Cili Kampung Labur RM24 Juta, Kini Pemilik Bersama Dotty’s Pastries & Coffee
- MYB
- 4 jam lalu
- 2 min membaca
PETALING JAYA – Dalam satu langkah strategik untuk mengukuhkan kedudukan dalam industri makanan dan minuman (F&B) negara, peneraju masakan Melayu autentik, Cili Kampung Malaysia, hari ini mengumumkan pengambilalihan 50% pegangan ekuiti dalam jenama bakeri artisanal popular, Dotty's Pastries & Coffee.

Perjanjian bernilai RM24 juta ini dimeterai bersempena dengan ulang tahun ke-10 Dotty's, menandakan permulaan fasa pengembangan agresif jenama tersebut ke seluruh negara. Majlis menandatangani perjanjian telah disempurnakan oleh Pengarah Cili Kampung Malaysia, Encik Khairul Anwar Dato’ Sri Abdul Azeez dan Pengasas Dotty’s, Puan Nadia Nasimuddin.
Melalui perjanjian ini, Cili Kampung melanggan sebanyak 11,956,234 saham baharu Dotty's, menjadikan penilaian keseluruhan entiti tersebut mencecah hampir RM24 juta. Sebagai tambahan, kedua-dua pihak komited menyuntik dana sebanyak RM5 juta ke dalam usaha sama ini.
Dana tersebut bakal digunakan khusus untuk memodenkan infrastruktur operasi, memacu pengembangan pasaran, serta mengetuai pelancaran semula cawangan utama (flagship store) Dotty’s di Suria KLCC.

Menurut Khairul Anwar, pengambilalihan ini menggabungkan kekuatan operasi berskala besar milik Cili Kampung dengan kehalusan seni kulinari Dotty's.
"Kami sedang menggabungkan dua identiti kulinari paling hebat di Malaysia. Cili Kampung dengan seni hospitaliti Melayu autentik, manakala Dotty’s dengan kualiti artisan dan gaya hidup kontemporari," jelas beliau.
Sementara itu, Puan Nadia Nasimuddin menyifatkan kerjasama ini sebagai langkah penting untuk mengangkat Dotty's daripada status jenama "butik" kepada kuasa F&B nasional. Gabungan ini bakal memanfaatkan dapur pusat Dotty's yang telah mendapat pensijilan Halal JAKIM, disokong oleh kepakaran rantaian bekalan Cili Kampung, bagi mendominasi segmen gaya hidup "Melayu Moden".









Komen