top of page
Writer's pictureMYB

Ernie Zakri Lancar Single Terbaharu ASTANA

Ernie Zakri kini kembali dengan single pop terbaharu berjudul ‘ASTANA’, kesinambungan dari lagu hit ‘Ku Bersuara’ yang pernah menjadi fenomena, hasil ciptaan komposer terkenal, Omar K, Shazriq Azeman, Ernie sendiri bersama Syamel, dan diterbitkan oleh jenama hiburan tanah air tidak asing lagi, Rocketfuel Entertainment.



“Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada penonton yang hadir di ‘Konsert Aku Cinta’ dengan respon yang sangat luar biasa sehingga tidak menyangka tiket yang dijual ‘sold out’.


“Selain itu, single ‘Hal Hebat’ duet bersama band popular dari Indonesia, Govinda turut mendapat sambutan hangat terutamanya daripada peminat di Malaysia dan juga Indonesia. Terima kasih juga kepada Govinda di atas kerjasama ini dan saya bersyukur dengan hasilnya,” kata Ernie yang sudah dalam rangka mengadakan ‘showcase’ solonya awal tahun hadapan.


Berbalik pada pembikinan single ASTANA yang diilhamkan oleh Omar K dan Shazriq Azeman, ketika proses penghasilan, Omar K sudah pun membayangkan Ernie untuk menyanyikannya, “Ketika diberitahu oleh Omar K tentang lagu ini, saya terus bersetuju kerana sesuai dengan saya.


“Saya bersama Syamel turut menyumbangkan beberapa idea bagi memberi ‘touch’ Ernie Zakri, kerana saya percaya pentingnya untuk bekerjasama dalam sesebuah karya.


“Lagu ini menceritakan tentang perhubungan akrab sama ada teman rapat mahupun keluarga yang mengajaknya keluar dari situasi yang negatif agar tidak terus terjerumus dengan dunia itu, kiranya dalam Ku Bersuara, mangsa berani meluahkan isi hatinya dan dalam ASTANA pula, wanita tersebut keluar meninggalkan tempat itu demi menjalani hidup yang lebih baik." Ernie Zakri

Single bergenre pop ini masih mengekalkan nuansa ‘R&B/Soul’ sama seperti Ku Bersuara namun lebih berimpak dengan dinamik nyanyian Ernie yang pelbagai menambah ‘flavour’ istimewa dalam karya ini.


“Proses rakaman memakan masa selama sehari untuk disempurnakan bertempat di studio milik Omar K, manakala proses ‘mixing’ dan ‘mastering’ pula berlaku dalam tempoh yang agak singkat.


“Manakala, pembikinan video muzik (MV) single ini pula banyak bermain dengan metafora yang menggambarkan perasaan seorang wanita yang terikat dengan perhubungan yang negatif,” tambah Ernie.


Debaran Anugerah Juara Lagu Ke-37 (AJL37) yang bakal berlangsung Februari tahun hadapan turut dirasai Ernie sendiri yang berjaya mara melaluii lagu ‘Korban’ yang merupakan ciptaan beliau sepenuhnya.


“Saya berasa gementar untuk beraksi di AJL nanti kerana meletakkan harapan yang tinggi untuk mara ke peringkat akhir, tambahan pula ini adalah karya saya sepenuhnya jadi debaran itu lebih terasa lagi. Tapi saya percaya pada rezeki dan hanya berdoa yang terbaik,” kongsi Ernie lagi.


Encik Feros Sayna, Ketua Rocketfuel Entertainment mengulas, “Ernie di antara artis contoh di Malaysia yang mempunyai dedikasi komitmen kerja yang tinggi, dari satu ke satu pencapaian yang diperolehinya, saya yakin single ASTANA ini bakal mendapat sambutan sebagaimana lagu-lagu terdahulu.


Selain ‘showcase’ solo yang dirangka akan diadakan pada Januari 2023 nanti, Ernie juga bakal melancarkan sebuah album penuh.


“Dengan jadual seni yang padat, fokus terhadap keluarga dan membesarkan puteri sulung, pihak pengurusan Rocketfuel memastikan setiap acara seni dapat dilunaskan dengan lancar dan baik.


“Semoga lagu ASTANA dapat diterima dan dihargai oleh semua peringkat umur sehingga tercalon menjadi lagu yang terbaik pada masa akan datang, dan paling penting adalah mesej yang cuba disampaikan melalui lagu ini buat mereka yang pernah atau sedang mengalaminya,” akhiri Ernie.


Lagu ‘ASTANA’ boleh dimuat turun di iTunes dan boleh juga dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.


Manakala MV single ini boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network.


0 komen

Comments


bottom of page