Giant Malaysia Kini Dimiliki Syarikat Tempatan
top of page
  • Writer's pictureMYB

Giant Malaysia Kini Dimiliki Syarikat Tempatan

DFI GROUP (“DFI”) hari ini mengumumkan ia telah memeterai perjanjian dengan syarikat tempatan terkemuka Malaysia, diketuai oleh ahli perniagaan dan usahawan tempatan Datuk Andrew Lim, untuk memperoleh kesemua perniagaan makanan DFI di Malaysia, termasuk jenama ikonik Giant. Peralihan ini dijangka selesai awal Mac 2023.




Syarikat tempatan ini diterajui oleh Datuk Andrew Lim. Datuk Lim mempunyai rekod prestasi yang luas dan dikenali dengan kejayaannya dalam kepimpinan runcit serta dikreditkan dengan sumbangan ketara kepada pertumbuhan dan transformasi landskap runcit di Malaysia. Beliau juga merupakan Timbalan Pengerusi Kumpulan SOGO Department Store Sdn Bhd, serta Pengerusi Eksekutif Kumpulan GAMA yang memiliki dan mengendalikan jenama ikonik GAMA Supermarket & Departmental Store di Pulau Pinang.


Syarikat tempatan ini berkongsi kepercayaan yang sama seperti DFI dalam memberi fokus kepada menyampaikan kualiti, perkhidmatan serta nilai hebat kepada pelanggan. DFI yakin pemilik tempatan berpengalaman seperti Datuk Lim akan memberi manfaat serta perubahan positif kepada pelanggan dan kakitangan Giant, Cold Storage dan Mercato. Perkembangan positif ini sudah pasti akan menjana pertumbuhan masa depan berdasarkan pengetahuan pasaran yang mendalam, pelaburan jenama dan kekuatan daya saing untuk membentuk landasan kukuh.



Syarikat tempatan ini akan mengambil alih 2,500 kakitangan sedia ada. DFI berterima kasih ke atas dedikasi dan komitmen kakitangannya, serta percaya pengalaman dan semangat mereka terhadap jenama ini akan diteruskan dengan memberi sokongan padu kepada cita-cita kompetitif Datuk Lim dan pasukan kepimpinan tempatan ini. Mereka juga akan menerima manfaat daripada peluang pertumbuhan kerjaya dengan menjadi sebahagian daripada syarikat yang lebih besar di Malaysia.


Ketua Pegawai Eksekutif DFI Retail Group Asia Tenggara, Chris Bush berkata, “Kami amat gembira apabila dapat memastikan perolehan perniagaan makanan ini diberi kepada sebuah syarikat tempatan yang dihormati serta berjaya, dengan mengekalan kakitangan berdedikasi syarikat, di mana ia menyediakan peluang pertumbuhan kerjaya untuk kakitangan dan meningkatkan daya saing, perkhidmatan serta memberi nilai yang lebih besar untuk pelanggan di Malaysia. Kami mempunyai keyakinan penuh terhadap kejayaan masa depan perniagaan makanan di bawah kepimpinan baru. Kami mendoakan yang terbaik kepada pemilik baharu serta semua rakan sekerja kami di masa hadapan.”


Datuk Andrew Lim berkata, “Kami mengucapkan terima kasih kepada DFI Retail Group kerana memberi kepercayaan serta amanah kepada kami memajukan lagi jenama runcit terkenal di Malaysia ini. Kami, bersama-sama dengan 2,500 rakan serta teman sekerja yang baru ini akan berusaha sebaik mungkin untuk menambah nilai dan meningkatkan ekuiti jenama Cold Storage, TMC, Giant dan Mercato di Malaysia.


DFI kekal komited terhadap perniagaan runcit di Malaysia dengan mempertajamkan fokus strategik kepada perniagaan kesihatan dan kecantikan yang kini berkembang pesat. DFI Group akan terus memiliki dan mengendalikan sepenuhnya kedai Guardian Health and Beauty yang menyandang tempat pertama dalam undian oleh pelanggan Malaysia pada 2022. DFI merancang pertumbuhan pesat Guardian Malaysia dengan jangkaan penambahan rangkaian kedai (kini melebihi 500) serta penambahan ratusan perkerjaan dalam tempoh dua tahun ini.


Chris Bush berkata, “Peralihan ini akan membolehkan DFI Group menumpukan perhatian eksklusif kepada pengembangan perniagaan Guardian di Malaysia. Kami memang teruja dengan peluang untuk memajukan Guardian dengan lebih pesat disokong dengan penambahan cawangan yang ketara, penambahbaikan kedai dan peningkatan tawaran kepada pelanggan. Langkah ini akan membolehkan kami memberi impak yang lebih besar kepada pelanggan sambil membina kekuatan runcit kami dalam memberi kecemerlangan kepada pelanggan setiap hari.”

0 comments
bottom of page