Filem 'LEHA' Bakal Ubah Stigma Masyarakat Terhadap Kerjaya Sebagai Pengawal Keselamatan
top of page
  • Writer's pictureMYB

Filem 'LEHA' Bakal Ubah Stigma Masyarakat Terhadap Kerjaya Sebagai Pengawal Keselamatan

Pekerjaan sebagai seorang pengawal keselamatan mungkin dilihat antara pekerjaan yang sering dipandang rendah oleh segelintir pihak. Namun, kerjaya ini sebenarnya sangat penting dalam mengawal keselamatan di sesebuah kawasan atau premis daripada sebarang kemungkinan.


Filem LEHA
Filem 'LEHA' ‘angkat kisah pengawal keselamatan jadi hero dalam membanteras kes jenayah’

Sebagai seorang pengawal keselamatan, mereka bertanggungjawab untuk memastikan kawasan atau premis yang dijaga sentiasa selamat dan bebas daripada sebarang ancaman. Mereka dilatih untuk mengendalikan situasi yang berpotensi membahayakan keselamatan orang lain, serta bertindak dengan cekap dan pantas dalam menangani sebarang insiden yang berlaku.


Oleh kerana kepentingan peranan mereka, syarikat produksi Alfanazra Productions memutuskan untuk menghasilkan sebuah filem yang mengangkat para pengawal keselamatan sebagai hero. Filem komedi berjudul LEHA menjadi titik tolak penting dalam menyuarakan penghargaan kepada para pengawal keselamatan yang telah berkorban besar demi menjaga keselamatan awam.


Filem berkenaan menampilkan barisan pelakon-pelakon popular seperti Ali Puteh, Kodi Rasheed, Dboy Hamdan, Silfeny Osman, Khir Rahman, Cat Farish, Deen Wahab, Ikhwan Khairudin, Bidin Al Zaifa dan ramai lagi.


Trailer filem 'LEHA'


Mengenai filem berkenaan, pengarahnya, Azaromi Ghozali, menjelaskan bahawa filem LEHA mengisahkan tiga orang pengawal keselamatan di sebuah kilang yang terlibat dalam membanteras sebuah kes jenayah. Mereka berusaha untuk menyelamatkan seorang gadis bernama Leha yang hampir menjadi mangsa culik gara-gara mempunyai maklumat penting mengenai aktiviti jenayah di kilang tersebut.


Bagi memastikan penonton berasa terhibur, Azaromi memilih genre aksi komedi untuk filem ini. Beliau ingin melihat para penonton tertawa, namun pada masa yang sama dapat melihat keberanian dan ketangguhan yang dimiliki oleh 3 orang pengawal keselamatan utama dalam filem ini.


Terdapat cabaran yang dilalui sepanjang proses penghasilan filem Leha ini. Menghasilkan sebuah filem komedi bukanlah perkara yang mudah, apalagi ketika mencuba untuk memastikan bahawa elemen komedi disampaikan dengan jelas dan difahami oleh penonton.


Filem 'LEHA'
Mampukah filem 'LEHA' mengubah stigma masyarakat terhadap kerjaya sebagai seorang pengawal keselamatan?

Filem LEHA dijadualkan akan ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 11 APRIL 2024 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri. Filem ini mengisahkan tentang perjalanan tiga orang pengawal keselamatan yang berusaha untuk menyelamatkan seorang gadis dari menjadi mangsa kejahatan di tempat kerja mereka.


Dalam sinopsis filem tersebut, Leha, seorang pekerja kilang, mengetahui rahsia di sebalik kes jenayah pemerdagangan manusia di kilang tempat dia bekerja. Dengan bantuan pengawal keselamatan Sani dan Khai, serta seorang lagi pengawal baru, Adam, mereka bergabung untuk membongkar kegiatan jenayah yang tersembunyi di kilang tersebut.


Filem LEHA bukan sekadar sebuah filem komedi biasa. Ia membawa mesej yang penting mengenai keberanian dan pengorbanan yang ditunjukkan oleh para pengawal keselamatan dalam menjaga keselamatan orang awam. Melalui kisah yang ditampilkan, diharapkan penonton dapat menghargai lebih lagi peranan yang dimainkan oleh barisan wira yang tidak didendangkan ini. Jadi, jangan lepaskan peluang untuk menonton filem LEHA yang pastinya akan menghiburkan dan memberi inspirasi kepada anda!

bottom of page