dari negeri Johor itu tidak berdepan masalah apabila berjaya meraih dua kemenangan besar 15-0 ke atas Mentakab BC dan 13-4 ke atas Seremban City BC sekaligus mengetuai carta empat pasukan bawah-15 tahun terbaik dengan kutipan mata set sebanyak 332-163 dalam saingan yang berlangsung selama dua hari di Smazh Premium Outlet, Melaka.


Perling BC akan diiringi oleh jiran mereka Segamat Spiritual BC, Damansara BC dan kelab dari Sarawak, WCBF Sibu yang berjaya menjuarai kumpulan masing-masing.


Menurut jurulatih Perling BC, Albert Lim, beliau berpuas hati dengan prestasi anak buahnya sepanjang dua hari di Melaka.


“Saya berpuas hati melihat para pemain beraksi dengan baik. Tetapi saya tidak mahu terlalu yakin kerana kami belum berdepan dengan lawan yang lebih hebat dari kami.


“Kami akan terus berlatih dengan lebih bersungguh-sungguh bagi berdepan pasukan yang hebat pada pusingan akhir nanti. Kami perlu mara ke separuh akhir terlebih dahulu sebelum boleh memikirkan untuk ke final,” tambah Albert lagi.


AEON Credit Purple League Junior 2021-2022
Tania Nair berharap rakan sepasukan yang lain untuk kekal fokus menjelang pusingan akhir pada Februari.

Bagi pasangan beregu campuran Perling BC, Dania Sofea dan Tania Nair pula, mereka berharap rakan sepasukan yang lain untuk kekal fokus menjelang pusingan akhir pada Februari.


“Kami berharap kami dapat mengekalkan momentum dan juga fokus untuk memberi yang terbaik pada pusingan akhir nanti.”


Pusingan pertama ACPLJ juga telah menyaksikan 4 pasukan terbaik kategori bawah-18 tahun memastikan kemaraan mereka ke pusingan akhir.


Prestasi konsisten yang dipamerkan oleh Ampang Jaya BC memastikan slot mereka di pusingan akhir bersama-sama DSBC Labuan, Damansara BC serta Ayer Keroh Sports Centre (AKSC)


Aksi pusingan kedua ACPLJ akan disambung pada 15-16 Januari di Sixbase Sport Arena, Kampar dan 22-23 Januari di Tops Arena Empire, Cheras. 4 pasukan terbaik setiap kategori pada setiap pusingan pula akan berentap di pusingan akhir yang dijadualkan berlangsung pada 19-20 Februari depan.


0 comments

Comentarios


bottom of page