Karnival Sukan Pemotoran BOSS 2025: Litar Sepang 'Dirakyatkan', Utamakan Keselamatan & Latihan Pemandu
- MYB
- 5 Okt
- 2 min membaca
SEPANG – Usaha untuk menjadikan sukan permotoran lebih mudah diakses oleh masyarakat umum diteruskan melalui Karnival Sukan Pemotoran BOSS 2025, yang diadakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Adam Adli, menekankan bahawa penganjuran Karnival Sukan Pemotoran BOSS 2025 ini bertujuan "merakyatkan lagi sukan permotoran" dan memberikan peluang kepada peminat untuk merasai pengalaman langsung, bukan hanya sebagai penonton.
Karnival Sukan Pemotoran BOSS 2025, yang disasarkan untuk menarik seramai 5,000 pengunjung, dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Pilihan Sukan Negara, Bahagian Pembangunan Sukan, dan SIC.
Adam Adli turut menegaskan bahawa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sentiasa memberi penekanan yang seimbang antara keseronokan sukan permotoran dengan aspek keselamatan dan elemen kekeluargaan.
"Sukan permotoran sama ada dua tayar atau empat tayar tidak hanya tentang thrill semata-mata, tetapi perlu ada kesedaran keselamatan dan elemen kekeluargaan," katanya.

Penganjur karnival, Najiy Ayyad, pula menonjolkan fokus acara kali ini terhadap elemen pendidikan dan latihan. Aktiviti seperti taxi ride di litar dirancang untuk menawarkan pengalaman pembelajaran yang praktikal.
"Peserta bukan sekadar memandu, tetapi mereka juga belajar teknik dan kemahiran sebenar. Dari sini kita dapat melahirkan pemandu yang lebih berkemahiran dan selamat," jelas Najiy.
Beliau turut menekankan bahawa latihan perlu disusuli dengan kompetisi (pertandingan), kerana aspek persaingan adalah pemangkin utama untuk peningkatan kemahiran. Penghargaan turut diberikan kepada penganjur perlumbaan peringkat akar umbi (grassroots) seperti MTCC dan MSCF yang menyediakan platform permulaan untuk anak muda menceburi sukan ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Menteri KBS turut memaklumkan mengenai peruntukan kewangan yang signifikan dalam pembangunan sukan permotoran. SIC dilaporkan menerima sekurang-kurangnya RM50 juta setiap tahun, manakala program Rakan Muda dan pembangunan pemandu sukan diperuntukkan sebanyak RM25 juta.
Untuk tahun semasa sahaja, sebanyak RM3 juta telah dibelanjakan khusus untuk penganjuran program sukan permotoran. Adam Adli turut menggariskan usaha berterusan kementerian untuk menjadikan Sepang sebagai hab berprestij dunia dengan menarik lebih banyak kerjasama dan penganjuran acara antarabangsa serta membawa 'nama-nama besar motorsport' ke Malaysia.
Najiy Ayyad turut menzahirkan harapan agar karnival itu dapat diteruskan penganjurannya pada tahun hadapan, dan mengucapkan terima kasih kepada semua pengunjung dan vendor, termasuk dari Singapura, yang hadir menyokong.
Komen