top of page

GV Kembali Dengan Musim ke-12, Nubhan, Mark Adam, Ruri Repvblik Antara 13 Bintang 'Kembali Menyengat'

  • Writer: MYB
    MYB
  • 24 minit lalu
  • 2 min membaca

KUALA LUMPUR — Teka-teki mengenai barisan bintang veteran yang bakal menggegarkan pentas realiti nyanyian nombor satu negara, Gegar Vaganza (GV), akhirnya terlerai apabila Astro secara rasmi mengumumkan 13 peserta yang dipilih untuk musim ke-12 yang bertemakan GV-Verse.


GV Kembali Dengan Musim ke-12, Nubhan, Mark Adam, Ruri Repvblik Antara 13 Bintang 'Kembali Menyengat'
13 peserta Gegar Vaganza musim ke-12 bersama-sama barisan juri dan penaja. Musim ini GV menganngkat tema GV-Verse yang menampilkan menampilkan kombinasi penyanyi solo dan berkumpulan dari Malaysia, Indonesia, dan Singapura.

Mengangkat konsep ‘GV-Verse’, tema ini mengambil inspirasi sebuah dimensi unik yang meraikan aura dan kekuatan individu setiap bintang, musim baharu ini menjanjikan persaingan sengit antara legenda era 80-an hingga suara-suara popular tahun 2000-an dari tiga negara serumpun.


GV musim ini mencerminkan persaingan serantau yang sengit, barisan 13 peserta GV-Verse menampilkan kombinasi penyanyi solo dan berkumpulan dari Malaysia, Indonesia, dan Singapura.


Lapan penyertaan utama mewakili Malaysia dengan nama-nama besar seperti penyanyi solo Dato’ Elaine Kang, Krisya, Mell Sakura, Korie, Rahmat Ekamatra, Mark Adam, dan Nubhan. Turut menyertai dari Malaysia ialah duo pop Freshies yang terdiri daripada Ejie dan Shima, menambahkan warna muzik berkumpulan dalam gelanggang.


GV Kembali Dengan Musim ke-12, Nubhan, Mark Adam, Ruri Repvblik Antara 13 Bintang 'Kembali Menyengat'
Astro secara rasmi mengumumkan 13 peserta yang dipilih untuk musim ke-12 yang bertemakan GV-Verse.

Persaingan turut dihangatkan oleh kehadiran bakat-bakat besar dari Indonesia, yang diwakili oleh penyanyi popular Shae, vokalis kumpulan Repvblik iaitu Ruri Repvblik, serta trio vokal Mendua yang dianggotai oleh Pungky, Sasha, dan Diana. Melengkapkan senarai serantau ini, Singapura tampil dengan bangganya menerusi penyertaan penyanyi berkarisma, Iskandar Ismail.


Paling mencuri tumpuan, musim ini turut memperkenalkan elemen kejutan dengan penyertaan SHY8 sebagai peserta wildcard yang menjanjikan persembahan seni yang tidak dijangka dalam GV-Verse.


Pentas GV12 kekal utuh dengan pengacara gandingan serasi dan paling dinantikan, Nabil Ahmad dan Sherry Alhadad.


Kerusi panas juri pula sekali lagi dikendalikan oleh trio distinguished yang amat dihormati, iaitu Dato’ Ramli MS, Hetty Koes Endang, dan Datuk Syafinaz Selamat. Mereka akan terus memastikan setiap persembahan diadili dengan penuh kepakaran dan integriti.


GV Kembali Dengan Musim ke-12, Nubhan, Mark Adam, Ruri Repvblik Antara 13 Bintang 'Kembali Menyengat'
Naib Presiden, Produksi Skrip dan Hiburan Nusantara Astro, Raqim Ahmad

Naib Presiden, Produksi Skrip dan Hiburan Nusantara Astro, Raqim Ahmad, menyatakan bahawa GV-Verse membawa legasi pertandingan ini ke peringkat lebih tinggi dengan meraikan kepelbagaian bakat serantau.


"Daripada legenda malar segar seperti Dato’ Elaine Kang dan Rahmat Ekamatra, kepada suara tersendiri seperti Mark Adam, Shae dan Ruri Repvblik, setiap artis membawa kisah unik ke pentas," ujar Raqim.

Beliau menambah, GV12 bukan sekadar pertandingan, tetapi pentas untuk menghormati perjalanan seni para penyanyi ini dan membayangkan potensi kerjaya mereka yang seterusnya.


Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan persembahan hebat 13 bintang GV-Verse ini yang akan mula bersiaran secara langsung pada 2 November 2025, setiap hari Ahad jam 9 malam, hanya di Astro Ria (Saluran 104). Program ini juga boleh distrim melalui Astro GO dan Sooka.



bottom of page