Insomniacks & Yonnyboii Bergabung Dalam Lagu 'Antibuli' Penuh Tenaga, "Bersuara"
- MYB
- 11 minit lalu
- 1 min membaca
KUALA LUMPUR – Kumpulan popular Insomniacks kembali menggegarkan industri muzik tanah air, kali ini dengan imej yang lebih berani dan "keras" menerusi single terbaharu mereka, "Bersuara".

Lagu yang telah diluncurkan di semua platform digital bermula 6 Februari 2026 lalu menyaksikan kolaborasi epik bersama penyanyi dan komposer berbakat, Yonnyboii.
Lari daripada kebiasaan lagu-lagu balada yang sering dikaitkan dengan mereka, "Bersuara" tampil dengan susunan muzik rock yang lebih agresif, mencerminkan kematangan dan evolusi bunyi kumpulan tersebut.
Naskhah ini bukan sekadar hiburan, tetapi membawa mesej berat tentang keberanian untuk bangkit melawan penindasan, mempertahankan maruah diri, dan menolak budaya buli.

Menurut Insomniacks, lagu ini lahir daripada pengalaman peribadi di mana suara dan pandangan mereka sering dipandang sepi. Kehadiran Yonnyboii disifatkan sebagai "nyawa" kepada lagu ini, memberikan tenaga mentah dan keberanian yang diperlukan untuk menghidupkan mesej tersebut.
Bagi Yonnyboii sendiri, "Bersuara" adalah platform untuk beliau meluahkan perasaan yang selama ini terpendam akibat tidak didengari oleh sesetengah pihak. Peminat juga bakal dikejutkan dengan sisi baharu Yonnyboii yang lari daripada identiti rap biasanya, sebaliknya tampil dengan vokal bernuansa rock dan alternatif.
"Saya sentiasa rasa lebih dekat dengan muzik alternatif berbanding rap. Melangkah ke genre rock terasa sangat semula jadi, ia satu permulaan baharu untuk berkongsi sisi lain diri saya," jelas Yonnyboii.
Lagu "Bersuara" merupakan ciptaan bersama Yonnyboii, Iqie, Danial, dan Iskandar, serta diterbitkan dengan sentuhan Taja (MUH). Kedua-dua artis berharap lagu ini mampu menjadi ruang selamat untuk pendengar melepaskan tekanan emosi dan memberi kesedaran untuk menghentikan gejala buli.





