Magis Sembilu! 10,000 Peminat 'Histeria', Ziana Zain Menangis Di Pentas Axiata Arena
- MYB
- 4 jam lalu
- 2 min membaca
KUALA LUMPUR – Penantian lebih tiga dekad akhirnya terbayar apabila konsert mega "Sembilu The Reunion Live In Concert" berjaya memukau hampir 10,000 penonton yang membanjiri Axiata Arena malam Sabtu lalu. Konsert anjuran Ideatelier ini bukan sekadar persembahan muzik, sebaliknya sebuah perjalanan emosi yang menghidupkan semula fenomena filem pecah panggung era 90-an tersebut.

Malam penuh nostalgia itu dibuka dengan kejutan luar biasa apabila ketiga-tiga anak kepada bintang utama filem asal, Merah, Aleesya, dan Kaseh muncul di pentas utama menghidupkan watak ibu bapa mereka, satu simbolik kesinambungan legasi yang disambut dengan sorakan gemuruh. Suasana menjadi semakin hiba dan bermakna dengan kemunculan pengarah tersohor, Datuk Dr. Yusof Haslam, sebagai tanda penghormatan kepada karya agung ciptaannya.
Pentas kemudiannya dikuasai oleh Datuk Awie yang membuka gelanggang dengan lagu-lagu berhantu seperti Di Bayang Awan, Tiada Rahsia Antara Kita, dan Ukiran Jiwa. Vokalis Wings itu menyifatkan malam tersebut sebagai pengalaman peribadi yang mendalam, selari dengan roh wataknya dalam filem tersebut.

Ratu Cantik Malaysia yang juga primadona filem Melayu, Erra Fazira, tidak mengecewakan apabila tampil memukau menerusi rangkaian hits Hanya Di Mata, Pasrah, dan Yang Terindah Hanya Sementara. Erra menyifatkan konsert ini sebagai penghargaan khas buat peminat setia yang membesar dengan kisah cinta tragis Sembilu.
Namun, momen paling meruntun jiwa berlaku ketika segmen Ziana Zain. Penyanyi bervokal lantang itu dilihat menitiskan air mata di atas pentas, gagal menahan sebak mengenangkan pemergian kedua ibu bapanya. Dalam linangan air mata yang turut dirasai penonton, Ziana bangkit menyampaikan lagu Madah Berhelah, Puncak Kasih, dan Anggapanmu dengan penuh bisa dan penghayatan.

Kemuncak malam tersebut menyaksikan penyatuan tiga ikon ini di atas satu pentas. Gandingan Datuk Awie dan Erra Fazira menerusi Cinta Makrifat, serta duet berhantu Awie dan Ziana dalam Senja Nan Merah benar-benar memukau hadirin. Konsert melabuhkan tirai dengan nyanyian bersama lagu ikonik, Halaman Asmara.
Susulan kejayaan luar biasa di Kuala Lumpur, pihak Ideatelier dengan bangganya mengumumkan bahawa "Sembilu The Reunion Live In Concert" bakal dibawa ke negara jiran, Singapura, pada April 2026.





