• MYB

AWESOME TV Lancar Slot Program ‘SITCOM’ Bermula Jun Ini

Dalam usaha meletakkan saluran stesen televisyen swasta percuma (free-to-air) Awesome TV sebagai destinasi hiburan utama pilihan rakyat Malaysia, pengurusan stesen televisyen tersebut semalam telah melancarkan slot terbaharu ‘Sitcom’ yang menghimpunkan barisan kandungan komedi santai hebat pada setiap hari Sabtu dan Ahad, jam 9.00 malam bermula 11 Jun ini.


Slot 'Sitcom' bakal dicerikan dengan program sitkom terbaik seperti 'Lot 69' dan 'Dak-Dak Opis'

Penambahan slot ‘Sitcom’ sekaligus akan melengkapkan barisan slot program sedia ada iaitu ‘Malar Segar’, ‘Awesome Movie’, ‘Filem Kita’, ‘Ohsem Tele’, ‘Ohsem Lejen’, ‘Hindi Special’, ‘Misteri’, ‘Horror Sabtu’, ‘Dramatix’, ‘Dramedi’, ‘Drama Asia’, ‘International Series’ dan ‘Ohsem-Tainment’ serta pada masa yang sama melibatkan perubahan keatas jadual siaran bermula pada 1 Jun. Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira kesesuaian trend tontonan semasa supaya Awesome TV terus kekal menjadi pilihan utama masyarakat.


Pengarah Unit Kandungan Awesome TV, Datin Ezzan Zalilah Zulfadzli

Mengulas lanjut mengenai strategi pengisian dan penjadualan baharu di platform Awesome TV, Datin Ezzan Zalilah Zulfadzli selaku Pengarah Unit Kandungan Awesome TV berkata, “Bagi memantapkan lagi strategi kandungan yang lebih berkesan, kami membuat keputusan untuk menyuntik penambahbaikan utama daripada segi perincian jadual slot siaran yang dirombak secara keseluruhan demi memberikan pengalaman menonton yang maksima kepada rakyat Malaysia.


"Pada masa yang sama, pakej grafik dan visual kreatif Awesome TV juga turut diberi sentuhan dan mood baharu yang lebih segar dan ceria sebagai kelainan untuk memikat hati penonton.


"Kami di Awesome TV amat teruja dan positif dengan strategi penstrukturan semula slot jadual baharu dan kandungan yang bakal disajikan sepanjang tahun ini. Kami juga menyasarkan pertumbuhan keseluruhan jumlah tontonan dapat melonjak sehingga dua bilion bagi tahun 2022.”jelas beliau lanjut.


Bagi membuka tirai pengenalan, dua program menarik berjudul ‘Lot 69’ dan ‘Dak Dak Opis’ akan mengisi slot ‘Sitcom’ pada setiap hari Sabtu dan Ahad, jam 9.00 malam yang pastinya bakal mencuit hati.



Mulai 11 Jun, para penonton akan dihiburkan dengan rantaian sitkom ‘Lot 69’ arahan Ismail Bob Hashim yang dibintangi oleh Rozita Che Wan, Izzue Islam, Fahrin Ahmad, Ali Puteh dan Nina Smith serta penampilan istimewa oleh Juliana Evans, Datuk Jalaluddin Hassan, Shaza Bae, Afiq Shazwan, Ezzaty Abdullah dan Sazali Samad.



Manakala sitkom ‘Dak Dak Opis’ arahan Aizam Syamsul yang menampilkan Faisal Hussein, Amy Mastura, Eyka Farhana, Ajak Shiro dan Eric Fuzi pula akan mula menemui penonton pada 13 Ogos 2022.


Slot ‘Malar Segar’ akan menemani penonton pada setiap hari Isnin, jam 10.00 malam yang bakal membariskan filem-filem menarik seperti ‘Rahsia’, ‘Imigran’, ‘Bertunang’, ‘Suci Dalam Debu’ dan banyak lagi.


Sementara itu, seleksi filem antarabangsa yang membariskan naskhah-naskhah menarik seperti ‘Paul Blart: Mall Cop’, ‘Double Team’, ‘The Goonies’ dan ‘London Has Fallen akan ditayangkan menerusi slot ‘Awesome Movie’ pada setiap hari Selasa, jam 10.00 malam.


Manakala slot ‘Filem Kita’ dan ‘Ohsem Tele’ pula kini akan bersiaran pada setiap hari Rabu, jam 10.00 malam. Menerusi slot ini, pelbagai filem tempatan dan seleksi telefilem hebat yang sesuai untuk tontonan seisi keluarga akan disajikan kepada penonton. Antara judul-judul menarik yang bakal menanti termasuklah ‘Sekali Lagi’, ‘Bini Gua Solehah’, ‘Ayah Untuk Disewa’, ‘Suri Rumah Terfeeling’ dan ‘Kembar Siang.


Slot ‘Ohsem Lejen’ yang disiarkan pada setiap hari Khamis, jam 9.00 malam pula akan terus menyajikan filem-filem klasik oleh Seniman Agung Negara, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee seperti ‘Musang Berjanggut’, ‘Singapura Dilanggar Todak’, ‘Anak Bapak’, ‘Labu Dan Labi’ dan ‘Nasib Si Labu Labi’.


Manakala Slot ‘Hindi Special’ yang akan membariskan filem-filem Bollywood terhebat seperti ‘Ghulam’, ‘Golmaal: Fun Unlimited’, ‘Dushman’ dan ‘Aap Mujhe Achche Lagne Lage’ pula bersiaran pada setiap hari Jumaat, jam 9.00 malam.


Sementara itu, bagi peminat genre seram, dua slot istimewa turut disediakan yang akan menghimpunkan program-program tempatan dan antarabangsa untuk tontonan semua.


Slot ‘Misteri’ yang menyiarkan drama bersiri seram seperti ‘Misteri Van Jenazah’ ditayangkan pada setiap hari Khamis, jam 11.00 malam. Manakala slot ‘Horror Sabtu’ yang bersiaran pada setiap hari Sabtu, jam 10.00 malam pula akan membariskan koleksi filem seram seperti ‘Congkak’, ‘Bhoothnath’, ‘Minyak Dagu’ dan ‘Jangan Pandang Belakang Congkak’.


Istimewa untuk peminat tegar drama-drama rantaian, empat slot khas turut disediakan iaitu ‘Dramatix’, ‘Dramedi’, ‘Drama Asia’ dan ‘Asian Series’ yang membawakan koleksi drama melayu tempatan hebat pelbagai genre, sinetron, K-drama serta banyak lagi.


Slot rancangan yang mengisi seleksi program televisyen menarik di Awesome TV

Slot ‘Dramatix’ akan disiarkan pada setiap hari Isnin hingga Rabu, jam 9.00 malam. Dua naskhah hebat bakal disiarkan menerusi slot ini iaitu drama ‘Epilog 3 Naga’ lakonan Syarul Ezani, Hazama, Juliana Evans dan drama ‘Di Sebalik Dia’ lakonan Keith Foo, Wanna Ali, Roy Azman dan Fauzi Nawawi.


Slot ‘Dramedi’ pula akan mempertaruhkan drama bersiri ‘Reen Putus Cinta’ lakonan Reen Rahim, Yulia Mic On, Maria Farida, Beego, Natasha dan akan bersiaran pada setiap hari Jumaat hingga Ahad, jam 8.30 malam.


Sinetron ‘Dewi’ yang dibintangi oleh Rianti Cartwright, Baim Wong, Luna Maya dan Meriam Bellina bakal mengambil alih slot ‘Drama Asia’ dan akan ditayangkan pada setiap hari Isnin hingga Ahad, jam 6.00 petang mulai 8 Jun ini.


Dua drama legend ‘Knight Rider’ lakonan David Hasselhoff, Patricia McPherson, Edward Mulhare serta ramai lagi dan ‘MacGyver’ lakonan Richard Dean Anderson, Pete Thornton dan Bruce McGill pula akan menghiasi slot ‘International Series’ yang disiarkan pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 7.00 malam.


Slot ‘Ohsem-Tainment’ pula bakal membariskan program-program hiburan menarik dalam pelbagai genre seperti variasi, komedi, sketsa, bual bicara dan banyak lagi. Antara program-program yang menghiasi slot ini termasuklah ‘Awesome Raja Lawak’, ‘Perang Malam Ini’, ‘Memoria’, ‘Keringat Selebriti, ‘Sketsa Sketso’, ‘Roller Kata’, ‘Ha Ha Ha’ dan banyak lagi.





0 comments