Awesome TV Zahir Ucapan Tahniah Buat Pak Nil
top of page
  • Writer's pictureMYB

Awesome TV Zahir Ucapan Tahniah Buat Pak Nil

Saluran stesen televisyen swasta percuma (free-to-air) Awesome TV dengan berbesar hati menzahirkan ucapan tahniah kepada pengacara popular yang juga merupakan mentor kepada barisan penyampai ‘Berita 7:57’, Datuk Aznil Haji Nawawi atau lebih dikenali sebagai Pak Nil yang diangkat sebagai penerima trofi ‘Anugerah Khas MeleTOP’ sempena AME 2021 di atas sumbangan dan komitmen beliau dalam memartabatkan industri seni tanah air.


Datuk Aznil Haji Nawawi @Pak Nil diangkat sebagai penerima trofi ‘Anugerah Khas MeleTOP’, AME 2021 baru-baru ini

Datin Ezzan Zalilah Zulfadzli selaku Pengarah Unit Kandungan Awesome TV berkata, “Keluarga besar Awesome TV turut tumpang gembira dan berbangga dengan pengiktirafan penuh bermakna yang diterima oleh Pak Nil baru-baru ini.


"Kredibiliti dan reputasi beliau dalam dunia penyiaran khususnya bidang pengacaraan tidak perlu disangkal. Portfolio cemerlang dan pengalaman Pak Nil yang aktif menabur bakti sepanjang 32 tahun berkecimpung sebagai penggiat seni meletakkan beliau sebagai karyawan yang paling layak untuk menerima penghormatan tersebut.


Semoga kejayaan Pak Nil dapat menyuntik motivasi dan menjadi pembakar semangat kepada generasi pelapis untuk melangkah lebih jauh dalam berkarya walau apa jua cabang seni yang diceburi. Dengan iltizam yang betul dan usaha yang bersungguh-sungguh, tidak mustahil anda semua mampu menjadi seperti Pak Nil suatu hari nanti," ujar Datin Ezzan.


Pak Nil telah memulakan tugas sebagai tenaga pengajar untuk ‘Berita 7:57’ secara rasminya pada 1 Mac lalu. Berperanan sebagai ‘Mentor’, beliau dipertanggungjawabkan untuk melatih dan membimbing barisan penyampai berita daripada segi pembinaan karakter, pembentukan bahasa tubuh yang efektif merangkumi ekspresi wajah, gerakan badan, lontaran suara, disiplin pengucapan awam terutamanya di hadapan kamera, teknik berinteraksi, imej dan keterampilan diri serta banyak lagi.


Turut mengulas mengenai program ‘Berita 7:57’, Johan Ishak selaku Pengarah Urusan Awesome TV berkata, “Selaku stesen televisyen yang berperanan sebagai cermin masyarakat, kami bertanggungjawab dalam memastikan arah tuju pemberitaan kami terus konsisten dalam mengupas kandungan berita berkaitan isu-isu semasa secara vokal, jujur dan terbuka tanpa berat sebelah.


"Sesetengah pihak mungkin beranggapan pendekatan kami ini agak agresif yang boleh mengundang reaksi kurang senang. Namun, kami tetap berani berpegang kepada kebebasan media demi memberi teguran membina sambil menyalurkan maklumat kepada rakyat.



Ini sejajar dengan saranan Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap di perasmian Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022 baru-baru ini yang turut mengakui bahawa profesion kewartawanan harus kekal bebas dan berfungsi tanpa gangguan dan campur tangan pihak lain bagi menjamin kebebasan bersuara di negara ini," jelas Johan.


Mengangkat slogan ‘Rakyat Keutamaan Kami’, program ‘Berita 7:57’ yang mula dilancarkan pada 1 Februari lalu bersiaran secara langsung pada setiap hari, Isnin hingga Ahad, jam 7.57 malam di platform Astro saluran 123 dan MyTV saluran 112.


Menerusi durasi 33 minit, ‘Berita 7:57’ membawakan laporan harian yang merangkumi berita-berita nasional, tempatan dan luar negara merentasi segmen politik, isu semasa, ekonomi, jenayah, hiburan dan sukan.


Program ‘Berita 7:57’ dikemudikan oleh barisan personaliti berita yang dibimbing sendiri bertanggungjawab untuk mengendalikan slot harian secara bergilir-gilir. Berada di bawah bimbingan Pak Nil, mereka terdiri daripada Nadhra Mohd, Adriana Ghafar, Justin Ang, Mosen Nadzli dan Kamalia Jamaludin.

bottom of page