• MYB

Kejohanan Badminton Tertutup Johor 2022 Buka Tirai

Kejohanan Badminton Tertutup Johor 2022 edisi ke-10 yang bermula secara rasmi pada hari ini berlangsung meriah apabila lebih 300 peserta memulakan aksi mereka di Dewan NS Sport, Gelang Patah.


Saingan yang akan berlangsung selama empat hari itu melibatkan empat kategori bawah-12, bawah-14, bawah-16 dan bawah-21 tahun dengan para peserta akan merebut peluang untuk mewakili negeri Johor ke peringkat kebangsaan.


Bagi Presiden Persatuan Badminton Johor, Mat Rasid Jahlil, beliau berpuas hati dengan penganjuran kali ini meskipun negara kini berdepan dengan peningkatan kes Covid-19.


Jelasnya, “Pihak penganjur telah memastikan pelaksanaan SOP yang ketat dan perlu dipatuhi oleh para peserta dan juga pegawai pertandingan. Ibu bapa tidak dibenarkan untuk masuk ke venue pertandingan dan para pemain diwajibkan menjalani ujian kendiri Covid-19 sebelum bermain.


“Walaubagaimanapun, terdapat juga beberapa pemain yang menarik diri di saat akhir atas kebimbangan mereka terhadap wabak Covid-19. Namun, kejohanan tetap diteruskan dan berjalan dengan lancar,” tambah Mat Rasid.


Kejohanan Badminton Tertutup Johor 2022
Antara yang mencuri tumpuan pada hari pertama kejohanan ialah pemain perseorangan lelaki kategori bawah-16 tahun, Ooi Yi Ping

Antara yang mencuri tumpuan pada hari pertama kejohanan ialah pemain perseorangan lelaki kategori bawah-16 tahun, Ooi Yi Ping yang mengejutkan pemain pilihan ke-8, Yew Jun An. Yi Ping yang mewakili Albert Sports, diheret ke set penentuan sebelum berjaya menang 21-18, 8-21, 21-19.


Ketua Jurulatih Albert Sports, Albert Lim lega dengan prestasi yang ditunjukkan anak buahnya pada hari ini. Katanya, “Latihan yang dijalani olehnya sepanjang persiapan menjelang kejohanan ini telah membuahkan hasil. Saya berharap Yi Ping dapat mengekalkan momentum pada hari esok.


Kejohanan Badminton Tertutup Johor 2022 turut mendapat sokongan daripada Majlis Sukan Negeri Johor, YOUNG-International, ShekhinahPR Sdn. Bhd, NS Sport dan Ibis Styles.


0 comments