Bagan BC Mahu Ulangi Kejayaan 2019
top of page
  • Writer's pictureMYB

Bagan BC Mahu Ulangi Kejayaan 2019

Updated: Jan 14, 2022

Kelab Badminton Bagan atau Bagan BC berada pada tahap 100 peratus menjelang pusingan kedua AEON Credit Purple League Junior (ACPLJ) 2021/2022 yang akan disambung di Kampar pada hujung minggu ini.



Bagan BC yang pernah menjuarai Divisyen 3 ACPLJ pada 2019, mahu mengulangi kejayaan mereka dengan melaungkan keyakinan untuk merekodkan kejutan sekaligus menempah tiket ke pusingan akhir Februari depan.


Kelab berasal dari Pulau Pinang di bawah naungan Persatuan Badminton Pulau Pinang itu menghantar skuad bawah-18 tahun dan diletakkan di dalam kumpulan A bersama-sama jiran mereka Penang Pesta BC, Ayer Hitam BC serta wakil Selangor, Setia Alam BC.


Bagaimanapun menurut pengurus pasukan, M. Durairajoo, beliau mahukan anak buahnya kekal tenang dan tidak dibuai dengan kejayaan mereka mengungguli Divisyen 3 ACPLJ pada 2019.


Katanya, “Kami menaruh harapan yang tinggi kepada para pemain untuk edisi kali ini. Mereka menunjukkan kematangan ketika sesi latihan dan keyakinan untuk muncul juara kumpulan. Tetapi saya tidak mahu mereka mengambil mudah lawan yang akan kita hadapi nanti.

K. Yeshveeni
K. Yeshveeni mengetuai cabaran Bagan BC

Dengan membariskan 60 peratus pemain dari skuad 2019, Bagan BC akan diketuai oleh pemain harapan mereka, K. Yeshveeni yang turut beraksi pada saingan Top Glove Purple League Pro-Am pada Disember lepas. Menurutnya, “Kami akan buat sehabis baik dan memastikan pasukan tidak akan melepaskan mata penting untuk kita berada di kedudukan teratas bagi melayakkan diri ke pusingan akhir.”

Saingan ACPLJ yang melibatkan 38 buah pasukan bawah-15 dan 18 tahun itu dibahagikan kepada 3 pusingan peringkat kumpulan yang akan diadakan mengikut zon Selatan, Tengah dan Utara. Pusingan pertama telah dilangsungkan pada 8-9 Januari lalu di Smazh Premium Outlet, Melaka, manakala pusingan kedua pada 15-16 Januari di Sixbase Sport Arena, Kampar dan pusingan ketiga, 22-23 Januari di Tops Arena Empire, Cheras.


Pasukan teratas setiap kumpulan pula akan berentap pada pusingan akhir yang dijadualkan berlangsung pada 19-20 Februari depan bagi merebut hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 bagi kategori bawah-18 tahun dan RM5,000 bagi juara bawah-15 tahun.


bottom of page