• MYB

FML Pecah Tradisi,Kolaborasi Dengan Rapper Vietnam

Dek kerana minat yang mendalam terhadap muzik termasuk menyanyikan semula lagu penyanyi lain dengan versi tersendiri, telah menyatukan dua bakat yang dianggotai oleh dua anak muda, Muhammad Fahimi Rahmat, 25, dan Muhammad Ikhmal Mohd Hamka, 27 sebagai duo, yang dikenali sebagai FML.


Empat single yang pernah dihasilkan sebelum ini termasuk Payung Terjun feat Faizal Tahir berjaya memperkenalkan lagi nama FML.


Tidak terhenti di situ, FML juga bernaung di bawah syarikat muzik, Faithful Music terus mengorak langkah dan memberikan sesuatu yang segar buat peminat dan pencinta muzik tanah air.


FML
(Dari kiri) Seachains, Ikhmal, Fahimi dan Nhat Hoang berkolaborasi dalam single terbaru dari FML berjudul 'Call You Mine'.

Cuba lari daripada kebiasaan penyanyi lain, FML memberanikan diri berkolaborasi dengan rapper terkenal dari negara Vietnam iaitu Seachains dan Nhat Hoang menerusi single terbaharu mereka, Call You Mine.


Single hasil ciptaan sepenuhnya FML, Seachains, Nhat Hoang, MFMF dan Alex Ungku itu menggunakan tiga bahasa iaitu bahasa Malaysia, English dan Vietnamese serta diterbitkan dengan kerjasama antara Faithful Music dan DefJam Vietnam.


Fahimi Rahmat mewakili FML berkata, kolaborasi bersama dua rapper itu adalah sesuatu yang di luar jangkaan mereka selain memberi sentuhan yang segar dalam lagu Call You Mine.


“Pada mulanya untuk lagu Call You Mine ini, kami nak nyanyikan sendiri saja. Tapi terfikir semula kenapa tidak buat sesuatu yang baharu dan segar yang tidak ada lagi dalam muzik industri kita. Jadi label kami mencadangkan untuk ‘feat’ dengan rapper Vietnam.


“Sejujurnya, tak terfikir pula sampai ke Vietnam. Apa pun idea itu sesuatu yang ‘cool’ dan menarik. Mereka cakap ada dua rapper terkenal di sana. Kami tanya adakah mereka okay untuk berkolaborasi.


“Kami pun hantar profil dan lagu, alhamdulillah mereka setuju. Kami berasakan ini peluang keemasan. Apabila mendengar mereka punya verse, sangat sedap dan bagus. Kami tak menjangka hasilnya begitu,” katanya.


Menurut Fahimi Rahmat, dia berharap kolaborasi mereka itu menjadi pembuka kepada lebih banyak lagi kerjasama lain selepas ini dalam lagu.


FML
Fahimi dan Ikhmal membawa FML ke liga tersendiri

“Kami tak pernah jumpa mereka lagi, tapi harapnya satu hari nanti akan berjumpa. Harapnya akan ada lebih banyak kerjasama selepas ini. Semoga lagu ini menjadi langkah awal untuk berkolaborasi selepas ini,” katanya.


FML yang dikenali sebagai duo yang sering menyanyikan lagu bergenre R&B masih mengekalkan irama sama dalam lagu Call You Mine ini.


“Kalau ikutkan lagu sebelum ini banyak juga gabungan dengan genre lain. Contohnya campur dengan pop di lagu Payung Terjun dan Caramu. Cuma untuk lagu ini, memang R&B sepenuhnya. Kami memang nak membawa genre R&B ini. Dalam sama sama, kami nak pasarkan genre ini bersama jenama kami,” katanya.


Ditanya mengenai kekuatan lagu Call You Mine ini, Fahimi Rahmat berkata susunan vokal setiap yang terbabit termasuk bahagian rapper berjaya ‘mencantikkan’ lagu ini.


“Kalau dari segi kekuatan, sudah tentu pada suara vokal yang sudah disusun. Apa pun ia tetap bergantung pada rezeki. Sebab kami sudah berikan yang terbaik, segar dan moden dalam lagu ini. Tambahan lagi ada kolaborasi dengan rapper Vietnam dan ada bahasa Vietnam dalam lagu ini juga. Jadi, perkara ini sangat baru dan jarang didengar dalam pasaran muzik tanah air.


“Selain itu, kami juga ada tulis sendiri lirik yang mana ia lahir dari isi hati kami. Saya sendiri ada tulis bahagian verse. Jadi ia lahir dari dalam jiwa kami. Disebabkan itu kami cuba sampaikan mesej yang ada dalam lagu ini kepada pendengar. Semoga mereka jatuh cinta dengan lagu ini. Insya-Allah, lagu ini akan menjadi lagu kesukaan semua orang. Apa pun tetap berbalik pada rezeki.


“Harapan, supaya lagu ini mendapat respons yang positif dalam kalangan peminat dan pencinta muzik tempatan. Semoga segala mesej yang nak disampaikan dalam lagu ini sampai pada semua orang. Insya-Allah, kalau betul rezeki kami, maka jauhlah lagu ini akan pergi,” katanya.


Muhammad Ikhmal atau Mal berkongsi yang mana lagu Call You Mine ini sudah ada sejak dua tahun lalu iaitu ketika FML mula ditubuhkan.


“Kalau ikutkan lagu ini sudah ada lama sejak dua tahun lalu iaitu ketika kami ditubuhkan. Apabila dapat demo lagu ini kami suka. Tapi terpaksa tangguh dulu sebab label susun lagu lain dulu. Sedar tak sedar sebenarnya kami ada lagu ini dalam koleksi.


“Kami pun ambil keputusan untuk rakamkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) awal tahun lalu. Apabila nak rakam kena dapatkan ‘vibes’ lagu ini. Yang mana kena ‘chill’ dan relak. Tapi sekejap saja lah nak cari ‘vibes’ tu. Banyak idea yang boleh dicurahkan dalam lagu ini. Ia pengalaman menarik untuk lagu ini,” katanya.



Sementara itu, rapper Seachains berkata, verse yang dipaparkan dalam lagu Call You Mine ini mengisahkan mengenai kawan baiknya.


“Pertama, lelaki itu hanya berfikir nak ‘one-night stand’ tetapi dia jatuh cinta dengan gadis itu. Pertemuan itu membuatkan mereka saling jatuh cinta,” katanya.


Begitu juga dengan Nhat Hoang yang mana idea menghasilkan verse lagu itu timbul apabila kali pertama dia mendengar demo lagu itu.


“Saya menceritakan bagaimana budak lelaki itu menikmati pertemuannya dengan gadis itu. Apabila saya melalui bilik Seachains dan tiba-tiba mendengar demo sehingga seolah-olah saya ditarik ke dalam demo itu. Dari situ saya terus tertarik nak menyertai projek ini,” katanya.


0 comments